You are on page 1of 12

SEJARAH ILMU MANTIK ANTARA ZAMAN PRA-ISLAM SEHINGGA SELEPAS KEWAFATAN RASULULLAH S.A.W.

PENGENALAN
Mantik ialah salah satu ilmu klasik Yunani yang diadaptasi oleh ulama serta ilmuan Islam pada awal abad ke-2 Hijrah. Mantik ialah sebahagian ilmu akli (ilmu yang berasaskan akal fikiran). Ilmu ini telah wujud lama sejak sebelum kelahiran Nabi Isa a.s lagi. Ilmu Mantik sangat berkait rapat dengan falsafah dan teologi, bahkan boleh dianggap menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dalam disiplin teori ilmu tersebut. Ahli falsafah Yunani lebih banyak menggunakan logik, sedangkan di dunia Islam lebih banyak digunakan para ahli teologi (ahli ilmu kalam), khususnya pada awal abad ke -6 ketika disiplin falsafah mulai mengalami kemunduran. Golongan ahli falsafah Yunani memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu ini. Ceritanya bermula di Athens (ibu kota Yunani), di mana kota tersebut telah didatangi sekumpulan penjajah yang dikenali sebagai golongan Sophistos. Mereka mula menyebarkan pemikiran-pemikiran yang salah di kalangan penduduk dengan tujuan untuk menggulingkan kerajaan Yunani dan menghapuskan kepercayaan kepercayaan agama yang dimiliki rakyatnya. Keadaan ini berlarutan hingga kemunculan Socrates yang berjaya menghapuskan penyebaran pemikiran-pemikiran salah tersebut dan menjelaskan kepada penduduk Athens tentang jalan kebenaran dan kebatilan dengan menggunakan teknik kesimpulan berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan. Cara yang sama dan menggunakan kaedah perbahasan ilmiah digunakan oleh anak muridnya, Plato. Selepas itu, muncul pula anak murid Plato yang bernama Aristotle yang mempunyai kelebihan berbanding gurunya dan amat hebat dalam perbahasan.

PENGERTIAN ILMU MANTIK


Pengertian Mantik secara umum terbahagi kepada dua bahagian iaitu : 1. Pengertian bahasa 2. Pengertian istilah

PENGERTIAN BAHASA
Sudut bahasa Mantik membawa maksud: a. Perkataan Mantik berasal daripada bahasa Yunani, iaitu Logos yang bermaksud: Kata atau fikiran yang benar. Golongan yang memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu ini ialah ahli falsafah Yunani. b. Mengikut bahasa Arab ia berasal daripada perkataan nataqa , yang bermaksud : berkata atau bercakap. Ulama Arab juga mengaitkan ucapan dan pemikiran itu sebagai tidak dapat dipisahkan dalam ilmu ini. Ucapan adalah rangkaian yang lahir daripada pemikiran.Manusia sering digambarkan sebagai makhluk yang berbicara atau haiwan yang berkata-kata. c. Manakala mengikut pengertian kamus Bahasa Melayu dikenali dengan nama Logik :

Berkata atau bercakap. Menurut Kamus Dewan halaman ke 951, edisi keempat, logik bermaksud sains yang berkaitan dengan prinsip yang membolehkan pemikiran dan penaakulan dibuat secara teratur dan bersistem, ilmu tentang cara berfikir atau kaedah berfikir.

