You are on page 1of 11

.

RINGKASAN MODUL OUM


HBEF1403
Khamis, 14 Januari 2010
Asas Sosiologi
1. Pada hari ini kita lihat ramai di kalangan pelajar remaja kita yang suka menghabiskan masa
lapang mereka dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti melepak di
kompleks membeli belah, bermain permainan komputer di kafe siber, berbual kosong di kedai fast
food seperti McDonalds dan Starbuck.
Jawab soalan berikut berasaskan penyataan di atas.
a. Mengapakah budaya yang dipaparkan dalam senario di atas diamalkan oleh sebilangan remaja
Malaysia hari ini?
(5 markah)
1.0 Pengenalan
Secara amnya budaya bermaksud cara hidup sesebuah masyarakat atau bangsa. Ia meliputi semua
aktiviti harian manusia. Budaya juga berperanan untuk membezakan antara sesebuah masyarakat
dengan masyarakat yang lain. Menurut Koentjaraningrat (2002) dalam http://www.scribd.com.
budaya ialah seluruh total dari fikiran, karya dan hasil karya manusia yang tidak berakal kepada
nalurinya dan hanya dicetuskan oleh manusia sesudah proses belajar. Ini bermaksud semua budaya
adalah dipelajari daripada masyarakat dan persekitarannya. Semua yang dipelajari hendaklah
diterima atau selari dengan nilai-nilai, serta norma sesebuah masyarakat.
Menurut Edward B. Taylor, Dr. K. Kupper, William H. Haviland serta Bounded et.al dalam
http://www.scn.org. masing-masing mendefinisikan budaya atau kebudayaan sebagai : keseluruhan
yang kompleks, di dalamnya terkandung pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat
istiadat dan kemampuan-kemampuan lain yang didapat oleh seseorang sebagai anggota masyarakat
(Edward B. Taylor), sistem gagasan yang menjadi pedoman dan pengarah bagi manusia dalam
bersikap dan berperilaku, baik secara individu maupun kelompok (Dr. K. Kupper), seperangkat
peraturan dan norma yang dimiliki bersama oleh para anggota masyarakat, yang jika dilaksanakan
oleh para anggotanya akan melahirkan perilaku yang dipandang layak dan dapat diterima oleh
semua masyarakat (William H. Haviland) dan kebudayaan adalah sesuatu yang terbentuk oleh
pengembangan dan transmisi dari kepercayaan manusia melalui simbol-simbol tertentu, misalnya
simbol bahasa sebagai rangkaian simbol yang digunakan untuk mengalihkan keyakinan budaya di
antara anggota sesuatu masyarakat. Pesan-pesan tentang kebudayaan yang diharap, dapat
ditemukan di dalam media, pemerintahan, institusi agama, sistem pendidikan dan seumpamanya
(Bounded et.al).
Daripada semua pengertian tersebut, budaya bolehlah disimpulkan sebagai segala penghasilan
masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat atau tidak, termasuk hasil
ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan
untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat. Oleh itu konsep budaya merupakan satu
konsep yang penting untuk membandingkan perbezaan antara suatu masyarakat dengan suatu
masyarakat yang lain.
Justeru, dapatlah difahamkan bahawa melepak di kompleks membeli belah, bermain permainan
komputer di kafe siber, berbual kosong di kedai fast food dan seumpamanya lagi, tidak wajar
disebut sebagai budaya. Malahan perbuatan-perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai perilaku,
tabiat, atau perbuatan yang sia-sia yang tidak mendatangkan faedah kepada diri mahupun
masyarakat. Biasanya mereka berkumpul tanpa misi dan visi, matlamat dan hala tuju yang tertentu.
Perbuatan tersebut hanya sekadar untuk membuang masa, memenuhi selera jiwa remaja yang tidak
terurus, berseronok suka dan kadang-kadang untuk meloloskan diri mereka daripada
tanggungjawab yang sepatutnya mereka pikul. Oleh sebab itu, tidak ada masyarakat dan ahlinya
yang dapat menerima tingkahlaku-tingkahlaku tersebut sebagai budaya atau cara hidup yang patut
diamalkan oleh kelompoknya, sebaliknya tingkahlaku-tingkahlaku sedemikian adalah dianggap
sebagai suatu gejala sosial dalam masyarakat.
Golongan remaja pula boleh didefinisikan sebagai satu golongan peralihan, iaitu peralihan dari segi
sikap, fizikal, mental, emosi, rohani dan jasmani daripada zaman kanak-kanak ke zaman dewasa.
Golongan ini merangkumi individu lelaki dan perempuan yang berumur antara tiga belas tahun
hingga dua puluh tahun. Berasaskan hakikat inilah sesetengah remaja masih lagi terbawa-bawa
dengan gaya hidup kanak-kanak sementara sesetengahnya pula ingin dipandang matang seperti
orang dewasa. Lantaran itu, menyebabkan golongan remaja semakin tersepit untuk menentukan
identiti diri dalam arus pemodenan negara dan akhirnya muncullah golongan remaja yang
terjerumus ke kancah jenayah dan masalah sosial akibat daripada kekaburan identiti diri.
