You are on page 1of 15

Contoh Karangan : Gejala Merokok Dalam

Kalangan Remaja
Julai 18, 2007 — mindabahasa

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk
mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak
dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah
membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru.
Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam
kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.

Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini


sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk
membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras
negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini.
Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru
tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.

Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media.


Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok.
Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi
kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui
pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan
kadar perokok dapat dikurangkan.

Kempen anti merokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu
di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk
membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan
buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok.
Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk
berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji.
Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan
mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.

Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk


menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan
intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.
Contoh Karangan Pendapat : Isu Dadah
Jun 4, 2007 — mindabahasa

Apabila anda merdengar ungkapan “Enam Jahanam”, apakah yang


mungkin anda fikirkan ? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau
nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis ? Rupa-rupanya,
ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah yang harus diberi perhatian
serius kerana penyalahgunaannya yang meluas – heroin, kokain, ecstasy,
kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu melancarkan “Karnival Enam Jahanam”,
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu
dadah di negara kita berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan
mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah
merupakan musuh nombor satu negara.Apakah sebenarnya dadah ? Dadah yang
fungsi asalnya ialah bahan perubatan merupakan bahan kimia psikoaktif yang
mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan
khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang
berterusan mendatangkan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan
negara.

Pada akhir tahun 1960-an, negara kita mulai mengalami masalah


dadah Golongan remaja dipengaruhi oleh kebudayaan ‘hippie’ dan askar-askar
Amerika yang melancong ke Pulau Pinang. Sebagai kesan daripada kedua
pengaruh tersebut, penagihan dadah telah merebak ke seluruh negara.
Golongan muda yang terlibat dalam penagihan dadah merupakan pemuda-
pemudi harapan bangsa dan negara dan terjerumusnya mereka dalam
alam khayalan ini mengakibatkan mereka bukan sahaja tidak berguna kepada
masyarakat bahkan diri mereka sendiri. Memandangkan hakikat inilah,
kerajaan telah mengambil sikap tegas terhadap pengedaran dadah, dan
mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi rakyat termasuklah
undang-undang yang amat ketat. Tetapi, pengedaran dadah nampaknya tidak
boleh diselesaikan dengan hanya peruntukan undang-undang seperti Akta Dadah
Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) walaupun mereka yang
sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori. Oleh itu, kerajaan telah
melancarkan kempen antidadah di seluruh negara secara meluas. Namun
demikian, tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya kita pikul
bersama.

Tindakan pencegahan dadah yang berkesan memerlukan


penglibatan semua golongan masyarakat. Pada zaman moden ini, golngan muda
lebih bebas, terdedah kepada pengaruh asing dan mereka lebih
mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat
dengan kegiatan yang tidak sihat. Untuk disanjung oleh kawan, mereka
menunjukkan keberanian dengan menghisap rokok dan dadah. Sekali
mereka bermula, maka amat sukar bagi mereka memberhentikan amalan
buruk ini. Masyarakat harus dididik sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis,
benda yang kotor dan tidak boleh disentuh. Sekiranya kita berjaya menyemai
nilai ini dalam hati sanubari mereka, sebahagian daripada kejayaan
pencegahan dadah akan tercapai. Kita harus sedar bahawa tindakan kita ke arah
matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan
bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda untuk mewujudkan
satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Sebahagian besar penagih-penagih dadah di negara kita terdiri


daripada golongan remaja antara 15-29 tahun. Antara sebab-sebab utama
mereka ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan, sikap ingin tahu,
pengaruh persekitaran terutamanya pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi
disebabkan oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang ibu bapa
atau kerana kemewahan. Hal ini menunjukkan, sekolah boleh memainkan
peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada tahun 2005 ini, Agensi
Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program pencegahan
penagihan dadah besar-besaran tahun ini dengan sasaran utama terhadap
golongan belia terutama pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan usaha
terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baru di negara ini. Menurut
laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada sejumlah 30,659
penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru manakala sebanyak
15,667 adalah penagih berulang. Data ini jelas menunjukkan kita perlu
bersungguh-sungguh dengan program pencegahan kerana program pemulihan
dan rawatan sukar menghalang penagih-penagih ini mengulangi kegiatan
mereka.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan


dadah lazimnya bermula dengan tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat
ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok. Apabila merasakan rokok
tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya ganja juga
tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin

dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam memerangi
najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk mendapatkan
dadah.

