You are on page 1of 6

Pembaharuan Pemikiran Islam - Kemana Arahnya?

Al-Qur’an perlu pentafsiran semula. Syari’ah Islam tidak relevan dalam konteks
dunia maju hari ini (oleh itu ia tidak perlu dipertahankan !!?). Ajaran Islam tidak
membawa kemajuan pada umatnya. Oleh itu perlu suatu pembaharuan
pemikiran !!?.

Walaupun isu-isu pembaharuan pemikiran tidak dibahAskan sehebat zaman


terdahulu namun arusnya masih kuat dan terus berkembang. Sehingga kini kita
masih mendengar lontaran pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan pendapat
yang lazim dan difahami ummat. Cetusan pemikiran seperti ini telah mewujudkan
beberapa kelompok manusia. Salah satu kelompok manusia adalah mereka yang
cenderung mendukung pembaharuan pemikiran. Mereka ini bukan sekadar menjadi
pendukung pemikiran ini malah menjadi penerus dan penyebar pemikiran tersebut
dengan menerima semuanya tanpa melakukan analisis lebih lanjut. Satu kelompok
yang lain pula muncul juga mereka yang menolak pemikiran pembaharuan ini
kerana bertahan pada pemahaman Islam secara tekstual. Disamping itu terdapat
juga sebahagian besar masyarakat awam yang keliru sedangkan mereka tidak
memiliki kefahaman Islam yang cukup untuk menilai masalah ini.

Persoalannya bagaimana Islam memandang dan menerima pembaharuan pemikiran


tersebut ?

Makna Pembaharuan. Dalam Islam, pembaharuan dikenali sebagai tajdid. Secara


etimologis, tajdid bererti membuat pembaharuan terhadap sesuatu. Dari segi
istilahnya ialah pembaharuan pemahaman agama secara syamil dan kamil
(sempurna dan menyeluruh) dengan menghidupkan ajaran-ajarannya untuk
disebarkan ke seluruh umat manusia.

Dr. Yusuf Qardhawi mendefinisikan tajdid sebagai memelihara inti ajaran Islam,
watak atau karakteristiknya dan sendi-sendinya. Pemeliharaan ini bertujuan untuk
kembali pada ajaran Islam yang murni seperti pada zaman Rasulullah dan Khulafa’
Arrasyidin. Sejajar dengan itu, Al-Maududi pula berpendapat tajdid yang
sebenarnya adalah membersihkan ajaran Islam dari berbagai bentuk jahiliyah serta
berusaha menghidupkan ajaran Islam yang murni.

Jadi, pembaharuan dalam Islam merupakan suatu usaha untuk mengembalikan


ajaran Islam seperti keadaannya ketika ia muncul pada kali pertama.
Mengembalikan ajaran Islam yang tulen dengan cara membersih, tanpa mengubah
atau menyelewengkannya (inhiraf) serta tanpa perlu menggantikan ajaran Islam
dengan fahaman baru bertujuan untuk menyesuaikannya dengan perkembangan
zaman.
Pembaharuan pemikiran Islam juga merupakan suatu perjuangan mengembalikan
pemikiran umat kepada pemikiran yang sesuai dengan nilai-nilai Ilahiyah serta
pemikiran yang sihat dan benar (salimah). Oleh itu pembaharuan pemikiran Islam
bukan bererti berfikir untuk menghasilkan formula baru dalam ajaran Islam dengan
menghapuskan inti ajarannya. Namun ia bermaksud untuk lebih kontekstual dan
rasional serta tetap iltizam dengan paradigma pemikiran Islam.

Fenomena Pengubahsuaian. Kebangkitan umat Islam diiringi.dengan perkembangan


peradaban telah menumbuhkan fenomena-fenomena kemajuan umat. Di antaranya
adalah tumbuhnya gerakan pembaharuan Islam yang menjadikan prinsip utama
gerakannya adalah mengembalikan keagungan umat (izzah) dan keyakinan umat
Islam akan nilai-nilai agamanya yang abadi.

Namun dalam waktu yang sama muncul pula aliran pemikiran baru. Aliran ini
bergerak di atas dasar ingin menafikan kenyataan kemunduran umat dengan
mencari penyelesaian pembaharuan mentaliti mereka. Mereka beranggapan
kemunduran umat Islam dalam peradaban kerana keteguhan umat dalam
memegang ajaran Islam dan nilai-nilainya. Sedangkan ajaran Islam itu hanya
relevan dengan masa lalu yang telah jauh ditinggalkan oleh perkembangan
kehidupan manusia. Menurut mereka nilai-nilai Islam tidak lagi memenuhi tuntutan-
tuntutan zaman moden. Maka penyelesaian yang paling tepat adalah mengikuti
sistem pemikiran Barat yang telah terbukti berjaya dalam kemajuan peradaban.

