You are on page 1of 9

SULIT Soalan 1 : Rumusan [ 30 markah ]

103/2

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat rumusan tentang usaha-usaha memperkasakan bidang kokurikulum dan kekangan-kekangannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. Bidang kurikulum dan kokurikulum saling berkait rapat sekaligus menjadi teras bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehan murid mencapai kecemerlangan yang seimbang dalam kedua-dua bidang tersebut. Selain bidang kurikulum, bidang kokurikulum juga sangat penting sebagai wadah yang paling berkesan merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan terutamanya dalam konteks melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Memandangkan bidang kokurikulum mempunyai pelbagai faedah kepada individu, masyarakat dan Negara, perancangan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memperkasakan dan memantapkan pelaksanaan kokurikulum sekolah dalam sistem pendidikan di Malaysia wajar mendapat sokongan daripada semua pihak. Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperuntukkan RM 14.1 juta bagi melaksanakan pelbagai program kokurikulum di lebih 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Mulai tahun 2007, peruntukan tambahan sebanyak RM 420,000 turut disediakan untuk melatih guru dalam bidang berkenaan melalui Program Latihan dalam Perkhidmatan. Selain itu, kerajaan juga telah meningkatkan prasarana dan peralatan sukan di Pusat Sukan Daerah dan Negeri serta memperluas dan meningkatkan aktiviti sukan di sekolah. Program Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) juga akan dipergiat lagi bagi menggalakkan aktiviti sukan dan kokurikulum antara sekolah bagi memupuk perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum. Selain itu, Kabinet juga telah bersetuju untuk melaksanakan kembali pendekatan berasaskan prinsip meritokrasi iaitu 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum sebagai prasyarat untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Penilaian aktiviti kokurikulum ini berdasarkan kepada empat komponen iaitu permainan dan sukan, kelab dan persatuan, pasukan unit beruniform dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Kegiatan kokurikulum juga perlu diperluas dari segi fungsinya bagi menyuntik semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana minat untuk mendalami bidang keusahawanan amat berkurang kerana hampir tiada usaha untuk memupuk elemen tersebut dalam kegiatan kokurikulum. Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya kegiatan koperasi dijadikan sebagai satu daripada aktiviti kokurikulum di sekolah memang tepat pada masanya. Kementerian Pelajaran Malaysia amat memandang serius saranan ini supaya lebih banyak pelajar dapat melibatkan diri dalam aktiviti yang Lihat halaman sebelah SULIT

SULIT turut menuntut semangat tolong menolong ini.

103/2

Hal ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan generasi yang menguasai kemahiran berniaga bagi memastikan ekonomi negara dipacu oleh rakyat negara ini sendiri serta mengurangkan kebergantungan terhadap kemahiran orang asing. Secara tuntasnya, kepentingan kegiatan kokurikulum memang tidak dapat dinafikan lagi. Oleh itu, Kabinet telah meluluskan peruntukan tambahan bagi menampung peningkatan kos pembiayaan aktiviti kokurikulum dan telah diagihkan secara berperingkat-peringkat kepada sekolah. Peruntukan berkenaan membabitkan pecahan RM 10 bagi setiap murid sekolah rendah manakala RM 12 bagi murid sekolah menengah. Kita hendaklah menyambut baik hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjadikan sistem pendidikan negara tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata-mata sebaliknya turut memberikan penekanan kepada aktiviti kokurikulum. (Dipetik dan diubahsuai daripada rencana Memperkasakan Bidang Kokurikulum , Dewan Siswa, Julai 2007)

Lihat halaman sebelah SULIT

SULIT Soalan 2: Pemahaman [ 40 markah] Soalan 2 (a) Petikan Umum

103/2

Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri

(i) Apakah maksud rangkai kata wadah yang paling berkesan merealisasikan ?

[2 markah]

(ii) Mengapakah kerajaan menggalakkan murid-murid sekolah melibatkan diri dengan koperasi? [3 markah] (iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah kegiatan kokurikulum dapat melahirkan murid cergas, berdisiplin dan bertanggungjawab ? [4 markah]

Lihat halaman sebelah SULIT

SULIT Soalan 2 (b) Petikan Drama Baca petikan drama di bawah dengan teliti. Kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri. RIPIN :Wak masuk hutan minggu lepas?(Melihat longgokan akar kayu dihujung beranda) TUK WALI :Nak dapat banyak tu, sehari suntuk aku di hutan. Bawa bekal nasi lagi! RIPIN :Dah berpuluh tahun diredah, wak! Tak ada siapa pulak yang menanam semula.

