You are on page 1of 4

Adab Membaca al-Qur'an

ANTARA ibadah sunat yang digalakkan dalam bulan Ramadhan, selain sembahyang
tarawih, ialah bertadarrus membaca (tilawah) al-Qur'an al-Karim. Seperti ibadah yang
lain, tilawah al-Qur'an juga punya peraturan dan adabnya. Pembaca al-Qur'an (qari` /
qari`ah) sebaik-baiknya mengetahui dan mematuhi peraturan dan adab membaca kitab
suci itu. Perlu diketahui bahawa yang lebih utama (awla) bagi ibadah tilawah al-Qur'an
ialah kefahaman terhadap maksud atau tafsiran ayat-ayatnya lalu mengamalkannya. Di
samping itu pembacaannya hendaklah mengikut hukum tajwid dan peraturan-peraturan
yang tertentu. Allah Taala berfirman, mafhumnya, "Orang-orang yang telah kami
datangkan al-Kitab sedangkan mereka membacanya dengan bacaan yang sebenar-
benarnya, maka mereka itulah yang beriman kepadanya, dan barangsiapa ingkar
terhadapnya maka merekalah orang-orang yang rugi". (al-Baqarah : 121).

Mengikut Ibnu 'Abbas, ayat "membacanya dengan bacaan yang sebenar-benarnya" dalam
di atas itu bermaksud: "memepelajarinya dan benar-benar patuh mengamalkannya".

Mengikut Imam al-Ghazali : Bacaan al-Qur'an dengan sebenar-benar bacaan itu ialah
adanya persepaduan antara lidah, akal dan hati. Lidah mentashihkan segala hurufnya,
akal mentafsirkan segala maknanya dan hati menerima pengajarannya, kesannya,
tegahannya dan suruhannya. Tersebut dalam sebuah kitab : Wajib ke atas qari / qariah
ikhlas membaca al-Qur'an dengan mengqasadkan semata-mata kerana Allah. Janagan
diqasadkan kerana selain-Nya. Dalam kitab lain tersebut : Makruh diambil al-Qur'an
sebagai usaha untuk kehidupan (mata pencarian), kerana mengikut satu riwayat,
Rasulullah bersabda, mafhumnya, "Barangsiapa membaca Qur'an, maka hendaklah
meminta
(balasan) daripada Allah. Bahawa sesungguhnya nanti akan datang satu kaum yang
membaca Quran untuk mendapat balasan daripada manusia".

Berikut adalah adab-adab membaca al-Qu'an sebagaimana yang tersebut dalam kitab
Mawradul-Zham`aan :

Sebelum membaca al-Qur'an hendaklah membersihkan badan dan mengambil wudhuk.


Jika sudah berwudhuk, mulut hendaklah dibersihkan. Rasulullah bersabda, mafhumnya :
"Sesungguhnya mulut kamu itu laluan al-Qur'an, maka bersihkanlah ia dengan bersugi".
Apabila wudhuk terbatal, segeralah memberhentikan bacaan dan mengambil wudhuk
semula. Sunat berpakaian yang elok, bersih dan menutup aurat serta memakai bau-bauan.

Tempat membaca al-qur'an hendaklah suci. Afdhalnya di masjid. Makruh membaca di


jalanan atau di tepi jalan, di dalam bilik mandi, di pasar atau tempat perhimpunan orang
yang dungu ataupun di tempat yang tak selayaknya dengan kesucian dan kemuliaan al-
Qur'an. Hendaklah duduk mengadap kiblat dengan penuh ta'zhim, kepala tertunduk dan
tidak di dalam keadaan bersila. Jangan sekali-kali duduk seperti duduk orang yang
takabbur.

Sebelum memulakan bacaan, bacalah dulu ta'awwuz. Allah berfirman, maksudnya :


"Apabila engkau membaca al-Qur'an, bacalah t'awwuz ( A'uuzu billaahi minal-
syaithaanil-rajiim )". Bacaan ta'awwuz ini jika di khalayak boleh dibaca nyaring, tetapi
jika tiada khlayak untuk mendengarnya, lebih utama (awla) diperlahankan bacaannya,
iaitu seperti membacanya di dalam sembahyang. Kecuali bacaan al-Qur'an tehenti lama,
selama mengerjakan satu raka'at sembahynag, bacaan ta'awwuz ini tidak dituntut untuk
diulang lagi.