PENGERTIAN ISTILAH
Mengikut Istilah pula, Mantik Klasik (muncul sejak kurun ke 6 sebelum Masihi) telah diberi dengan berbagai pengertian dan maksud oleh mereka yang pakar dalam ilmu Mantik, antaranya ialah : a. Ibnu Sina mentakrifkan Ilmu Mantik ialah suatu ilmu yang mengawal pemikiran manusia dari tersalah dan terpesong sewaktu berfikir. Dalam erti kata lain, beliau juga mentakrifkan Ilmu Mantik sebagai suatu ilmu untuk mencari dalil dan bukti serta menjadi peraturan-peraturan kepada manusia ketika berfikir. Ibnu Sina juga telah menulis beberapa buah buku yang menerangkan Ilmu Mantik secara terperinci.Di antaranya ialah Asy-Syifa yang banyak membahas dan membicarakan Ilmu Mantik. b. Imam Al-Ghazali mentakrifkan Ilmu Mantik sebagai suatu ilmu yang dapat membezakan di antara suatu ilmu yang membawa ke arah kebenaran dan keyakinan dengan ilmu yang membawa pemikiran ke arah kesamaran dan salah.Dalam erti kata lain Imam Al-Ghazali mengatakan Ilmu Mantik adalah sebagai neraca segala ilmu atau Mizan al- Ilm. c. Aristotle pula berpendapat , Ilmu Mantik merupakan suatu ilmu yang merupakan alat serta asas kepada ilmu-ilmu lain. Beliau berbicara menggunakan kesimpulan (Qiyas), bukti dan debat. Beliau juga telah menyusun beberapa kaedah yang boleh menyimpulkan sesuatu secara meyakinkan. Dengan itu beliau telah dianggap sebagai penyusun Ilmu Mantik pada zamannya. d. Menurut Epicurus, yang merupakan salah seorang ahli falsafah Jerman yang lahir pada tahun 270 S.M serta meninggal dunia pada tahun 304 S.M, mengatakan Ilmu Mantik ialah sebuah kanun dan undang-undang berfikir. e. Mantik juga merupakan satu ibarat yang membicarakan kaedah-kaedah yang dapat memandu manusia ketika berfikir dan mereka melahirkan pemikiran bersesuaian dengan ucapan serta dapat menapis maklumat-maklumat yang diterima sama ada benar atau salah. f. Mantik juga ialah ilmu yang membicarakan mengenai keadaan dan kedudukan penyusunan lafaz-lafaz yang terbentuk dalam akal dan pemikiran manusia Pengertian Ilmu Mantik sebagaimana yang diterima oleh majoriti ahli Mantik ialah suatu ilmu yang mengandungi peraturan-peraturan untuk memandu serta mengawal akal pemikiran manusia sewaktu berfikir supaya berfikir dengan matang dan betul mengikut matlamat sebenar.

Manakala Mantik moden (berasal dari perkembangan pesat ilmuan Islam dan bermula dari kerajaan Bani Umaiyah di Andalusia, Sepanyol) lahir ekoran perkembangan dan pembaharuan yang dibuat oleh saintis-saintis berdasarkan kajian ilmiah dan Sains Moden. Mantik moden berkembang pesat disebabkan kritikan dan kajian yang lebih terperinci yang dilaksanakan oleh ilmuan-ilmuan sains yang lebih menumpukan kepada teori yang benar sahaja, khasnya Mantik Aristotle. Matlamat utama Mantik Moden ialah untuk mengkaji perkara-perkara yang dikaji dari sudut teori dan ketepatannya dengan apa yang sebenarnya berlaku. Ini kerana suatu pemikiran yang betul dan tepat itu tidak memadai dengan teori dan landasan luaran sahaja, malahan mesti disertai dengan percubaan dan hakikat kenyataan melalui amali dan praktikal.

SEJARAH AWAL KELAHIRAN MANTIK


Mantik telah muncul secara tidak langsung semenjak kurun ke 6 sebelum Masihi. Contohnya, pada zaman Herakleitos yang dilahirkan di Kota Ephesos pada tahun 489 S.M dan meninggal dunia pada tahun 540 S.M telah menggunakan akal pemikiran yang benar dan logik akal atau Logos untuk mengkaji kuasa yang menguasai hukum dunia dan segala yang menyebabkan berlakunya perubahan terhadap sesuatu unsur. Selain dari itu, pada kurun ke 6 S.M juga, muncul Pythagoras yang dilahirkan pada tahun 500 S.M dan meninggal dunia pada tahun 580 S.M talah mencipta Teorem Pythagoras. Teori tersebut digunakan untuk mencari keluasan atau panjang sesebuah segitiga bersudut tegak sekiranya panjang dua sisi lain diketahui. Antara lain Pythagoras juga mencipta Akas Pythagoras yang digunakan untuk menentukan sama ada suatu segitiga itu bersudut tegak atau tidak. Kedua-dua teori tersebut yang menggunakan kaedah matematik beserta logik akal untuk mencari keputusan. Teorem Pythagoras kemudiannya diserapkan ke dalam kaedah Al-Qiyas, iaitu kata-kata yang tersusun daripada dua ayat yang menyebabkan lahir ayat ketiga yang dinamakan Natijah. Akas Pythagoras pula diserapkan ke dalam kaedah Al-Aks iaitu menukar cerita bagi sesuatu susunan ayat dengan mengekalkan kebenarannya atau pun mengeluarkan hukum atau keputusan menerusi cara menukarkan keputusan yang sedia ada dengan mengekalkan kebenaran hukumnya Contohnya : Manusia pandai membaca, Akas ; Yang pandai membaca adalah manusia. Ekoran daripada itu, ia membuktikan Aristotle bukan orang pertama yang mencipta ilmu Mantik. Namun beliau bertindak sebagai penyusun dan menyatukannya di samping menambah teori-teori baru. Penyusunan yang dibuat oleh Aristotle itu menyebabkan Ilmu Mantik terus berkembang sebagai kaedah untuk mencari bukti, berhujah serta membuat kesimpulan berdasarkan logik akal dan pemikiran yang benar.

