You are on page 1of 2

ADAT KEMATIAN DAN UPACARA PENGEBUMIAN ORANG CINA Oleh : Ann Wan Seng (Setiausaha Agung Kehormat MCA)

PENGENALAN Orang Cina merupakan satu masyarakat ang bersifat etnosentrik iaitu sangat mengagungkan budaya dan warisannya. Mereka meletakkan adat resam dan tradisi yang diwarisi sebagai lebih penting dan mengatasi agama serta kepercayaan yang dianutinya. Mana-mana agama atau kepercayaan yang dianuti akan disesuaikan dengan adat resam dan budaya mereka. Justeru itu, sebarang agama dan kepercayaan yang menghakis serta menghilangkan budaya dan tradisi mereka akan ditolak dan ditentang oleh orang Cina. Setiap adat itu perlu dihormati daripada adat kelahiran, perkahwinan sampailah kepada kematian. Terdapat tatacara tertentu berhubung dengan setiap adat yang diamalkan. Begitu juga dengan pantang larang yang perlu dipatuhi. Apa yang lebih penting ialah setiap perbuatan dan perkara yang dilakukan mengandungi makna dan manifestasinya yang tersendiri. Orang Cina suka bermain dengan simbol. Setiap perlambangan mempunyai signifikasinya. Ada yang mempunyai hubungan dengan agama dan kepercayaan yang dianuti. Ada yang hanya berdasarkan kepada tanggapan semata-mata. Namun apa yang dilakukan ada rasionalnya dan mempunyai memiliki penjelasan yang memerlukan huraian yang mendalam. Perlu diingatkan orang Cina mempunyai sejarah dan peradaban yang lama iaitu melebihi 5000 tahun. Orang Cina kaya dengan warisan dan tradisi yang mempunyai hubungan dengan nilai moral dan akhlak. Adat resam dan pantang larang yang diamalkan mempunyai pertalian yang rapat dengan nilai-nilai tersebut yang berlandaskan kepada falsafah dan ajaran etika Taoisme, Confucianisme dan Buddhisme. Ketiga-tiga kepercayaan itu sebenarnya bukan merupakan satu agama tetapi merupakan satu ajaran falsafah moral dan etika yang membentuk etos dan pandangan hidup orang Cina sehingga ke hari ini. Untuk membolehkan kita memahami simbol, manifestasi dan signifikasi daripada budaya yang menjadi amalan hidup orang Cina, maka kertas ini akan membentang satu aspek daripada adat yang dianggap penting dalam kehidupan orang Cina iaitu adat kematian dan upacara pengebumian serta pantang larangnya. ADAT KEMATIAN ORANG CINA Terdapat 5 perkara yang berkaitan dengan adat kematian orang Cina yang amat dititikberatkan : i. Status dan taraf si mati ii. Penghormatan kepada si mati iii. Upacara pengebumian perlu dibuat dengan sempurna iv. Perkabungan v. Waktu dan tempoh pengebumian UPACARA PENGEBUMIAN ORANG CINA Terdapat 10 perkara yang perlu dilakukan di dalam upacara pengebumian :

1. Kaedah dan upacara pengebumian dipengaruhi oleh bagaimana dan cara seseorang itu mati. 2. Upacara pengebumian perlu dibuat secara besar-besaran khususnya kepada orang tua. 3. Menangis, meraung dan meratapi kematian adalah satu kewajipan bagi anak, menantu dan sanak saudara yang rapat. 4. Ahli keluarga akan memakai pakaian dengan warna tertentu menandakan kedudukan dalam keluarga dan hubungannya dengan si mati. 5. Cara letak keranda dan perjalanan ke kubur perlu dibuat dengan cermat dan tertib. 6. Perarakan mengiringi si mati ke kubur. 7. Lokasi kubur perlu di tempat yang tinggi. 8. Upacara pengebumian perlu disusuli dengan anggota keluarga berkabung selama seratus hari. 9. Segala perselisihan dan konflik perlu dilupakan semasa menguruskan upacara pengebumian. 10. Papan pemujaan akan diletakkan di rumah atau tokong untuk memperingati si mati. PANTANG LARANG KEMATIAN ORANG CINA Terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi berhubung dengan kematian orang Cina. Di antaranya : 1. Si mati tidak boleh dipakaikan pakaian bewarna merah. 2. Ahli keluarga tidak boleh memakai barang kemas. 3. Semua cermin dalam perlu ditutup dengan kain atau kertas. 4. Keranda tidak boleh dibuat main. 5. Kucing dilarang mendekati keranda dan si mati. 6. Para tetamu dan ahli keluarga tidak dibenarkan memakai pakaian merah. 7. Perarakan perlu dielakkan daripada melalui rumah yang melangsungkan perkahwinan. 8. Selepas pengebumian, orang Cina akan mandi dengan air yang dicampur daun limau Bali untuk menolak bala. 9. Tidak dibenarkan tarian singa dan pembakaran mercun. 10. Tiada sambutan Tahun Baru Cina, pesta dan keramaian selepas upacara pengebumian. KESIMPULAN Upacara kematian dan adat istiadat pengebumian orang Cina mempunyai kepentingan untuk melanjutkan institusi kekeluargaan dan menjamin keutuhan sistem kemasyarakatan. Kematian menyatu-padukan orang Cina dan menimbulkan keinsafan kepada orang Cina bahawa kematian merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan. Yang akan tinggal ialah institusi keluarga yang perlu dipertahankan. Dalam masyarakat Cina, kematian membawa erti perpaduan dan melanjutkan keseimbangan sistem sosial supaya terus berkekalan walau di mana sahaja mereka berada.

You might also like