Hendaklah membaca tasmiyah (bismillaahil-Rahmaanil-Rahiim) pada awal tiap-tiap


surah kecuali surah al-Tawbah (Baraa`ah). Ketika membaca, qari / qariah hendaklah di
dalam keadaan sentiasa mengingati bahawa dirinya diperhatikan oleh Allah_sebagaimana
ketika mengerjakan sembahyang juga.

Untuk menghormati atau memuliakan al-Qur'an, jangan teruskan bacaan semasa


menguap, kerana menguap itu tabiat syaitan. Selesai menguap dengan sopan, barulah
menyambung semula bacaan. Jangan tertawa atau bercakap bercampur-aduk dengan
bacaan kecuali kerana satu-satu hajat yang dharurat. Justeru, bacaan sebaik-baiknya di
tempat yang terasing agar tidak diganggu atau diajak bercakap oleh orang lain.
Bagaiamana pun qari / qari`ah boleh memutuskan bacaannya untuk memberi salam atau
untuk menjawab salam.

Sunat memutuskan bacaan untuk tujuan berikut :


1. mengucap "Al-hamdulillaah" selepas bersin,
2. mengucap "Yarhamukallaah" kepada orang yang bersin,
3. menjawab azan,
4. bangun menghormati ketibaan orang alim, orang shalih atau orang yang dimuliakan,
tetapi bukan dengan riyak.

Keseluruhan bacaan sebaik-baiknya (afdhal) dengan suara nyaring jika bertujuan untuk
didengar, disemak serta dimanfaatkan atau dihayati oleh orang lain, atau pun untuk
mengawal konsentrasi diri sendiri terhadap bacaan atau untuk menghilangkan rasa jemu
atau mengantuk. Sebaliknya, jika ditakuti menjadi riyak atau akan mengganggu orang
yang sedang atau akan bersembahyang atau tidur, tidak digalakkan membaca nyaring,
yakni membaca perlahan adalah lebih afdhal. Suatu masa di dalam masjid, Rasulullah
pernah bersabda, mafhumnya: "Ketahuilah, setiap kamu bermunajat kepada Tuhan, maka
janganlah menyakiti (mengganggu) antara satu sama lain dan jangan antara kamu
mengangkat suara bacaan sehingga menggannggu yang lain. (HR. Abu Dawud).

Dikatakan sunat juga suara bacaan al-Qur'an itu berselang-seli_sekali perlahan sekali
nyaring. Apabila terasa jemu atau mengantuk dengan membaca perlahan, bacalah secara
nyaring dan apabila terasa penat, lalu kembali membaca perlahan sebagai istirahat.

Sunat bacaan secara tartil, serentak dengan tadabbur (penelitian) dan tafahhum akan
makna ayat-ayatnya. Allah berfirman, mafhumnya, "Dan bacalah al-Qur'an itu
(mantapkan bacaan) dengan perlahan-lahan
(tidak terlalu cepat)". (QS. 73 : 4), dan "Inilah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh
dengan berkat agar mereka mentadabburkan makna segala ayatnya dan agar mendapat
pelajaran orang-orang yang berfikitan". (QS. 38:29). Kata Ibnu 'Abbas, "Aku baca surah
al-Baqarah dan Ali 'Imran dengan tartil dan aku tadabburkan kedua surah itu . Ini lebih
aku suka daripada membaca dengan pantas seluruh al-Quran". Apabila membaca ayat-
ayat yang berkenaan, sunat beristighfar, bershalawat, bersyukur, minta berlindung atau
berdoa dan sebagainya. Berkata 'Auf bin Malik, "Aku bersama dengan Rasulullah yang
membaca surah al-Baqarah pada suatu malam. Baginda berhenti berdoa apabila membaca
ayat mengenai rahmat dan meminta berlindung dengan Allah apabila membaca ayat
mengnai azab".
(HR. Abu Dawud dan al-Nisa`i).

Rasulullah bersabda, mafhumnya, "Barangsiapa membaca surah al-Tiin hingga akhir


ayatnya, maka hendak berkata 'Balaa wa ana 'alaa dzaalika minal-syaahidiin' (Bahkan,
dan aku daripada mereka yang menjadi saksi atas yang demikian itu); barang siapa
membaca surah al-Qiyaamah samapi selesai pada ayat, 'Alaysa dzaalika biqaadirin 'alaa
an yuhyiyal-mawtaa', maka hendaklah berkata, 'Balaa' (bahkan); dan barangsiapa
membaca surah al-Mursalaat hingga akhir ayatnya, maka hendaklah berkata, 'Aamannaa
billaah' (Kami beriman dengan Allah)"- (HR. Abu Dawud dan al-Tirmizi).