Masyarakat harus sama-sama menyedari akan kesan pengambilan dadah.


Dengan berfikiran rasional, mereka tentu tidak sanggup menerima risikonya
yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah mendapat penyakit meningitis,
penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah
pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal
pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa
keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang dengan
kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit AIDS yang
amat digeruni.
Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk
memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah
sifar. Marilah kita sama-sama menghapuskan najis dadah yang
“menjahanamkan” masyarakat daripada terus hadir di Malaysia. Kita tiada
pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu
“Perangi Dadah Habis-Habisan”.

KEMALANGAN JALAN RAYA

Kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini meningkat dari semasa ke
semasa. Terdapat pelbagai jenis kemalangan sama ada yang melibatkan pemandu kereta,
lori, penunggang motosikal, atau pejalan kaki dilaporkan oleh pihak berkuasa. Negara
kita juga dikatakan sebagai sebuah negara yang mempunyai kadar kemalangan jalan raya
yang tertinggi. Antara faktor utama peningkatan kes kemalangan di negara kita berpunca
daripada kecuaian pengguna jalan raya sendiri.

Contoh kecuaian yang berlaku adalah seperti memandu dalam keadaan letih dan
mengantuk. Akibat hendak segera sampai ke destinasi yang dituju, mereka tidak
menghiraukan keadaan mereka yang dalam keletihan. Akibatnya kenderaan dipandu
dalam keadaan kurang tumpuan. Pemandu yang berada dalam keadaan begini seharusnya
berhenti seketika untuk menghilangkan rasa mengantuk dan letih supaya dapat memberi
tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan.
Kesalahan lain yang biasa dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah memandu
melebihi had laju yang ditetapkan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Walaupun banyak papan tanda had laju diletakkan di sepanjang jalan raya dan kawalan
lalu lintas oleh pihka berkuasa, namun mereka masih berdegil dan memandu sesuka hati
tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri dan orang lain. Malah, ada juga yang
berlumba secara haram menggunakan motosikal di atas jalan raya seperti yang biasa
dilakukan oleh golongan remaja.

Untuk mengelakkan kejadian kemalangan yangteruk meningkat, langkah-langkah


yang praktikal perlu diambil oleh semua pihak. Pihak kerajaan, swasta dan rakyat harus
bekerjasama demi memastikan keselamatan semua. Pihak kerajaan daripada pelbagai
jabatan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, polis, dan Jabatan Kerja Raya harus
membuat pemantauan dari semua aspek untuk mendisiplinkan para pemandu dan
menyediakan laluan jalan raya yang selesa demi keselamatan pemandu. Penguatkuasaan
undang-undang, kempen kesedaran, dan pelaksanaan denda atau saman bagi kesalahan
jalan raya adalah antara langkah yang wajar diambil untuk menyedarkan pengguna jalan
raya. Sektor swasta juga memainkan peranan penting dalam menangani masalah ini
dengan menyiarkan iklan yang dapat memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya
yang lain.

Masyarakat harus sedar tentang peranan masing-masing di jalan raya. Mereka


tidak harus mementingkan diri sendiri sebaliknya perlu bertolak ansur dengan pengguna
jalan raya yang lain. Peraturan jalan raya haruslah dipatuhi untuk memastikan
keselamatan semua pihak. Jangan gopoh gapah semasa memandu kerana kecuaian
menjadi punca nyawa sendiri dan orang lain yang tidak bersalah turut terancam.
Kenderaan perlulah diperiksa terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

Kesimpulannya, keselamatan di atas jalan raya merupakan tanggungjawab


pengguna jalan raya sendiri. Kecuaian merupakan punca utama kemalangan berlaku dan
hal ini tidak harus dibiarkan berterusan untuk menjamin keselamatan semua pihak.
Manusia memang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan tetapi kesilapan yang
dapat menyebabkan nyawa orang lain juga turut melayang haruslah dielakkan demi
kesejahteraan bersama.
Isi Penting Esei Pelancongan
Jun 30, 2008 — mindabahasa

Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju

dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan

Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk

pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion,

termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut

melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia

juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur - selepas

China dan Hong Kong.

* Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia
yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga

tempatan.

· Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan

industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam

pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.

· Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat

direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi

penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan

lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong,

semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat

Malaysia.

· Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan

promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di

dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’

(pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia. Pelancong-

pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di Malaysia, tentunya akan

datang semula dan juga akan memberitahu rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi

galakan yang terbaik.

· Jika diperhalus, banyak yang perlu dibaiki dan dibetulkan. Insiden-insiden pelancong

ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran pusat-pusat makanan, kelemahan sistem pengangkutan

awam, pencemaran sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya

tidak menyumbang kepada pengalaman yang baik kepada para pelancong.

· Aduan-aduan daripada para pelancong mesti dilihat sebagai cara terbaik untuk

memajukan industri pelancongan kita lagi. Satu anjakan sikap perlu berlaku dalam memberi

layanan terbaik kepada pelancong.

· Siri-siri dialog dan pertemuan lebih kerap perlu diadakan dengan semua kementerian,

jabatan, agensi dan sektor swasta bagi merangka perancangan dan program bersepadu bagi

memajukan industri pelancongan tempatan. Usaha-usaha menggalakkan pelancongan tidak

akan membuahkan hasil jika setiap pihak di dalam industri berkenaan tidak menjalankan

peranan mereka dengan sebaik-baiknya.


· Pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri pelancongan di

negara ini dijalankan. Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mempunyai

pengaruh besar dalam industri pelancongan di rantau ini telah mengadakan persidangan

tahunannya di sini. Forum Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut

diadakan. Begitu juga dengan Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan

Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 telah dianjurkan di sini.

· Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk

memajukan industri pelancongan. Kejayaan industri ini bergantung kepada usaha pacuan

sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Usaha sektor awam atau kerajaan ini tidak

akan berjaya tanpa digerakkan dan didorong oleh sektor swasta. Sektor swastalah yang

menggerakkan perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan,

pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat membeli-belah.

· Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini seperti

mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan infrastruktur.

· Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya bahawa kejayaan sebenar industri

pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat Malaysia sendiri. Selain pihak

kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus

bersedia untuk memiliki sikap menyumbang kepada industri ini.

Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di tempat-tempat awam

hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan negara dalam membuat sebarang

keputusan semasa menjalankan kerja-kerja seharian.Untuk lebih memahami keperluan

pelancong, rakyat negara ini juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.

· Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja boleh meningkatkan kualiti hidup

diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan

kekuatan ekonomi industri itu.

· Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih kukuh, maka ini

dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan memudahkannya menerima

pelancong luar negara. Selain itu, dengan sering kali melakukan perjalanan, seseorang itu
akan memperoleh idea-idea baru bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di

negara ini.

· Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke

negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan kemakmuran Malaysia di mata

dunia.Pelancongan berasaskan pertanian untuk memberi pengalaman kepada pengguna

merasai hidup kampung dan merasai nikmat alam semula jadi melawat ladang buah-buahan,

ladang sayur-sayuran, ternakan ikan dan sebagainya.

Contoh Karangan Ceramah : Isu Teknologi Maklumat


Mei 15, 2007 — mindabahasa

Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi

teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi

maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat,

anda diminta memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks

ceramah itu.

Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan

Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati

sekalian. Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk

memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai
harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya

Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas

750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang

Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau

kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC

dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan.

Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media.

Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi

ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas.

Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah

dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata

dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui

iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda

sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan

tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk

meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media

dalam bidang pendidikan.

Hadirin yang budiman,

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan

efisien dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau

‘e-commerce,’ cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti

cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat

laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa

Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru.

Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam

negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan

dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang

mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel!
Justeru, jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek

perniagaan.

Hadirin yang dimuliakan,

Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti

keluaran industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu

meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta

dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat

dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa

teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap

sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi

tumpuan kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft

Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius

dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat

pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa

pembangunan multi media membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama

rendah” dengan negara-negara maju yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan

antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang

berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli

keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar

dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan

agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui

mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan

jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara

terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet.

Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara

dan berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?
Hadirin sekalian,

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi

negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di

Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan

internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin

bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang

disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan

kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar

dibendung oleh sesiapa.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di

kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan

daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan

sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut

keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan

mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di

kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan

kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada

ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan.

Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan

remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih

dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.

Hadirin yang dikasihi,

Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk

boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan

agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di

luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita

sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan
kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di dalam negara.

Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan

anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi

media yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa

yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita.

Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.

Sekian, terima kasih.

You might also like