MANTIK DAN PERKEMBANGANNYA


Berfikir secara kritis dan teliti merupakan tujuan mempelajari Mantik. Seseorang yang mempelajari Mantik akan belajar untuk memilih kata-kata yang sesuai dengan pemikiran yang hendak dikemukakan dan mengeluarkan ungkapan yang benar dan baik serta mudah difahami oleh orang lain. Setiap manusia diberi keupayaan berfikir yang berkembang sejajar dengan pertumbuhan jasmani dan akal. Keupayaan berfikir ini bergantung pada tahap-tahap pertumbuhan yang berlainan. Pemikiran seseorang dibentuk oleh persekitarannya dan ini dapat dilihat pada rupa bentuk dan kaedah tertentu.Seseorang itu berupaya membentuk pemikirannya menjadi bernas dan matang menerusi penaakulan dan penghujahan. Kemunculan Mantik secara semulajadi, pemikiran dan falsafah secara umumnya adalah bersekali dengan kewujudan manusia, iaitu bermula dengan kelahirannya. Mantik, yang ditakrifkan sebagai peraturan-peraturan berfikir yang betul, melalui kefahaman yang menghasilkan kesimpulan-kesimpulan yang benar dan sahih, menjadi panduan kepada manusia dalam soal berfikir dan gerak daya yang berkaitan dengannya. Mantik ini sangat penting untuk memberikan pemahaman menyeluruh terhadap pola pemikiran manusia. Bagi bangsa Yunani dan bangsa di seluruh dunia, Aristotle adalah ikon dan pengasas Ilmu Mantik. Bangsa Yunani terdahulu, diliputi dengan dunia mitos dan khayalan.Kemunculan Aristotle dengan karya dan pemikirannya membawa pengaruh yang besar di Yunani pada zaman itu. Tambahan pula, beliau merupakan guru kepada Putera Alexander (Putera Raja Macedonia, Philip) dan guru falsafah di sekolah yang didirikannya dan diberi nama The Lyceum, menjadikan pemikirannya amat dikenali di kalangan masyarakat Yunani.

PEMIKIRAN-PEMIKIRAN AWAL MANTIK


Aristotle selalu menggunakan pendekatan rasional dalam setiap teorinya. Ini dibuktikan dalam setiap karya yang dihasilkan. Bahkan kejadian alam semesta ini juga tidak terjadi secara kebetulan tetapi tertakluk pada hukum-hukum rasional. Pengamatan menerusi pemerhatian dan landasan-landasan yang logik harus dimanfaatkan dalam menangani aspek-aspek duniawi dengan lebih sistematik. Kalau kita melihat kepada sejarah sains dan falsafah, kita dapati para filsuf Greek menekankan prinsip-prinsip Mantik dan menggunakan prinsip-prinsip Mantik sebelum kedatangan Aristotle lagi, dan menggunakan prinsip-prinsip Mantik dalam penyelesaian masalah. Sebagai contoh, Sarton menyatakan dalam History of Philosophy bahawa Zeno menyiapkan kerja-kerja Parmenides dari segi ruang lingkup, kaedah dan pembuktian. Beliau mengesahkan bahawa sekiranya seseorang mengambil kira perubahan dan sifat berubah alam ini sebagai suatu hakikat dia pasti akan menemui kesimpulan yang Mantiki. Mungkin disebabkan oleh pendekatannya yang tersusun dan teratur beliau mampu membimbing orang-orang yang datang kemudian. Aristotle menamakannya pengasas Mantik dan hujah dialektikal. Zeno adalah filsuf aliran pemikiran Aela. Beliau dilahirkan pada 486 SM. Beliau hidup selepas Parmenides, dua kurun sebelum Aristotle. Beliau meyakini dan mengajar bahawa