Bermula dari pendapat inilah timbulnya “pengubahsuaian” dalam gerakan


pembaharuan pemikiran. Berikut ini adalah di antara gejala-gejala
“pengubahsuaian” dalam pembaharuan pemikiran Islam yang telah berkembang
cukup meluas.

[b]1. Bidang Penafsiran Al-Qur’an

Bertitik tolak dari anggapan bahawa interpretasi Al-Qur’an selama ini merupakan model
penafsiran klasik dan tidak lagi mengikut konteks semasa. Pemikiran ini berusaha melahirkan
gagasan baru dengan membentuk semula model penafsiran yang lebih kontekstual.
Contohnya terdapat pendekatan-pendekatan yang didakwa untuk menyenangkan Al-Qur’an
diterima oleh manusia. Mereka beranggapan bahawa Al-Qur’an sebagai wahyu yang berasal
dari Tuhan memiliki dinding yang sulit ditembusi. Padahal, Al-Qur’an merupakan manhaj yang
mengatur kehidupan manusia dan ajarannya sangat manusiawi. Usaha untuk memberi
pemahaman penafsiran Al-Qur’an yang meninggalkan dari segi teks ternyata akan
menghilangkan ruh dan nilai keislaman serta menjejaskankan kemurniaan Al- Qur’an.

Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa sosio-sejarah yang menjadi latarbelakang
turunnya Al-Qur’an kebanyakannya dalam konteks ke “Araban”. Sehingga ajarannya juga
banyak ditujukan untuk orang-orang Arab, seperti ayat hijab. Golongan ini mengemukakan
hujah mereka bahawa hijab sesuai digunakan di negara Arab kerana keadaannya berpasir dan
panas. Oleh itu hukum ini hanya layak diguna pakai untuk orang Arab, bukan umat Islam
seluruhnya. Akhirnya pemikiran-pemikiran begini akan membawa kita pada suatu tanggapan
bahawa semua ajaran dalam Al-Qur’an adalah khusus untuk orang Arab maka tidak wajib kita
mengamalkannya.

Yusuf Qardhawi dalam bukunya Bagaimana Memahami Hadits Nabi SAW. mengungkapkan
penafsiran seperti ini merupakan ciri-ciri orang jahil yang tidak mengerti Islam serta tidak
mampu meresapi jiwa dan semangat Islam. Mereka juga tidak mampu melihat hakikat Islam
dengan mata hatinya (bashirah).

2. Memahami Hadis Nabi SAW.

Hadis Nabi SAW. merupakan penafsiran Al-Qur’an yang amali. Nabi SAW. mencontohkan
pengamalan Al-Qur’an dalam kehidupan seharian. Saidatina Aisyah ra. pernah ditanya tentang
akhlak Rasulullah, beliau berkata, "Akhlak beliau adalah Al-Qur’an,". Allah juga telah memuji
Rasulullah SAW dalam Al-Qur’an dengan firman Nya yang bermaksud ;

"…dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung." (QS al-Qalam :4).

Peribadi baginda yang mempesonakan mampu menarik ramai manusia mengikuti ajaran yang
dibawanya. Namun terdapat segelintir manusia yang tidak senang dengan situasi ini. Mereka
membuat propaganda untuk mengaburkan pemahaman umat terhadap hadis Nabi SAW.

Dewasa ini muncul pula pemikiran yang ingin memisahkan peribadi Nabi Muhammad sebagai
Rasul dengan sebagai manusia. Apabila melihat Muhammad sebagai Rasul, setiap perbuatan
dan perkataan Muhammad mutlak kebenarannya dari Allah. Maka sebagai seorang Muslim
mereka harus mengikuti dan mentaatinya. Namun apabila melihat Muhammad sebagai
manusia biasa, Muhammad tidak luput dari melakukan kesalahan, maka setiap perilakunya
tidak semesti diikuti kerana bukan berasal dari Allah.