103/2

TUK WALI :Kalau ikut petua, ikut pantang larang, sampai anak cucu pun insya-Allah ada lagi. Bila aku cakap pasal pantang larang, semua orang ketawa. Bila aku bukakan rahsia petua ke hutan, ada orang kata aku ni nak jadi Tarzan. Orang sekarang ni tak berasa malu lagi bila merosakkan dah hilang rasa hormat mereka pada alam! RIPIN :Petua yang mana , wak? TUK WALI :Pokok yang tengah berbunga atau berbuah, jangan ditebang. Pokok yang lebih kecil daripada jari hantu, jangan disentuh. Kalau hati belum pasti, jangan cantas.Kalau belum mengenal, berkenal dulu. RIPIN :Mereka mencantas, menebang tu pun kerana nak mengenallah, wak! TUK WALI :Belajarlah mengenal pada ibu, bukan cabut anak. (Kesal) Yang langgar pantang, anak cucu aku jugak. Cakap aku ni tak dihargai langsung. (Marah) Si Berahim anak tiri aku tu! Dia murid Si Guan, Guan kedai singse tu! Tunjuk mana pasak bumi, tongkat ali, dikenalkannya rancang besi, rancang tembaga, yang mana raja berangkat, apa khasiat lukai jantan, apa gunanya tengkuk biawak! RIPIN :Masya- Allah! Semuanya diajar, wak? TUK WALI :Semuanya, Ripin! Kau tahu apa dah jadi? Berahim masuk hutan bekal tali sigai dengan kayu umpil, tapi Si Guan masuk hutan dengan traktor, bawa buruh lagi dua tiga orang. Pokok besar betis ni, besar tiang rumah tu, habis dicabut. Bila cabut induk, mana nak datang benih? (Dipetik daripada drama Gelanggang Tuk Wali karya Ismail Kassan dalam antologi Harga Remaja)

(i) Nyatakan pendirian Tuk Wali terhadap alam sekitar. (ii) Nyatakan kebaikan memulihara alam sekitar.

[2 markah] [2 markah]

(ii) Jelaskan pendapat anda tentang kebaikan perubatan tradisional berbanding dengan perubatan moden. [3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Tuk Wali dalam petikan dan satu perwatakan yang lain yang terdapat dalam keseluruhan drama tersebut. [4 markah]

Lihat halaman sebelah SULIT

SULIT Soalan 2 (b) Petikan Prosa Klasik Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan dengan menggunakan ayat sendiri.

103/2

Setelah sudah berkata-kata itu maka tuan puteri itu pun kembali ke mahligainya membawa bayan itu. Maka disuruh oleh tuan puteri itu perbuatkan sangkarnya daripada emas sepuluh mutu dan bertatahkan ratna mutu manikam berumbai-umbaikan mutiara. Setelah sudah sangkar itu maka bayan itu pun dimasukkan ke dalam sangkarnya itu. Setelah hari malam maka bayan itu pun dikeluarkan dari dalam sangkarnya itu. Maka ia pun datang ke hadapan tuan puteri. Maka Dang Siti Mengerna pun berdatang sembah kepada tuan puteri, "Ya tuanku tuan puteri, lihatlah bayan ini jinak kepada tuan puteri." Maka sahut bayan itu, "Hai Dang Siti Mengerna, di manakah tiada jinak kerana beta beroleh tuan yang baik parasnya." Maka dayang-dayang pun sekalian ramai-ramai tertawa mendengar kata bayan itu. Maka kata bayan, "Ya tuanku puteri, hampirlah tuan beta itu akan datang menghadap tuan." Maka kata tuan puteri, "Manakah kala tuanmu itu akan datang ke mari?" Maka sahut bayan itu, "Pada bulan ini dan ketika ini juga tuan patik akan datang ke mari." Setelah tuan puteri mendengar kata bayan itu maka terlalu sukacita hendak melihat Raja Indera Bumaya itu. Setelah seketika itu maka bayan itu pun menjadi nuri datang ke atas ribaan tuan puteri itu seraya berpantun, demikian bunyinya: Pergi ke padang membakar puan, Ikat timba bertali-tali, Datang dagang menghadap tuan, Minta perhamba sekali-kali.