mustahil dua hakikat yang saling bercanggah disatukan. Prinsip ini digunakan bagi membuktikan kesatuan alam. Beliau dianggap orang yang banyak berbicara tentang Mantik. Segala bukti yang dikemukakan oleh Zeno digunakan bagi menyokong teori kesatuan alam dan bagi menolak kemungkinan pergerakan dan perubahan. Semua bukti-bukti ini disandarkan kepada undang-undang percanggahan. Perumusan berkenaan teori tentang pengetahuan oleh Aristotle bertujuan untuk mengetahui dan mengenal cara manusia mencapai pengetahuan tentang kenyataan alam semesta ini sama ada sepenuhnya atau tidak. Akal menjadi sebuah neraca yang paling baik untuk membezakan antara manusia dan makhluk yang lain. Akal juga mampu menyerlahkan potensi diri seseorang itu.Menurut Ibnu Khaldun , atau nama sebenarnya Abdul Rahman bin Muhammad Khaldun Al- Maghribi, akal manusia berfikir terbahagi kepada tiga bahagian. 1. Akal yang memahami unsur manusia di luar diri secara alami. Kebanyakan aktiviti akal di sini berbentuk konsep (tashawwur) iaitu yang membezakan antara yang buruk dan yang baik. 2. Akal yang mencetuskan idea dalam interaksi sosial. Aktiviti akal di sini lebih bersifat kebenaran (tashdiq) yang terhasil dari penelitian atau kajian kajian yang dilakukan. 3. Akal yang terjadi diluar lingkungan kesedaran diri yang terhasil dari eksperimen yang berbentuk kebenaran atau juga disebut sebagai akal nazhari . Di sini tashawwur dan tashdiq saling berkolaborasi untuk mencari penyelesaian. Ibnu Khaldun juga membicarakan tentang Mantik dalam beberapa bab bukunya AlMuqaddimah, . Beliau mentakrifkan intipati ilmu logik secara tepat dan kemudiannya menjelaskan asas-asasnya dan perbezaan-perbezaan yang berkenaan. Beliau dengan keras mengkritik Mantik Aristotle dan mempertahankan kritikannya itu dalam karya-karya beliau.

PERKEMBANGAN MANTIK DI DUNIA ARAB-ISLAM


Secara tidak langsung pertapakkan dan perkembangan ilmu Mantik dalam masyarakat Islam telah pun lahir seiring dengan perutusan kita, Nabi Muhammad S.A.W lagi. Di mana melalui hadis Baginda terdapat penuturan yang sememangnya menggunakan logik dan berita yang diperkatakan semuanya benar tanpa sebarang pertikaian lagi. Seterusnya titik permulaan yang menyebabkan pertumbuhan ilmu Mantik dalam masyarakat Islam ekoran perselisihan umat Islam dalam persoalan Imamah khasnya saat pemerintahan akhir Khalifaf al-Rasyidin dan awal pemerintahan Bani Umaiyah. Perselisihan itu merebak dan membentuk puak Khawarij, Syiah dan ahli Sunnah. Makna awal Mantik Yunani adalah Kalam yang kemudian di terjemahkan sebagai akal, fikiran dan bukti atau dalil. Sekitar abad ke 2 Masihi, bangsa Arab menggunakannya dan diterjemahkan dari segi bahasa sebagai kalam dan talaffud tanpa menghubungkannya dengan makna sebenar seperti yang digunakan oleh Yunani ketika itu. Susunan logik Aristotle yang sudah tersedia dengan rapi disertai dengan peninggalan karya-karya agungnya merupakan salah satu faktor berkembangnya fahaman Aristotle di dunia Arab.