1.1 Punca-punca berlakunya gejala sosial di kalangan remaja
Tabiat suka menghabiskan masa lapang di kalangan remaja dengan melakukan perkara-perkara
yang tidak berfaedah seperti melepak di kompleks membeli belah, bermain permainan komputer di
kafe siber, berbual kosong di kedai fast food, sering dikaitkan dengan isu sosial seperti
kecenderungan untuk mencipta identiti baru, kecenderungan kepada kelainan, masalah penggunaan
masa senggang, ketandusan wawasan hidup, keinginan melapaskan diri daripada kongkongan
keluarga, untuk mendapatkan publisiti, dan manifestasi atau sindrom ketidakupayaan remaja
menghadapi perubahan dan pemodenan dalam masyarakat yang begitu pantas bergerak.
Umumnya golongan remaja yang terlibat dengan gejala sosial ini mempunyai ciri sosiobudaya
tertentu seperti tahap pendidikan yang tidak kesampaian atau keciciran, keadaan keluarga yang
tidak terurus dengan sempurna, kurang disiplin dan pengawalan diri, mudah terpengaruh, tidak
suka kepada tugas yang memerlukan tumpuan dan daya usaha, asas pendidikan agama yang lemah,
putus asa kerana gagal dalam sesuatu hal yang berkaitan dengan diri sendiri, tidak mempunyai cita-
cita atau matlamat hidup, kurang rasa tanggungjawab, tidak mampu menghadapi cabaran, tidak ada
daya usaha dan sebagainya lagi. Rumusan daripada senario tersebut, golongan remaja yang
terjebak ke dalam kancah gejala sosial tersebut, disebabkan oleh beberapa faktor yang dominan.
Antara faktor-faktor tersebut ialah pengaruh rakan sebaya, kepincangan institusi keluarga,
pengaruh persekitaran, tarikan media massa dan kurangnya didikan agama.
Mengikut Kamus Dewan (2002), rakan sebaya bererti anak-anak muda yang sama umurnya dalam
satu kumpulan. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru, terikut dan terpengaruh dengan
rakan sebaya. Pada peringkat umur yang masih mentah ini, pemikiran masih cetek, nalurinya
kurang tabah serta sifat ingin mencuba sangat berkobar-kobar. Justeru apabila dipujuk atau
dipengaruhi oleh rakan-rakan sebaya, meraka sudah tentu tidak dapat mengawal perasaannya untuk
turut terlibat dalam tabiat negatif tersebut.
Kebanyakan remaja lebih cenderung dipengruhi rakan sebaya kerana mereka merasakan diri
mereka lebih dihormati atau dihargai oleh rakan-rakan mereka sedangkan keadaan hormat-
menghormati ini mungkin kurang berlaku di kalangan ahli-ahli keluarga sendiri. Remaja biasanya
akan memilih rakan sebaya yang mempunyai tingkah laku, sikap dan identiti yang mirip dengan
mereka. Menurut Maizatul Akmam Abu Bakar (2007), kajian mendapati bahawa kecenderungan
rakan sebaya paling tinggi pada umur 14 hingga 15 tahun. Malah konflik dengan ibu bapa paling
banyak berlaku pada tahap ini. Hal demikian kerana kecenderungan menurut tingkah laku anti
sosial paling tinggi pada umur ini, sementelah remaja lebih cenderung menurut pengaruh rakan
sebaya kerana mereka berada dalam proses membebaskan diri daripada pengaruh ibu bapa dan
mereka mula berfikir untuk diri sendiri.
Remaja yang terlibat dengan gejala sosial bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin
tetapi juga keluarga berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada keluarga yang
mempunyai latar belakang yang baik. Oleh itu boleh dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan
akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh
ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan
dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak-anak kurang mempunyai masa atau
kesempatan untuk berbual, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang
bersua muka, keadaan ini menyebabkan remaja membawa haluan hidup sendiri tanpa panduan dan
pengawasan ibu bapa.
Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah
alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pentengkaran yang kerap berlaku
dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis
serta ketidakupayaan pihak ibu bapa mengawasi pendidikan anak-anak mereka. Justeru setiap ibu
bapa adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan kewajipan untuk mendidik serta mengawasi
anak-anak, mengenalpasti masalah anak-anak, memberi nasihat, pedoman, memberikan
kemudahan-kemudahan, memupuk suasana keluarga yang harmoni dan sentiasa berdampingan
sesama ahli keluarga.