(Dipetik daripada Mohd. Yusof Md. Nor [penyelenggara]: Hikayat Langlang Buana dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku, muka surat 36 - 47) i) Berikan maksud baik parasnya. ii) Apakah yang berlaku kepada bayan setelah di bawa balik ke mahligai tuan puteri? [2 markah] [3 markah]

iii) Jika anda ialah penasihat tuan puteri, cadangkan tiga cara untuk bertemu Raja Indera Bumaya. [4 markah]

Lihat halaman sebelah SULIT

SULIT Soalan 2 (d) Sajak

103/2

DIRGAHAYU BAHASAKU Tempatmu di singgahsana hati nurani bangsaku warga yang berbudi setia dan amanah. Bahasa itu maruah bangsa yang mesti dipelihara martabatnya agar tetap kukuh dan ampuh melayari lautan bijaksana salam ikatan mesra dan teguh. Cekal dan waja semanagt pejuangku hak bangsaku memilikimu di bumi bertuah ini merentas dunia tak bertepi. Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan ke barat ke timur menjalin persaudaraan gagah pelautku membelah lautan ke utara dank e selatan bahasaku mencengkam dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam. Dirgahayu bahasaku di arena antarabangsa suaramu tumbuh menusuk kalbu lagu bahasamu bahasamu bahasa minda mudah akrab dan bertatasusila daripada bangsa yang bernama Melayu menempa kejayaan di alaf baru. ( September 2000) Manuskrip Luka Bangsa, 2006 Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) a) Jelaskan maksud rangkap pertama sajak. [2 markah]

b) Apakah bukti-bukti kegemilangan bahasa Melayu seperti yang dinyatakan pada rangkap ketiga? [2 markah] c) Berikan tiga cadangan bagi menyemai rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan. d) Nyatakan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. [3 markah] [4 markah]

Lihat halaman sebelah SULIT

SULIT Soalan 3 : Pengetahuan Dan Kemahiran Bahasa [ 30 markah ] Jawab semua soalan

103/2

a) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas. (i). perkasa (ii). prakarsa (iii). tanggal (iv). Tunggal (v). tenang (vi). tunang

[6 markah]

b) Tulis semula ayat-ayat di bawah ini supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud dan susunan asal ayat-ayat tersebut. Kita mestilah berhati-hati. Kita memandu kenderaan di jalan raya. Kemalangan mungkin terjadi pada bila-bila masa saja. Kemalangan menyebabkan kecederaan dan kecacatan. Kemalangan menyebabkan maut.Pelbagai undang-undang digubal. Undang-undang itu bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Kesedaran rakyat terhadap keselamatan mereka ketika di jalan raya mestilah dipupuk. Sifat berwaspada sentiasa kita amalkan. Kita mungkin terselamat daripada kemalangan jalan raya. Kemalangan tersebut banyak meragut nyawa. [6 markah]

Lihat halaman sebelah SULIT

SULIT

103/2

c) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya. (i). Dalam pasaran hari ini didapati pelbagai feshen pakaian yang mencolok mata tetapi begitu digemari oleh golongan remaja. (ii). Motorsikal berkuasa tinggi menjadi gilaan pemuda-pemudi hari ini walaupun harganya terlalu mahal. (iii). Azman tidak sedar akan apa-apa yang dilakukan atas dirinya sehingga ayahnya memberitahukan pekara yang sebenarnya. [6 markah]

d)

Dalam ayat-ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan kata dan istilah atau kesalahan tatabahasa. Kenalpasti kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya. (i). Karangannya itu menceritakan tentang kedaifan penduduk-penduduk yang mendiami di daerah pedalaman. (ii). Baju Melayu yang saya selalu pakai itu adalah baju pemberian ayah pada hari jadi saya, kata Sharif kepada rakannya. (iii). Pertempuran antara tentera Amerika dan tentera Iraq telah mengorbankan banyak nyawa. [6 markah]

Lihat halaman sebelah SULIT

SULIT e) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam setiap ayat.

103/2

(i). Sungguhpun Bujal dihantar ke Pusat Serenti sebanyak tiga kali, namun dia tidak pernah mahu berubah. Segala nasihat yang diberikan tidak ubah seperti ______________________________________________________________________________. (ii). Walaupun Datin Zaleha dilantik menjadi pengarah syarikat itu, namun kedudukannya belum selamat kerana dicabar oleh Datin Nora yang lebih berpengaruh. Kedudukan Datin Zaleha diibaratkan seperti ______________________________________________________________________________. (iii). Selepas kematian suaminya sepuluh tahun yang lalu, Puan Aini menyara keluarga dengan menoreh getah. Dia tidak menganggap pekerjaan itu menbebankan dirinya kerana ______________________________________________________________________________. [6 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

Disediakan oleh _______________ RAJA MOHD KHAIRI

Disemak oleh _______________ PUAN NORSIAH

Disahkan oleh ______________ PUAN NORHANISA

Lihat halaman sebelah SULIT

You might also like