Sejarah juga membuktikan banyak karya Aristotle yang diterjemahkan ke bahasa Syria, Arab, Parsi dan India. Kaedah Aristotle digunakan secara meluas dalam setiap cabang ilmu pengetahuan. Ada enam tema besar dalam Mantik yang dikembangkan Aristotle, iaitu Categoria Seu Praediecamenta (Al-Maqqulat), Perihermenias Seu De Interpretatione (Al-Ibarah), Analytica Priora (Al-Tahlilat al-Ula), Analytica Posteriora , (Al-Tahlilat Al-Tsaniyyah), Topica De Seu Locis Comunis , (Al-Jadal), De Sophisticis Elenchis , (Al-Safsatha I). Ilmu ini banyak mengalami perubahan sejajar dengan perkembangannya iaitu dari enam tema bertambah menjadi sembilan iaitu , Isagog (madkhal), Retorika (Al-Kithabah), Potikia (Al-Syi r). Sembilan tema besar inilah yang banyak berkembang di dunia Arab. Sejarah menceritakan perkembangan besar-besaran ilmu Mantik berlaku di zaman Dinasti Abbasiyyah yang diketuai oleh Khalifah Al-Makmun. Khalifah ini telah menghantar delegasi ke Rom untuk mencari dan menerjemahkan buku-buku Mantik ke dalam bahasa Arab. Di antara tokoh yang terkenal ialah Yahya bin Khalid bin Barmak yang berjaya mengambil karya para intelektual Yunani dari genggaman kerajaan Rom pada masa itu. Ilmu asing yang diambil dari luar oleh dunia Arab berjumlah Sembilan cabang ilmu dan Mantik adalah salah satu daripadanya. Sewaktu pemerintahan Abu Ja far al Mansur, baginda telah mengarahkan Abdullah bin Al-Mukhaffa supaya menterjemahkan kitab Organon karya Aristotle dari bahasa Yunani ke bahasa Arab. Baginda berbuat demikian kerana pada zaman itu banyak berlaku perdebatan antara orang Islam dan ahli kitab yang menggunakan logik akal dan ilmu Mantik Yunani. Dalam riwayat Al-Qadli al-Sha id al-Andalusi (1070M / 462 H) pula menyatakan bahawa Ibnu Muqaffa (760M / 142H) diyakini sebagai penterjemah awal Ilmu Mantik. Dia telah menterjemahkan tiga buah karya Aristotle iaitu Categorias, Pario Hermenias, Analytica serta Eisagoge karya Porphyry. Organon pula adalah buku pertama yang diterjemahkan ke bahasa Arab. Bermula dari sini Mantik memainkan perana utama dalam ilmu perubatan dan berkembang dalam bahasa Arab sekitar abad ke 9 hingga ke 11 Masihi. Tambahan pula selepas itu terbinanya pusat pengajian di Parsi yang mengawal proses penterjemahan dari teks Yunani. Tidak dapat disangkal lagi di sinilah kelahiran sarjana-sarjana Islam yang amat berkebolehan untuk mengenalkan Mantik dalam ilmu keIslaman seperti Al-Kindi, Al-Farabi, Ibnu Sina, AlGhazali dan ramai lagi ilmuan Islam yang lain. Pada dasarnya pemikiran Aristotle telah hidup dalam budaya Arab lebih kurang selama satu setengah abad. Menurut beberapa riwayat, penolakan yang sesungguhnya hanya berlaku sewaktu Al-Ghazali menulis bukunya yang bertajuk , Tahafut Al- Falasifah pada zaman pertengahan kedua abad kelima Hijrah . Walau berlaku penolakan masih terdapat beberapa faktor positif dalam ilmu logik Yunani, di antaranya ketepatan Logik dan ilmu matematik yang memberi sumbangan luar biasa dalam peradaban Islam. Kekaguman ahli filsuf muslim terhadap logika terjadi kerana dulunya Islam lebih mempercayai unsur naluri dan perasaan dalam mempertahankan akidah. Kemudian barulah beralih dalam menggunakan Mantik untuk lebih menguatkan ajaran Islam sebagaimana yang disebut oleh Al Ghazali dalam bukunya , Al Munqidz al- Dalal .

Setelah keruntuhan Baghdad pada abad ke 11 masihi, Andalusia telah dijadikan pusat peradaban keilmuan kedua.Ilmu Mantik setelah keruntuhan ini menjadi lebih dewasa dan tidak lagi menggunakan kaedah Aristotle melainkan catatan khusus oleh Ibnu Sina. Perjalanan Mantik mulai tersebar di Andalusia dari abad ke 12 hingga 13 Masihi. Buku-buku Mantik karya Ibnu Rusyd dan Fakhruddin al-Razi menjadi pedoman penting dalam kajian sekaligus menjadi rujukan bagi para sarjana Muslim abad ini. Abu Nasr al-Farabi telah menulis suatu kajian yang luas dan lengkap tentang Mantik, walaupun pada hakikatnya beliau hanyalah menulis suatu ringkasan dalam pembicaraannya tentang Organon karya Aristotle. Dia percaya, dengan menggalakkan Mantik seseorang itu boleh memperbaiki kaedah yang digunakan; jika digunakan dengan betul, seseorang akan dipandu oleh akal ke jalan yang benar dan terpelihara dari melakukan kesilapan. Dia juga percaya bahawa kaitan Mantik akan seumpama kaitan nahu dan bahasa, atau prinsip-prinsip arud dengan syair. Beliau menekankan aspek-aspek amali Mantik, dan meletakkan akal di bawah prinsip-prinsip Mantik. Al-Farabi berhujah bahawa penggunaan Khitabah dan Jadal, ataupun kejuruteraan dan arithmetik, tidak berupaya menggantikan peranan Mantik kerana Mantik bukanlah ibarat suatu perhiasan yang tidak bermakna. Sebaliknya kecenderungan semula jadi manusia menyebabkannya mustahil ditukar ganti. Isi kandungan dan unsur-unsur Mantik adalah berkenaan dengan perkara-perkara yang mengkaji prinsip-prinsip yang sahih dalam gerak daya berfikir. Karya yang dipersembahkan oleh Al-Farabi dalam bidang syair mempunyai dua aspek. Yang pertama menyentuh keupayaan beliau memahami secara menyeluruh dan tepat Mantik Aristotle yang sudah tersebar ke dunia Arab; yang kedua menyentuh kemampuannya mengasaskan lima seni, yakni lima bentuk hujah. Pada kurun-kurun ke-5 dan ke-6 Hijrah, Ibnu Sina berjaya menjelaskan Mantik Aristotle, meringkas dan mengkajinya, dan menghabiskan masa yang banyak dalam usaha memahaminya. Dalam pendahuluan bukunya beliau ada menyebut tentang Mantik Timur, dan mendakwa ia selaras dengan Mantik aliran Mashsha i. Beliau mengajarkan falsafah gaya baru yang cenderung ke arah aliran Aristotle dan Mashsha i, menggabungkan keduaduanya dengan pendekatan kaedah berdasarkan falsafah Neo-Platonik. Antara karya-karya terpenting sumbangan Ibnu Sina ialah Kitab al-Najat yang kemudiannya diterjemah ke bahasa Parsi dengan judul Danishnamah Ala i. Ibnu Sina menulis buku berkenaan bagi memujuk Sultan Dinasti Kakwayh, dan mempersembahkannya kepada baginda sebagai hadiah