Bagi remaja di kalangan penduduk setinggan atau peneroka bandar, persekitaran tempat tinggal
mereka tidak begitu selesa. Begitu juga bagi keluarga miskin yang terpaksa mendiami rumah-
rumah yang sempit sedangkan isi rumahnya agak ramai. Keadaan yang tidak selesa di rumah
mereka menyebabkan remaja mengambil keputusan untuk menghabiskan masa lapang mereka
dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti melepak di kompleks membeli
belah, bermain permainan komputer di kafe siber, berbual kosong di kedai fast food seperti
McDonalds dan Starbuck. Begitu juga bagi remaja yang sedang berada di bangku sekolah, mereka
sentiasa berhadapan dengan pelbagai tekanan hidup sebagai seorang pelajar. Harapan ibu bapa
yang terlalu tinggi, tumpuan yang terpaksa diberikan dalam bidang akademik dan kadang-kadang
sikap guru-guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang bermasalah
menyebabkan akhirnya remaja atau pelajar tersebut mengambil jalan mudah untuk keluar daripada
kemelut tersebut dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan seperti yang dibincangkan ini.
Media massa juga mempunyai pengaruh yang kuat ke atas para remaja. Media massa seperti
televisyen, internet, majalah dan sebagainya adalah antara faktor terkuat untuk mempengaruhi
remaja untuk terlibat dalam masalah sosial. Namun media massa yang sangat berpengaruh pada
hari ini ialah komputer. Ramai remaja sanggup menghabiskan masa yang panjang di kafe siber
untuk melayari internet atau bermain permainan komputer. Capaian maklumat dihujung jari,
dengan langit terbuka tanpa sempadan, membolehkan anak-anak remaja yang tidak dibimbing
dapat mengakses pelbagai sumber maklumat yang tidak bermanfaat malah kadang-kadang boleh
merosakkan jiwa dan akhlak mereka.
Remaja yang tidak mempunyai didikan agama yang mantap, sering sahaja membuang masa dengan
aktiviti-aktiviti melepak, bermain permainan komputer yang melalaikan dan bertandang ke kedai-
kedai fast food. Sedangkan Allah telah berfirman :
) #9 , #( ##( #!% ] )
( 9 #} /9 9 _ ?# _ #(
/9 , , ?# _ #( #9
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan
beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesar dengan kebenaran dan yang berpesan-pesan
dengan kesabaran (Surah Al Asr). Bagi anak remaja yang jauh dari didikan agama, firman Allah
tersebut tidak membawa apa-apa makna kepada mereka. Mereka akan meredah benua kehidupan
ini tanpa sempadan halal atau haram. Tiada dosa dan pahala bagi mereka. Hidup mereka dilalaikan
dengan bujukan iblis dan syaitan, sebab itulah mereka sanggup membuang masa dengan aktiviti-
aktiviti seperti yang sedang dibincangkan ini.
b. Cadangkan satu aktiviti oleh pihak sekolah dan satu aktiviti oleh ibu bapa untuk mengurangkan
gejala membuang masa ini di kalangan remaja.
(10 markah)
1.2 Aktiviti oleh pihak sekolah untuk mengurangkan gejala membuang masa
Sekolah memainkan peranan yang tersendiri dalam usaha menangani gejala membuang masa di
kalangan remaja. Terdapat berbagai-bagai aktiviti yang telah dirancang dan dilaksnakan oleh pihak
sekolah bagi tujuan tersebut. Antara aktiviti yang sering dijalankan yang dapat melibatkan
sejumlah besar bilangan pelajar ialah Perkhemahan Unit Uniform Sekolah.
Perkhemahan ialah satu bentuk aktiviti bagi memenuhi aktiviti masa lapang dan untuk merehatkan
fikiran. Perkhemahan juga boleh mengeratkan silaturrahim sesama rakan pelajar apabila
melakukannya bersama-sama. Aktiviti seperti pertandingan kawat, pertandingan kebersihan dan
menghias khemah, persembahan kebudayaan, senamrobik, kuliah Subuh dan sembahyang
berjemaah, jungle tracking, sukaneka dan lain-lain aktiviti yang sesuai boleh dijalankan bagi
mengisi slot perkhemahan tersebut.
Tujuan perkhemahan adalah untuk melatih para pelajar berdikari dan bersedia dalam menghadapi
keadaan serba kekurangan terutamanya apabila berkhemah di luar kawasan sekolah. Para pelajar
juga dilatih untuk menyelesaikan segala tugasan dengan penuh tanggungjawab, di samping
menggalakkan para pelajar bergaul sesama mereka untuk mengeratkan lagi perpaduan. Seterusnya
aktiviti perkhemahan juga dapat mengalihkan sejenak keletihan minda pelajar yang banyak
tertumpu kepada persiapan menghadapi peperiksaan kepada aktiviti yang berfokuskan fizikal.
Selain itu, perkhemahan juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang kehidupan di luar
rumah yang lebih mencabar dan menarik.