Al-Hakim meriwayatkan : Apabila selesai membaca ayat akhir surah al-Mulk, iaitu
"Faman ya`tiikum bimaa`in ma'iin" (Maka siapakah yang memberikan kepada kamu air
yang mengalir? , hendaklah berkata "Allaahu Rabul-'Aalamiin" (Allah Tuhan seantiru
alam) dan apabila selesai membaca surah al-Dhuhaa, hendaklah mengucap takbir.
Bacaan-bacaan tambahan tersebut, selain sunat dibaca oleh qari / qari`ah berkenaan,
sunat juga dibaca oleh pendengar.

Pada ayat-ayat tertentu yang merupakan kata-kata orang kafir pula disunatkan
membacanya dengan perlahan (tidak nyaring). Diwayatkan : Ibrahim al-Nakha'i
membaca perlahan pada ayat "Wa qaalatil-Yahuudu yadullaahi maghluulah" (Dan berkata
orang-orang Yahudi, 'Tangan Allah terbelenggu'
- QS. 5:64) dan "Wa qaalatil-Yhuudu 'Uzayrunibnullaah" (Dan berkata orang-orang
Yahudi: ''Uzayr anak Allah' - QS. 9:30) .

Sunat membaca al-Qur'an sambil menangis. Rasulullah s. a. w bersabda, mafhumnya,


"Bacalah al-qur'an serta menangis. Jika tidak menangis seberapa boleh menangislah".
Kata Ibu 'Abbas, "Apabila kamu baca ayat Sajadah, maka jangan kamu segera sujud
sehingga kamu menangis. Jika tidak menangis, hendaklah menangis di dalam hati".
Sesungguhnya yang mendorongkan tangisan itu ialah menjadikan hati dukacita".
Daripada dukacita itulah tercetusnya tangisan. Rasulullah bersabda, mafhumnya,
"Bahawa al-qur'an itu diturunkan dengan dukacita, maka apabila kamu membacanya,
hendaklah dengan hati yang dukacita". Timbulnya dukacita itu ialah dengan mengingati
dan mengamati perbuatan yang dimurkai Allah serta mengingati kecuaian mentaati
perintah dan tegahan-Nya, lalu tercetuslah tangisan. Diriwayatkan, bahawa menangis
ketika membaca al-Qur'an itu ialah sifat orang-rang shalihin dan 'arifin.

Sunat memelihara hak ayat-ayat yang dibaca, iaitu hendaklah melakukan sujud al-
Tilawah (sudut Sajadah) apabila membaca ayat-ayat Sajadah. Terdapat 14 tempat (ayat
Sajadah) di dalam al-Qur'an : masing-maasing satu ayat dalam surah al-A'raaf, al-Ra'd,
al-Nahl, al-Israa`, Maryam, dua dalam surah al-Hajj, masing-masing satu ayat dalam
surah al-Furqaan, al-Naml, Alif-laam-mimm al-Sajadah, Haa-miim al-Sajadah, al-Najm,
al-Insyiqaaq dan al-Qalam. Selain itu, ayat Sajadah dalam surah Shaad disunatkan
melakukan sujud Syukur. Rasulullah bersabda, mafhumnya, "Nabi Dawud Sujud kerana
taubat dan kami sujud kerana syukur" - (HR. al-Nasa`ii).

Dalam setiap sujud Syukur dan Tilawah itu disunatkan membaca doa yang tertentu.
Syarat-syaratnya pula sama dengan syarat-syarat mendirikan sembahyang, iaitu
berwudhu', menutup aurat, mengadap kiblat dan tempat, pakaian serta tubuh badan yang
suci. Apabila selesai bacaan, disunatkan mentashdiqkan Allah dan naik saksi tentang
tabligh Rasul-Nya, iaitu : Shadaqallaahul-'Azhiim wa ballagha Rasuuluhul-kariim wa
nahnu 'alaa dzaalika minal-Syaahidiin. Kemudian disunatkan pula berdoa :
Allaahummaj'alnaa min syuhadaa`il-haqqil-qaa`iminna bil-qisth. Kemudian ditambah
dengan mana-mana doa pilihan yang lain. Akhirnya, apabila khatam bacaan, bacalah doa
Khatam al-Qur'an. Demikianlah adab-adab membaca al-Qur'an al-Karim. Dengan
mengamalkannya, mudah-mudahan akan mendapat berkat dan keridhaan Allah, insya
Allah.

Wallahu a'lam.

You might also like