Motif pemikiran tersebut adalah untuk menanamkan dalam fikiran umat Islam apabila kita
mendengar sabda Rasulullah SAW perkara utama yang mesti dilakukan terlebih dahulu ialah
memilih adakah Muhammad ketika itu sebagai Rasul atau manusia? Jika sebagai manusia,
maka tidak perlu diikuti! Pada hakikatnya mereka meletakkan semua perbuatan dan perkataan
Rasulullah sebagai manusia yang tidak perlu ditiru dan bukan merupakan ajaran Islam.

3. Merasionalkan Ajaran Islam

Merasionalkan ajaran Islam bererti meninjau kembali atau mengkritik ajaran Islam dengan
akal. Mengkritik ajaran Islam sama dengan meragukan kebenarannya. Dalam hal ini, mereka
yang mengikuti aliran pemikiran ini akan menempatkan akal pada peringkat pertama. Bagi
mereka akal dapat memahami kebenaran wahyu, maka dalam menetapkan ajaran Islam juga
mereka menjadikan akal sebagai sumber pertama dan wahyu Allah jatuh ke tempat kedua.

Bagi mereka, akal adalah segala-galanya dalam kehidupan yang berfungsi secara aktif dan
bebas. Parameter untuk mengukur kebenaran adalah rasional atau akal. Kebenaran adalah
yang rasional dan kebenaran yang sesuai dengan keadaan alam dan persekitaran. Oleh itu
bagi mereka jika ajaran Islam tidak rasional bererti ia bukan kebenaran. Aliran pemikiran ini
sungguh mengelirukan umat Islam namun mendapat sokongan kuat sebahagian besar
masyarakat yang menggelarkan diri mereka “bertamadun”.

4. Mementingkan Aspek Iman

Apabila kita hanya mementingkan aspek iman bererti kita memandang Islam secara separa,
tidak menyeluruh. Seperti orang buta yang menggambarkan seekor gajah. Islam tidak pernah
memisahkan antara nilai imaniah dan nilai amalan. Iman tidak hanya terhenti pada keyakinan
dalam hati, akan tetapi ia juga merupakan pengakuan secara lisan dan mengaplikasikannya di
dalam tindakan (amalan).

Ada golongan yang berpandangan bahawa imanlah yang paling penting. Orang yang beriman
tanpa beramal masih tetap menjadi seorang mukimin. Segala perbuatan baik atau buruk tidak
mempengaruhi iman. Mereka juga berpendapat bahawa jika seorang itu beriman lalu
memasuki gereja dan menyatakan dirinya menganut ajaran triniti secara lisan tidak dengan
keyakinan dia masih dianggap beriman. Mereka juga berpendapat bahawa untuk mencapai
kemajuan mereka tidak perlu memberi penekanan hanya pada amalan seseorang. Yang
mengetahui keimanan kita hanyalah Tuhan dan perbuatan bukanlah ukuran keimanan.

5. Sekularisasi dan Liberalisasi Pemikiran

Sekularisasi merupakan natijah daripada pemikiran rasional yang mempertimbangkan segala


sesuatu dengan akal. Karakter sekularisasi ialah ingin menolak kekuasaan Tuhan dalam
kehidupan manusia yang membawa pada sikap bebas (liberal) dalam menentukan
kehidupannya. "Berfikirlah dengan bebas seakan-akan tidak ada Tuhan". Ini merupakan slogan
yang melepaskan ikatan manusia dengan Rabb. Ia juga membebaskan manusia daripada
aturan yang dibuat Allah seterusnya membebaskan hati dari rasa ketundukan dan ketaatan
pada Nya.

Apa yang lebih parah lagi apabila mereka mengatakan bahawa agama pada dasarnya
merupakan kepercayaan pada kebenaran Tuhan. Semua agama itu sama, tidak membezakan
agama Islam dengan agama-agama lain sebagai suatu manhaj (sistem) kehidupan yang
dicipta Allah untuk mengatur semesta alam.

Mereka menyajikan pemikiran-pemikiran di atas dengan begitu tersusun dan indah disertakan
pula dengan hujah yang kuat serta mengkagumkan. Ini menyebabkan ramai orang terpesona
serta ter “kagum” dengan ucapan dan penampilan mereka. Allah menggambarkan hal itu
dalam firman Nya: "Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu
kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengar perkataannya. Mereka adalah seakan-akan
kayu yang tersandar. Mereka mengira tiap teriakan yang keras ditujukan pada mereka. Mereka
itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka..." (QS al-Munafiqun :4).