Aktiviti perkhemahan tersebut mempunyai falsafahnya yang tersendiri, seperti melaluinya para
pelajar diasuh dengan disiplin diri yang kuat, diterapkan nilai kepimpinan, mempraktikkan
semangat setiakawan, bersedia menghadapi cabaran, bertanggungjawab terhadap organisasi atau
kumpulan, bertolak ansur, saling berkerjasama, mematuhi peraturan serta tabah menghadapi
dugaan dan tidak mudah berputus asa.
1.3 Aktiviti oleh ibu bapa untuk mengurangkan gejala membuang masa
Ibu bapa adalah orang yang paling penting untuk memainkan peranan membimbing anak-anak ke
jalan yang betul. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, Setiap anak yang
dilahirkan adalah suci maka kedua ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi,
Nasrani atau Majusi (Riwayat Al-Imam At-Tabrani). Malah pakar-pakar motivasi selalu
menyatakan bahawa ibu bapa dan anak-anak perlu selalu berdampingan, dengar masalah anak-
anak dan membantu mereka dalam menghadapi masalah tersebut. Justeru untuk memenuhi
tanggjungjawab sebagai ibu bapa seperti yang dikehendaki oleh Nabi Muhammad s.a.w tersebut,
maka satu program khusus dirancang iaitu Satu Keluarga, Anak didahulukan dan Kesejahteraan
diutamakan.
Salah satu unsur yang perlu ditekankan dalam program Satu Keluarga, Anak didahulukan dan
Kesejahteraan diutamakan ialah melakukan rutin atau aktiviti secara bersama-sama, minimumkan
melakukan rutin atau aktiviti secara berasingan. Antaranya ibu bapa dan anak-anak sepatutnya
sentiasa dapat makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali setiap hari. Dua puluh atau tiga
puluh tahun yang lampau amalan tersebut amat dititikberatkan oleh para ibu bapa, tetapi
kebelakangan ini perkara seumpama ini semakin diabaikan. Semasa makan bersama-sama banyak
sekali agenda tersirat yang terselit di situ, anak-anak merasakan diri mereka disayangi, ibu bapa
boleh menunjukkan kasih sayang dengan memberikan bimbingan dan nasihat sambil menjamu
selera. Semasa makan tentu sekali, ibu bapa cuba menasihatkan anak-anak dengan cara yang baik,
tidak menggunakan bahasa yang kasar. Ibu bapa juga boleh melatih anak-anak supaya turut sama
membantu ibu bapa menyediakan hidangan, mengemas meja, mencuci pinggan dan sebagainya
lagi, semua ini akan memberikan impak yang baik kepada pembentukkan sahsiah dan akhlak anak-
anak. Melentur buluh biar dari rebungnya.
Seterusnya amalkan juga rutin harian dengan bersembahyang secara berjemaah, sama ada di rumah
atau di masjid. Ingatlah Allah ada berfirman yang bermaksud, Bacalah apa yang telah
diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Quran), dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu
mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan mengingat Allah (solat) adalah lebih
besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain) dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan
.
! #? , ) ( #9 4 &% #9 , 3
)9 , 7 & #! !%. , 3 #9 , 3
#9 , t ! ? 4 #9 4 ?
#! 3 &29
Anak-anak yang biasa dengan amalan solat secara berjemaah, InsyaAllah adalah anak-anak yang
sedang dilatih rohaninya supaya menjadi anak-anak yang baik dan seterusnya melahirkan bibit-
bibit insan yang bertakwa. Nabi Muhammad juga pernah bersabda yang bermaksud, perintahlah
anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka
kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di
antara mereka (lelaki dan perempuan)(Riwayat Abu Daud). Selepas solat berjemaah tersebut,
boleh diadakan tazkirah ringkas kepada seluruh ahli keluarga, membimbing anak-anak
bermuhasabah diri, dan bertadarus bersama. Dari segi falsafahnya anak-anak yang menjadi
makmum yang mengikut semua perbuatan imam, sebenarnya sedang dilatih untuk mengikut
amalan yang baik dan menjadikan contoh tauladan dalam kehidupan seharian mereka. Namun apa
yang dikesalkan, dewasa ini ramai ibu bapa yang tidak sempat memberi masa yang berharga
kepada anak-anak mereka.
Selain itu, ibu bapa juga perlu merancang aktiviti riadah atau rekreasi secara bersama-sama,
umpamanya jadikan sesuatu hobi sebagai hobi keluarga, seperti menonton televisyen, mengunjungi
perpustakaan, melancong, berjoging, mengembara, bersiar-siar dan sebagainya secara bersama-
sama. Anak-anak didahulukan, sebagai ibu bapa yang matang, ibu bapa tidak seharusnya
membawa haluan dengan hobi sendiri tanpa memikirkan perasaan anak-anak. Tidak salah ibu bapa
berkorban sedikit untuk kebaikan dan kesejahteraan keluarga. Penglibatan bersama dalam aktiviti
santai akan mewujudkan suasana yang harmonis dalam keluarga tersebut, sekaligus ini dapat
mengelakkan anak-anak daripada mengenepikan ibu bapa dan memilih rakan sebaya untuk
beraktiviti.