PERKEMBANGAN MANTIK DI BARAT


Perkembangan ilmu logik di Barat bermula dengan masalah teosentris yang bertentangan dengan perkembangan Mantik di tanah Arab- Islam. Pertembungan fahaman Aristotle dan ajaran kristian menghasilkan ramai pemikir dan filsuf penting. Mereka adalah sebahagian besar dari dua aliran yang lahir pada zaman pertengahan iaitu Dominican dan

Franciskan.Aliran ini diberi nama Skolastik yang bertemakan hubungan iman dan akal budi, kewujudan dan hakikat tuhan, antropologi, etika dan politik. Pengaruh pemikiran Aristotle di dunia Barat terbahagi kepada tiga zaman iaitu, permulaan abad Masihi (di antara abad ke 2 3 Masihi), pertengahan abad ( di antara abad ke 13 16 Masihi) dan akhir abad ke 19 Masihi. Perkembangan ilmu ini di barat dipengaruhi oleh ahli filsuf Islam yang mana karya mereka telah diterjemahkan oleh pihak gereja. Buku falsafah pertama yang telah diterjemahkan ialah karya Ibnu sina yang berjudul Al- Syifa pada tahun 1037M. Karya sarjana muslim yang banyak muncul selepas itu mendapat tentangan dari pihak gereja yang bersifat fundamentalis. Akibat terlalu banyak percanggahan dengan ajaran gereja, maka secara rasminya pemboikotan terhadap karya Aristotle telah diarahkan pada tahun 1210 M. Di sinilah bermula tertubuhnya empat pusat ilmu di Eropah iaitu Agustine, Dominika, Rasional Latin dan Oxford. Pada abad tersebut, para ilmuan dan saintis telah bangkit secara terbuka untuk membebaskan diri daripada pengaruh gereja dan Pope. Untuk itu, mereka telah menyeru masyarakat supaya berfikir secara logik dan membuka ruang kearah kebebasan berfikir. Perjuangan sejarah menceritakan bahawa zaman Renaissance merupakan laluan perkembangan pemikiran dari abad pertengahan ke era moden sekitar tahun 1400 1600 M. Tokoh utamanya ialah Francis Bacon (1562 1626 M), Niccolo Machiavelli (1469 1527 M). Manakala Descartes sebagai tokoh falsafah moden merumuskan bahawa seluruh alam selain Tuhan telah bekerja secara mekanis. Atas dasar ini beliau telah menolak pandangan antropologi, tahyul dan magik.Dia menyusun suatu sistem falsafah menurut kaedah matematik. Perkembangan baru yang disebut enlightment talah muncul pada abad ke 18. Tokoh utamanya ialah John Locke (1632 1704 M), di Perancis Jean Jacque Rousseau (1712 1778 M) dan di Jerman ada Immanuel Kant (1724 1804 M). Atas dasar rasionalisme, empirisme dan idealisme, sehingga kini negara Barat banyak mempunyai aliran falsafah. Semua itu dengan tujuan atau matlamat mencapai kemajuan dan tamadun dalam pelbagai bidang dan lapangan kehidupan. Ekoran kegigihan , kesungguhan dan minat yang begitu mendalam di kalangan orang Eropah untuk membentuk tamadun moden dan merintis kemajuan sains, kajian berbentuk saintifik dan Mantik Moden begitu cepat tersebar di kalangan mereka dan lebih menguasai ilmu itu mengatasi masyarakat Islam sendiri. Saintis pertama yang membawa pemikiran saintifik di Eropah pada abad ke 13 Masihi ialah Roger Bacon yang merupakan seorang paderi,ahli falsafah dan saintis yang mendapat pendidikan awal di Universiti Oxford, Britain. Menjelang abad ke 20 Masihi, Mantik Moden sekali lagi menuju zaman kemajuan dan menuju era pembaharuan.Ia terpengaruh pula dengan istilah-istiulah sains, kejuruteraan dan matematik yang menggunakan simbol-simbol.Sejajar dengan itu, perkembangan Mantik moden tetap seiring dengan Mantik klasik. Cuma Mantik Moden terus berkembang dan selari dengan peredaran masa seperti kemajuan dalam bidang kejuruteraan dan perubatan.

