You are on page 1of 3

Peranan Ibu Bapa Dalam Mengurangkan Gejala Sosial

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu
meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Sejak akhir-
akhir ini, berita mengenai golongan remaja yang terjebak dalam gejala sosial
kerap terpampang menerusi dada akhbar. Isu ini menjadi suatu isu yang hangat
diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai. Antara penyakit sosial
yang dimaksudkan ialah gejala vandalisme, buli dan ponteng. Keutuhan institusi
kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga
institusi ini diibaratkan seperti cerucuk di dalam sesebuah bangunan yang kukuh.
Malah, institusi kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial
sehingga kempen “Rumahku Syurgaku” diadakan secara besar-besaran. Program ini
menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan
keutuhan institusi keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi
menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada


anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh.
Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai
dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap
sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis
sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan materialistik yang
ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja
mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada hujung
minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-
aktiviti riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa
remaja makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada
menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang
mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan
keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih
sayang ayah dan ibu.

Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang
sempurna. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap
pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral dapat menjamin
keimanan remaja agar dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang
buruk dan seterusnya mendorong remaja mengawal tingkah laku mereka.
Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih
daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak tidak benar
sama sekali. Mereka juga harus memastikan anak-anak mereka mendapat ajaran
agama yang sempurna. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk
membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama yang dibekalkan kepada
remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai benteng
pertahanan diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan
diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan merosakkan
nama baik sesebuah keluarga.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan
anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah.
Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi
pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak
mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang
pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa
akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yang
bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu
memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka
tidaklah bagai mencurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada
penawarnya. Masalah remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah
itu lebih baik daripada mengubati. Ibu bapa memainkan peranan untuk menjaga
kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka
dan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang
ringgit.

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka
kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa sememangnya perlu
memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan
mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu
bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai
tabiat buruk seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana
anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya
merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri
mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka
terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti
ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan
terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan
melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perlu dihapuskan
sehingga akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu
bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi
memastikan golongan remaja tidak akan ditulari sebarang penyakit sosial kerana
remajalah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Mereka harus
dibimbing agar akan menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan.
Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda
kelas pertama akan dapat direalisasikan. Marilah kita sama-sama mengekang diri
daripada terjerumus dalam kancah sosial yang mampu meranapkan harapan bangsa
dan negara.

You might also like