Ibu bapa yang prihatin, akan bergaul atau berinteraksi secara berhemah dengan anak-anak. Anak-
anak perlu dilayan mengikut tahap umur dan kematangan mereka. Untuk melayan anak-anak di
sekolah rendah tidak sama dengan melayan anak remaja, begitu juga anak lelaki dan anak
perempuan ada perbezaan pendekatannya. Namun, yang penting anak-anak dapat menyedari
bahawa ibu bapa memberikan perhatian kepada mereka dan mereka tidak diabaikan. Ibu bapa
boleh mewujudkan konsep berkawan dengan anak-anak, supaya mereka tidak malu untuk
berkongsi masalah dengan ibu bapa. Dekati mereka dan selami serta fahami jiwa remaja mereka,
ibu bapa tunjukkan contoh teladan dalam kehidupan seharian.
Sebenarnya terlalu banyak perkara yang boleh dibincang atau dipraktikkan oleh ibu bapa dalam
usaha menjadikan Satu Keluarga, Anak didahulukan dan Kesejahteraan diutamakan. Antaranya
lagi, ibu bapa perlu memberikan pengiktirafan dan penghargaan atas kejayaan yang dicapai oleh
anak-anak, sama ada melalui hadiah atau pujian. Begitu juga ibu bapa tidak wajar, memandang
serong terhadap kesilapan atau kegagalan yang ditempuhi mereka. Berikan semangat, galakan serta
motivasi supaya anak-anak tidak berputus asa sebaliknya mampu bangun untuk bersaing
menggapai kejayaan di masa akan datang.
Begitulah antara beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa yang berhasrat untuk
melihat Satu Keluarga, Anak didahulukan dan Kesejahteraan diutamakan menjadi suatu realiti
dalam keluarganya. Namun masih banyak lagi amalan-amalan bersama yang perlu dipraktikkan
walaupun tidak dapat disebutkan satu- persatu dalam bicara ini.
1.4 Kesimpulan
Sekiranya semua pihak, yakni ibu bapa dan pihak sekolah, masing-masing memainkan peranan dan
tanggungjawab untuk membantu dan mendampingi remaja, nescaya para remaja tidak akan
memilih aktiviti yang boleh membuang masa. Dengan pengurusan masa yang berkesan di kalangan
remaja, maka banyaklah ruang untuk melakukan gejala sosial dapat dibendung. Oleh itu ibu bapa
dan sekolah perlu menyedari hakikat bahawa anak-anak remaja adalah golongan yang perlu
dikawal dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Remaja ibarat sebuah layang-layang yang terbang
melayang di angkasa, sementara ibu bapa dan pihak sekolah adalah tali yang mengawal layang-
layang tersebut agar tidak terjunam ke bumi. Oleh itu jika layang-layang yang sedang melayang
indah dihembus angin petang terjunam jua, apakah sebabnya?
2. Kes jenayah di Malaysia semakin meningkat. Pada hari ini, kes jenayah telah menular ke dalam
sekolah dan pelakunya adalah di kalangan pelajar sekolah menengah. Kes seperti membuli,
merogol, dan membunuh di kalangan pelajar remaja kerap dilaporkan dalam akhbar.
Jelaskan sebab-sebabnya berlaku senario di atas berdasarkan pendekatan:
a. psikologi
b. sosiologi
(20 markah)
2.0 Pengenalan
Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang kerajaan di sesuatu tempat.
Orang yang melakukan perbuatan jenayah dinamakan penjenayah. Menurut http://halaqah.net
jenayah ialah perbuatan atau perilaku yang jahat yang dilakukan oleh seseorang untuk
mencerobohi atau mencabul kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain dengan
sengaja, seperti membunuh atau mencederakan. Perlakuan jenayah di kalangan remaja atau
golongan juvenil dikenali dengan jenayah juvana. Jenayah jenis ini merupakan sesuatu yang
semakin membimbangkan kerana sekiranya tidak dibendung dari awal, golongan ini akan mampu
melakukan jenayah berat kelak.
Hari ini, masyarakat kita dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan pelajar dan
remaja. Kejadian-kejadian yang berlaku menggambarkan betapa seriusnya kejadian jenayah di
kalangan pelajar dan remaja. Semakin hari jenayah ini semakin berleluasa dan sukar untuk
ditangani. Isu seumpama ini sungguh memalukan memandangkan negara kita merupakan sebuah
negara contoh dirantau ini yang sedang pesat membangun. Persoalannya apakah punca yang
menyebabkan berleluasanya jenayah juvana dan mungkinkah masalah ini dapat diatasi?