KAITAN ILMU MANTIK DENGAN ILMU-ILMU ISLAM YANG LAIN


Menurut Al-Ghazali, Mantik terbahagi kepada dua iaitu Mantik Aristotles yang merangkumi segala pengetahuan kecuali teologis dan Mantik Kasyfi yang mencakupi hal-hal ketuhanan. Menurut Ibnu Khaldun pula logik yang berdasarkan kajian dan pemerhatian (Mantik Hissi) juga dapat diklasifikasikan sebagai bahagian Ilmu Mantik.Berkaitan dengan Ilmu Kalam, AlGhazali menggunakan kaedah analogi (Qiyas) daripada kaedah penjelajahan (eksplorasi) atau juga disebut Istiqra kerana dianggap tidak dapat membenarkan teori ketuhanan yang wujud dari ketidakseragaman antara dunia metafizik dan realiti. Ilmu Kalam yang dikembangkan oleh Al-Ghazali membawa pengertian tentang pembicaraan yang bersifat intelektual dan menggunakan logik. Oleh itu, ciri khas Ilmu Kalam adalah rasional atau logik. Pengembangan ilmu Mantik dalam proses yang berasaskan teori tidak mengalami perkembangan yang bermakna pada abad ke 13 hingga abad ke 14. Ibnu Rusyd melahirkan kritikan dan ulasannya dari golongan rasionalis seperti Al-Iji, Al-Tusi dan Sa aduddin alTaftazani. Nasruddin al-Tusi juga dianggap ilmuwan besar ilmu Mantik, lebih daripada keahlian beliau dalam perundangan Islam, sains, teologi, falsafah, matematik dan astrologi. Nasruddin al-Tusi menyatakan bahawa Mantik itu adalah merupakan suatu ilmu dan suatu alat. Tujuannya sama dengan sains yang menyelidiki makna-makna dan sifat. Ia juga seperti suatu alat disebabkan sifatnya seumpama kunci kepada tanggapan dan kefahaman terhadap ilmu-ilmu yang lain. Beliau percaya bahawa ilmu Mantik mampu menghalang akal fikiran daripada terjerumus ke dalam kesilapan dan kekeliruan. Al-Tusi membahagikan semua ilmu kepada faham (konsep) dan hukum. Beliau berhujah bahawa kefahaman terhadap sesuatu faham itu boleh dicapai melalui takrif, dan manakala hukum pula diketahui melalui qiyas (analogi). Beliau percaya bahawa takrif dan qiyas adalah merupakan alat-alat, dengan menggunakannya seseorang akan memperolehi ilmu. Qiyas, berdasarkan kepada takrif yang diberikan oleh Ibnu Sina berbeza daripada takrif Aristotle. Ibnu Sina membahagikan silogisme kepada dua: Konjunktif dan ekseptif. Beliau menyempurnakan takrifan itu dengan menggunakan gaya bahasanya yang tersendiri. Dalam usia perkembangan Mantik beberapa kurun yang seterusnya menyaksikan penentuan material yang tertib yang sengaja diselaraskan oleh Al-Tustari di pusat pengajian pada abad pertengahan. Al-Taftazani dan Al-Jurjani juga turut memainkan peranan dalam memperjelaskan Mantik dan Ilmu ini telah mencapai kemuncak kualiti yang sempurna di sekitar abad ke 15 hinggalah sekarang. Perkembangan dalam melahirkan ilmuan-ilmuan di Tanah Arab sangat pesat. Model pemikiran Al-Asya ari telah dikategorikan sebagai orthodox style kerana lebih mempercayai kandungan teks suci agama berbanding pemikiran yang diguna pakai oleh Mu tazillah dan para ahli falsafah Yunani. Metodologi Al-Asya ari yang lebih mengarah kepada Aristotle dengan bercirikan rasional deduktif lebih meraih simpati hingga kemunculan Al-Ghazali dua abad berikutnya yang luar biasa kekuatan hujahnya.Mahzab ini menjadi perantara di antara pelbagai pola pemikiran lain yang lebih berbentuk ekstrimis. Pemikiran Al Ghazali mendukung semua kepentingan beragama dengan kelebihan menilai sesuatu dengan cara perdebatan dan perbincangan.

