You are on page 1of 1

Apakah kepentingan pendidikan terhadap pembangunan negara Malaysia?

Pendidikan merupakan aset yang utama dalam perlaksanaan pembangunan negara Malaysia. Mengabaikan kepentingan pendidikan ini bererti mengekang pencapaian negara dan menyekat keperluan individu sama ada untuk kepentingan peribadi mahupun masyarakat. Kepentingan dalam pendidikan ini dapat dilihat dengan jelas apabila peruntukkan terhadap perbelanjaan dalam bidang pendidikan mencatatkan jumlah yang tinggi dan tindakan berani kerajaan dalam mengambil risiko asalkan dapat menghasilkan modal insan yang berguna pada masa hadapan. Falsafah pendidikan negara yang bertekad untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara juga jelas menunjukkan peranan dan kepentingan pendidikan itu sendiri dalam konteks yang lebih terperinci. Maka, dengan adanya pendidikan, ia mampu mengubah nasib diri seseorang bergantung dengan tahap pendidikan yang diterimanya. Ilmu yang diperolehi dengan secara langsung ataupun tidak mampu memberikan satu perubahan dalam kehidupan seseorang sekaligus membawa diri jauh daripada kelompok kemiskinan dan hidup tanpa arah tujuan. Berdasarkan falsafah pendidikan yang telah dijelaskan, kita tidak boleh sekadar memandang kepentingan pendidikan dalam skop ekonomi sahaja. Malah, adalah menjadi keutamaan dalam pendidikan untuk melahirkan insan yang lengkap dengan nilai-nilai murni dan moral yang baik dalam kehidupan bermasyarakat serta peribadi khasnya. Hal ini kerana, sesuatu pembangunan negara akan lebih terjamin dengan adanya asas kehidupan yang baik dalam diri setiap individu apatah lagi kepada perintis masa hadapan negara. Disamping itu, kemahiran dalam bidang lain juga diterapkan untuk mencapai dan memenuhi keperluan tenaga kerja negara yang permintaannya semakin tinggi dek kerana arus pembangunan negara yang pesat. Selain daripada itu, tanpa pendidikan pula masyarakat kita akan menjadi mundur dan ketinggalan dalam arus modenisasi pembangunan yang sedang rancak dijalankan di negara luar. Maka, peranan pendidikan untuk memenuhi keperluan negara dalam membekalkan tenaga kerja yang progresif,berintegriti dan mempunyai tahap kognitif yang tinggi adalah penting agar Malaysia dapat bersaing seiring dengan negara-negara maju. Dalam pada itu, strategi tranformasi ke arah negara maju juga menjadi lebih efisen dan berkesan. Justeru itu, jelaslah di sini bahawa pendidikan mampu menjana masa depan negara yang lebih membangun. Namun, apa yang penting adalah sikap keterbukaan setiap rakyat Malaysia untuk merebut dan mencari setiap peluang yang ada demi mencapai kejayaan dalam diri sendiri dan juga untuk berbakti kepada negara kita Malaysia.

You might also like