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam http://www.mysarawak.org mendedahkan pada
tahun 2007, sebanyak 1838 kes jenayah di kalangan pelajar telah dilaporkan dan seramai 3383
orang pelajar sekolah telah ditangkap, sementara pada tahun 2008 sebanyak 2216 kes jenayah
melibatkan pelajar telah dilaporkan dan seramai 3725 orang pelajar ditangkap atas pelbagai
kesalahan. Katanya lagi, daripada jumlah tersebut pada tahun 2007 seramai 3241 orang pelajar
berumur di antara 13 hingga 18 tahun yang terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah manakala
pada tahun 2008 seramai 3629 orang pelajar dalam lingkungan umur yang sama didapati terlibat
dalam pelbagai kes jenayah. Berdasarkan jumlah kes dan jumlah tangkapan, ini jelas menunjukkan
bahawa pembabitan pelajar-pelajar dalam pelbagai kes jenayah sentiasa meningkat dan fenomena
ini amat membimbangkan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya.
2.1 Sebab-sebab berlaku senario di atas berdasarkan Pendekatan Psikologi
Kes jenayah yang berlaku di kalangan pelajar sekolah adalah berpunca daripada emosi pelajar yang
tidak stabil. Dalam usia yang masih mentah dan tahap pemikiran yang belum matang, para pelajar
atau remaja tidak dapat mengawal emosi mereka dengan baik. Antara gangguan emosi mereka
ialah tekanan perasaan. Tekanan perasaan pelajar boleh disebabkan keadaan keluarga yang kucar-
kacir, ibu bapa selalu bertengkar atau bergaduh. Selain itu, para remaja juga mungkin mengalami
tekanan perasaan akibat daripada gagal dalam peperiksaan. Tambahan pula kegagalan tersebut
turut tidak disenangi oleh orang-orang yang terdekat seperti ibu bapa dan ahli keluarga, guru-guru
juga rakan-rakannya. Dalam masa yang sama ibu bapa tidak bijak mengambil peluang untuk
meniupkan semangat kepada anak-anak mereka untuk redho dengan ketentuan Allah dan berusaha
untuk membaiki kelemahan diri mereka.
Selain itu, gaya pendidikan ibu bapa juga akan memberi kesan kepada perlakuan para pelajar atau
para remaja. Menurut Rahil Mahyuddin dan Habibah Elias (2001), ibu bapa yang authoritarian
mengawal perlakuan dan sikap anaknya, mahukan anak mereka akur kepada satu set perlakuan
yang ibu bapa telah tetatpkan. Ibu bapa bangga dengan anak-anak yang mengikut perintah dan
mendera jika melanggar arahan mereka. Keadaan ini amat bertentangan dengan perasaan serta jiwa
remaja anak-anak mereka. Oleh yang demikian, berlakulah konflik antara ibu bapa dengan anak-
anak. Anak-anak seperti ini akan melepaskan kemarahan yang terbuku di hatinya kepada orang
lain apabila berhadapan dengan masa dan ruang yang sesuai. Sepatutnya ibu bapa yang authoritatif
perlu membimbing anak-anak mereka secara rasional, terangkan sebab dan akibatnya supaya anak-
anak dapat memahami sesuatu peraturan yang dikenakan kepada mereka.
Di samping itu remaja yang tercicir dalam pelajaran sering menunjukkan penghargaan diri yang
rendah dan lebih mengasingkan diri. Rahil Mahyuddin dan Habibah Elias (2001), menyatakan
keciciran menunjukkan korelasi dengan pelbagai bentuk salah laku seperti delinkuen, penagihan
dadah dan alkohol, dan kehamilan. Kegagalan pelajar sekolah di kalangan remaja sering
berhubung dengan masalah keluarga, kemiskinan dan status minoriti. Kebanyakan remaja ini tidak
boleh akur dengan harapan sekolah dan kehendak guru mereka dan mereka sering gagal dalam
akademik.
Perhubungan ganas antara remaja dengan orang dewasa sering berlaku. Pengalaman mereka didera
atau dipukul, dimaki, dicerca oleh ibu bapa dan guru-guru menyebabkan remaja mempunyai
pengalaman untuk bertindak seperti mana yang pernah dialaminya. Remaja memang tidak akan
melakukan perkara seumpama itu kepada ibu bapa dan guru-gurunya, tetapi mereka mengalihkan
perbuatan tersebut kepada mangsa yang lebih lemah. Remaja menjadikan mangsa sebagai alat
melampiaskan perasaan benci, dendam, marah dan selain membalas dendam. Api dendam dalam
diri mereka dihalakan kepada orang lain dan kadang-kadang terlebih sehingga remaja tersebut
sanggup membunuh.