Kajian Fikah berkembang sewaktu peralihan pemerintahan Bani Umaiyyah ke Bani Abbasiyyah dengan terbinanya School of Thought pada 699 767 M oleh Abu Hanifah. Kekuatan politik dalam menyebarkan ajaran Islam terlihat pada perluasan yang bertitik tolak dari kegiatan pola pemikiran pada setiap cabang ilmu. Analogi yang banyak digunakan oleh pemerintahan ini adalah Qiyas dan Istihsan (pertimbangan kebaikan umum). Al-Syafii kemudiannya meneruskan ajaran gurunya iaitu Anas Ibnu Malik dan sangat berjasa dalam mengembangkan teori Sunnah dan pembentukan analogi atau Qiyas. Oleh itu, Fikah yang dikembangkannya merangkumi empat unsur iaitu Kitab suci Al-Quran, Hadis Nabi, ijma Ulama dan qiyas. Dalam ilmu Nahu pula, Mantik dan analoginya memegang peranan yang penting. Perbezaan cara dan kaedah antara Ahli Nahu akibat dari kedudukan geografi yang memaksa mereka tinggal berjauhan dari pusat peradaban. Kesefahaman dalam menggunakan kaedah yang sama tidak dapat dilakukan. Bukan hanya kaedah Qiyas yang digunakan oleh ahli Nahu dalam menentukan hukum tetapi teori illat atau antropologi juga turut berfungsi. Jika diteliti perkembangan Mantik dari awal, banyak cabang ilmu pengetahuan yang diresapi pengaruh Mantik sehinggakan bidang yang berasaskan kekuatan naluri juga mendapat tempiasnya. Ini membuktikan peranan dan kepentingan akal dalam setiap masa dan ketika adalah sentiasa diperlukan. Namun begitu, kebenaran ilmu pengetahuan adalah bersifat relatif sedangkan dalam soal agama ia adalah kebenaran yang mutlak.

KESIMPULAN
Itu adalah proses perjalanan yang panjang pola pemikiran manusia yang berubah mengikut peredaran zaman. Permulaan, perkembangan, penambahbaikan kearah kesempurnaan ilmu ini tidak hanya melibatkan segelintir individu. Kembaranya merentas benua dan masa dalam mengkaji persoalan-persoalan yang tidak mampu dijawab tanpa menggunakan akal dan pemikiran yang logik. Sikap rasional mencerminkan seseorang yang suka menilai, meneliti, memeriksa lalu memberi jawapan. Berbeza dengan sikap Irrasional yang hanya bergantung pada keyakinan diri semata-mata dan menolak tentangan yang lain. Sikap Fedeisme pula mencerminkan individu yang membataskan diri dengan keimanan, akal dan wahyu tuhan dan menganggap penggunaan pemikiran manusia bukanlan satu keperluan. Apa pun tanggapan, pemikiran manusia juga adalah anugerah tuhan. Menurut kajian Sains, otak adalah organ terawal yang terbentuk pada janin manusia. Sekaligus membuktikan kepentingan otak yang berintipatikan akal dan fikiran. Dalam sejarah, kita dapat mengetahui bahawa perkembangan Ilmu Mantik menghadapi masalah terbesarnya pada abad pertengahan. Kita patut menghargai ilmuan-ilmuan Islam yang berusaha memantapkan ilmu ini sebelum di bawa masuk ke Barat dan diterima oleh masyarakat dunia.

Ilmu Mantik juga ada kaitannya dengan akhlak, etika dan moral, di mana Mantik adalah asas kepada ilmu-ilmu tersebut.Mantik mendidik seseorang itu bercakap benar dan tepat dengan apa yang sepatutnya. Akhirnya ucapan yang benar itu adalah cermin kepada akhlak yang baik dan tingkah laku serta perbuatan yang murni lahir hasil daripada teori Mantik. Ilmu Mantik juga amat penting untuk memahami hadis dan Al-Quran dengan lebih mendalam. Sebagai rumusannya, biarpun terdapat beberapa istilah dan pengertian yang berbeza-beza diberikan oleh pakar ilmu Mantik dengan mengikut kefahaman masing-masing, ia masih tetap ilmu yang mengandungi peraturan-peraturan untuk memandu serta mengawal akal pemikiran manusia sewaktu berfikir supaya berfikir dengan matang dan betul mengikut matlamat sebenar. Ilmu Mantik menghapuskan bentuk-bentuk pemikiran karut dan yang tidak dapat diterima akal. Walau apa pun, akal tetaplah akal yang menyumbang kepada peradaban manusia dari masa ke semasa, dari sejengkal jadi sedepa dan juga ke arah jatuh bangunnya sebuah kerajaan.

You might also like