Penyelesaian Islam.
Menurut Islam, apa yang perlu diperbaharui adalah keadaan umatnya dalam melaksanakan
ajaran Islam. Misi utama pembaharuan Islam adalah mengembalikan izzah umat dan
keyakinannya akan tiang agama yang bersifat abadi. Pembaharuan Islam juga bertujuan
mengembalikan umat agar melaksanakan ajaran Islam secara murni dengan menghidupkan
nilai-nilai Al-Qur’an dan as-Sunnah dalam kehidupan.

Namun hati-hati yang berpenyakit amat cemburu dengan kebangkitan umat Islam. Lalu
mereka mengadakan tipudaya ingin memperbaharui ajaran atau syariat Ilahi serta meragukan
umat Islam akan kebenaran agamanya. Pembaharuan pemikiran yang mereka katakan sebagai
kebangkitan peradaban sesungguhnya adalah usaha memerangi pemikiran (ghazwul fikr)
umat Islam yang telah membina peradaban Islam yang dibangunkan atas dasar iman

Oleh itu, langkah-langkah ghazwul fikr seperti tasykik (keraguan terhadap umat) dan tasywih
(mengkaburkan nilai-nilai Islam) perlu dijangkakan dengan membangun kekuatan ummah.

Membangun kekuatan akidah.

Akidah merupakan kekuatan yang paling asas dan paling utama. Selama 13 tahun Rasullullah
menanamkan akidah para sahabat dengan menggunakan kekuatan ma’nawiyah (kekuatan
hati). Akidah yang kuat akan melahirkan kekuatan hati untuk tunduk dan taat pada Allah.
Akidah yang kuat yang akan sentiasa membawa seseorang untuk berfikir dengan cara yang
benar, sesuai dengan hidayah Allah. Akidah yang kuat juga akan membangunkan peribadi
yang siap-sedia menghadapi serangan musuh, kerana sentiasa iltizam memegang nilai-nilai
Islam.

Membangun kekuatan akhlak.

Rasullullah SAW. diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Baginda juga adalah manusia
yang mempunyai akhlak yang paling mulia. Dengan akhlak, umat Islam dapat menangkis
serangan yang datang dari musuh. Akhlak juga dapat menjadi dakwah yang berkesan dengan
menampilkan peribadi yang kuat serta mempesonakan seterusnya menjadi qudwah dan
tauladan bagi umat.

Membangun kekuatan jihad.

Jihad bukan hanya bererti perang. Jihad adalah perjuangan untuk menghidupkan Islam dalam
jiwa umat. Inilah pembaharuan yang dimaksudkan iaitu membangunkan jiwa jihad yang dapat
menggerakkan potensi fikiran dan amal untuk mengubah serangan nilai kehidupan yang tidak
selari dengan nilai-nilai Islam. Seterusnya menanamkan keteguhan diri dalam
mempertahankan al-Haq.

Rasullullah SAW sebagai pengasas peradaban Islam telah menunjukkan bahawa peradaban
Islam mestilah didahului dengan membina peribadi-peribadi beriman, berakhlak mulia dan
berjihad fisabilillah. Peribadi-peribadi ini yang disebut di dalam Al-Qur’an sebagai generasi
yang dicintai Allah dan mereka pun menyintai Nya.
“….nanti Allah akan mendatangkan satu kaum. Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi
Allah…” (QS Al-Maidah :54)

Oleh itu bagaimana umat Islam harus berfikir agar selari dengan Islam? Allah SWT
memberikan potensi akal pada manusia untuk berfikir bagi membezakan antara manusia
dengan makhluk yang lain. Ungkapan seperti “afala ta’qiluun” dan “afala tatafakkarun”
seringkali Allah diungkapkan dalam Al-Qur’an sebagai perintah agar manusia menggunakan
akalnya. Ungkapan ini juga sebagai peringatan bagi orang yang tidak mahu berfikir.

Berfikir secara Islam bermaksud menggunakan akal untuk menghasilkan pemikiran yang selari
dengan Islam. Seterusnya sentiasa mendukung ajaran Islam yang bersumber dari wahyu atau
Al-Qur’an dan as-Sunnah. Akal yang dipandu oleh wahyu Ilahi pasti membawa manusia kepada
kebenaran, ketaatan dan kepatuhan kepada Rabb. Jika berfikir menjadikan manusia lebih sesat
nyatalah akal mereka telah dikuasai oleh hawa nafsu.

You might also like