Faktor seterusnya yang menyebabkan remaja terpalit dengan kes-kes jenayah ialah jiwa mereka
kosong. Mereka tidak dibekalkan dengan ilmu agama yang mencukupi dan tidak dididik dengan
akhlak yang baik. Maka remaja yang sedemikian tidak rasa bersalah untuk melakukan jenayah,
tambahan pula kadang-kadang mereka juga tidak menyedari bahawa perlakuan tersebut dianggap
jenayah dan menjadi kesalahan di sisi undang-undang. Tidak kurang penting juga kes-kes jenayah
di kalangan remaja kadang-kadang dilakukan untuk seronok-seronok sahaja, dan kerana ingin
mencuba. Begitu juga ada di kalangan remaja yang terlibat dengan jenayah kerana ingin
membuktikan kepada rakan sebaya bahawa mereka adalah individu yang hebat, mereka mahu
disanjung oleh ahli kumpulan. Lebih parah lagi terdapat para remaja yang melakukan jenayah
sebgai hobi atau untuk memeriahkan suasana.
2.2 Sebab-sebab berlaku senario di atas berdasarkan Pendekatan Sosiologi
Jika dikaji secara mendalam terdapat banyak faktor luaran atau faktor sosiologi yang menjadi
penyumbang berlakunya jenayah di kalangan remaja di negara kita. Antaranya ialah didikan yang
kurang sempurna di kalangan ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa ialah orang yang paling dekat dan
paling penting dalam pembentukan peribadi dan sahsiah di kalangan anak-anak. Pada zaman
teknologi maklumat dan globalisasi sekarang, kebanyakan ibu bapa begitu sibuk bekerja bagi
memenuhi tuntutan kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab hakiki mereka iaitu
mendidik serta mengajar anak-anak menjadi insan yang sempurna akhlaknya. Inilah punca utama
yang menyebabkan para remaja atau para pelajar sekolah mengalami keruntuhan akhlak.
Natijahnya, mereka tergamak pula melakukan jenayah berat seperti merogol, membunuh,
menyamun, peras ugut dan membuli.
Pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berleluasanya kegiatan jenayah di kalangan pelajar-
pelajar dan remaja-remaja kerana mereka sungguh rapat dengan rakan sebaya mereka. Menurut
Azlin Hilma Hillaluddi et.al. (2006), pengaruh rakan sebaya telah dikenalpasti sebagai pendorong
untuk remaja mencuba dadah, terlibat dengan salahlaku seks mahupun perbuatan nakal yang lain.
Pelajar-pelajar lebih banyak menghabiskan masa mereka di sekolah dan selepas pulang dari
sekolah pula, mereka akan melepak di tempat-tempat tertentu seperti pusat-pusat membeli belah,
kafe siber dan kedai fast food sebelum pulang ke rumah. Mereka lebih suka mencari rakan sebaya
untuk menemani mereka. Jika mereka bijak memilih rakan yang dapat memimpin meraka, mereka
tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral. Sebaliknya jika mereka tersalah
memilih rakan, sudah pasti mereka juga akan berkelakuan tidak bermoral kerana sememangnya
para remaja mudah terikut perangai rakan. Di sinilah punca berlakunya kegiatan jenayah seperti
kes ragut, lumba haram, merogol dan sebagainya.
Seterusnya, media massa juga menjadi punca berlakunya kegiatan jenayah di kalangan remaja.
Tidak dinafikan kemudahan seperti internet, email, televisyen, telefon bimbit memudahkan kita
untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat, serta berhibur. Akan tetapi banyak juga kesan-
kesan negatif daripada kebaikan kemudahan ini, jika tidak dimanfaatkan dengan betul. Menurut
Abd Rahim Abd Rashid, Sufean Hussin dan Jamaludin Tubah (2006), pengaruh negatif media
terhadap tingkah laku disebabkan budaya kuning atau budaya ganas (liar), nilai-nilai barat yang
tidak sesuai dengan masyarakat timur, kebebasan tanpa mementingkan nilai dan norma, unsur-
unsur jenayah atau keganasan serta adegan seksual, akan memberikan kesan buruk yang
menjadikan golongan remaja bersifat destruktif, bertindak ganas, liar, melakukan jenayah, serta
pelbagai perbuatan menyalahi undang-undang, nilai dan peraturan sosial masyarakat di negara ini.
Contohnya, menyalahgunakan internet untuk memalsukan data-data penting, menonton gambar-
gambar lucah dan sebagainya akan mendorong mereka untuk melakukan jenayah seperti rogol,
bunuh, mengedar pil-pil khayal dan dadah.
Persekitaran memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah seseorang individu remaja.
Antaranya ialah hubungan dengan jiran, aktiviti rekreasi dan aktiviti berpasukan. Menurut Azlin
Hilma Hillaluddi et.al. (2006), kajian mendapati, jika tiada kawasan rekreasi yang berhampiran
dengan kawasan rumah remaja, memungkinkan mereka untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat.
Dari segi hubungan dengan jiran, jika anak remaja tidak kenal dengan jiran dan tidak pernah
meminta bantuan mereka, hal ini juga menunjukkan bahawa mereka ada kecenderungan untuk
berkelakuan secara devian. Menyorot kembali zaman lampau, sekitar tahun 70-an atau 80-an,
remaja telah menganggap jiran sebagai sebahagian daripada ahli keluarga sendiri. Oleh sebab itu
jiran pada masa itu turut memantau perkembangan tingkahlaku anak-anak jirannya. Namun
keadaan sudah jauh berubah, jiran tidak lagi berani mencampuri urusan anak-anak jirannya.
Seterusnya peranan sekolah. Hampir separuh daripada kehidupan remaja dihabiskan di sekolah. Ini
bermakna sekolah mempunyai pengaruh yang besar terhadap remaja. Di sekolah remaja
berinteraksi dengan rakan yang akan mempengaruhi aspek-aspek kehidupan, gelagat, emosi, nilai
dan tingkah laku. Azlin Hilma Hillaluddi et.al. (2006), menyatakan kajian mendapati bahawa
remaja yang menganggap sekolah tidak selesa, terlalu usang, tidak menarik dan tempat yang
berbahaya, lebih cenderung untuk terlibat dengan masalah sosial. Begitu juga dengan pelajar yang
pernah dimarahi guru, membenci guru, berpandangan bahawa disiplin sekolah berat, peraturan
menyusahkan, mempunyai kecendrungan untuk melakukan salah laku sosial. Bagi remaja yang
pernah diberi amaran, dirotan, digantung sekolah, dibuang sekolah dan tidak suka tindakan disiplin
di sekolah lebih cenderung untuk melakukan jenayah, Ini memberi petunjuk bahawa remaja seperti
yang diprofilkan terdiri daripada kalangan yang mudah terjerumus ke lembah gejala sosial dan
menjadi beban kepada mayarakat kemudian hari.
2.3 Kesimpulan
Jenayah di kalangan remaja yang membarah dalam masyarakat kita hari ini tidak boleh lagi
dipandang sepi, memandangkan jumlah pesalah laku juvana semakin meningkat saban tahun
sehingga memerlukan perhatian daripada semua pihak terutamanya ibu bapa, badan-badan
sukarela, institusi agama, pihak pemerintah dan masyarakat sekeliling. Justeru susunlah langkah,
aturkan program dan laksanakan dengan penuh tanggungjawab demi masa depan agama, bangsa
dan negara tercinta. Kemajuan material atau ekonomi yang dikecapi tidak membawa makna yang
sebenarnya jika generasi muda yang bakal memimpin negara suatu hari kelak adalah generasi yang
rosak iman dan akhlaknya.
RUJUKAN
Abd Rahim Abd Rashid, Sufean Hussin & Jamaludin Tubah. 2006. Institusi Keluarga Menghadapi
Cabaran Alaf Baru. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Azlin Hilma Hillaluddin et.al. 2006. Isu-isu & Pendidikan Kerja Sosial. Universiti Utara Malaysia:
Penerbit Universiti Utara Malaysia
Cheu Hock Tong (terjemahan). 1982. Apa Itu Sosiologi? Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
Hasnah, Mat Saad Abdul Rahman. 1995. Jenayah Remaja Permasalahan dan Penyelesaian.
Selangor: Hizbi
Joseph S. Roucek & Roland L. Warren. (1979). Sosiologi Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Dewan Edisi kedua. 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kes Jenayah Pelajar Sekolah Membimbangkan:KPN. (17 April 2009). [atas talian]
http://www.mysarawak.org [22 Oktober 2009]
Maizatul Akmam Abu Bakar. 2007. Perkaitan Antara hubungan Keluarga, Pengaruh
Mohd Makzan Musa. 1997. Psikologi Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publicatios & Distributors
Sdn. Bhd.
Rakan Sebaya dan Kecerdasan Emosi Dengan Tingkah Laku Delinkuen Pelajar. Tesis Sarjana
Psikologi Pendidikan: Universiti Teknologi Malaysia.
Rahil Mahyuddin & Habibah Elias. 2001. Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan (Ed.2) Shah
Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.
Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak-anak. (07 Ogos 2008). [atas talian]
http://www.religious-affairs.gov.bn. [22 Oktober 2009]
Yayasan Penyelenggara Penerjemah/Penafsir Al-Quran. 2007. Al-Quran Nulkarim (terjemahan).
Indonesia: Sygma.
http://www.scn.org/mpfc/modules/per-cumy.htm
http://www.scribd.com/doc/19756481/BAB-2-Definisi-Budaya
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=7538.0
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2006/12/01/kontrak-solat-turut-nafsu-lesu/
http://ms.wikipedia.org/wiki/budaya
Dicatat oleh orangkasai di 11:55 PTG
0 ulasan:
Catat Ulasan
Catatan Terbaru Laman utama
Langgan: Catat Ulasan (Atom)

You might also like