You are on page 1of 2

Definisi pantun

Pantun ialah bentuk puisi Melayu yang asli dan unik. Ia merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu, baik dari segi pemikiran, kesenian, maupun nilai-nilai moral dan sosialnya. Akalbudi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam. Pantun wujud dalam pelbagai bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan pantun empat kerat sehingga ke pantun berkait. Genre ini menduduki tempat yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan kanak-kanak, dalam percintaan, upacara peminangan dan perkahwinan, nyanyian, dan upacara adapt. Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, yakni dari dalam buaian hingga ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi oleh pantun. Pantun merupakan sastera lisan yang lahir dan berkembang dalam kalangan masyarakat yang akrab dengan alam, dan diwarisi dari generasi ke genarasi . Apabila muncul teknologi percetakan pada akhir abad ke-19, koleksi pantun telah diterbitkan dalam pelbagai dialek Melayu, seperti Betawi, Minangkabau, Peranakan Jakarta dan Melaka, dan bahasa-bahasa seperti Ambon dan Acheh. Kini terdapat kira-kira seratus buah manuskrip pantun yang dikumpulkan di perpustakaan seperti di Jakarta, Leiden, Paris, London, dan Berlin. Kebanyakan pantun tersebut dikutip pada akhir abad ke-19 dan dimuatkan dalam pelbagai koleksi oleh sarjana dari England, Belanda, dan Jerman. Dapat disebutkan bahawa pantun ialah genre yang tersebar luas dan hampir sarwajagat. Di Alam Melayu, bentuk ini hidup subur dalam sekitar 30 bahasa dan dalam 35 dialek Melayu. Orang-orang Melayu diaspora pula telah membawanya hingga ke Sri Langka, Kepulauan Cocos, Surinam, dan Belanda. Kehadiran pantun di

Eropah dan Amerika telah menarik perhatian penyair-penyair hingga menyebabkan timbulnya genre pantoum dalam kesusasteraan Barat mulai abad ke-19. Kini pantun telah berjaya menambat imaginasi dan kesarjanaan pengkaji di dalam dan di luar bidang sastera, di Alam Melayu dan juga di luarnya. Pantun terus diajar dan diselidiki di pusat-pusat Pengajian Melayu; seminar dan bengkel tentangnya juga terus diadakan.

Apakah itu pantun


Menurut buku GLOSARI ISTILAH KESUSASTERAAN Dewan Bahasa dan PUstaka (DBP) terbitan 1988; PANTUN sejenis puisi tradisi Melayu, iaitu puisi tulen milik orang Melayu semenjak mereka belum tahu membaca atau menulis (digunapakai: bualan secara lisan dan hafalan). Pantun pada masa itu, menjadi pengucapan bagi menyampaikan fikiran yang hiba, sedih, sayu, gembira, rindu dendam dan lain-lain, terhadap seseorang atau mengenai sesuatu perkara. Dari segi bentuk fizikal, pantun terdiri dari dua bahagian; bahagian pertama berfungsi sebagai pembayang maksud/sampiran, dan bahagian kedua berfungsi sebagai menerangkan maksud atau isi pantun. Pantun terdiri daripada: dua baris; dikenali (Pantun Dua Kerat), empat baris; (Pantun Empat Kerat atau pantun biasa); enam baris; (Pantun Enam Kerat), lapan kerat; (Pantun Lapan Kerat), sepuluh kerat; (Pantun Sepuluh Kerat), dua belas baris; (Pantun Dua Belas Kerat), empat belas baris; (Pantun Empat Belas Kerat) Rima hujungnya baris pantun terdiri dari (aa) bagi pantun dua kerat; (abab) bagi pantun empat kerat; (abcabc) bagi pantun enam kerat, (abcdabcd) bagi pantun lapan kerat; (abcdeabcde) bagi pantun sepuluh kerat; (abcdefabcdef) bagi pantun dua belas kerat; dan (abcdefgabcdefg) bagi pantun empat belas kerat. Antara pantun yang tersebut di atas, pantun empat keratlah yang paling popular. Ia dianggap sebagai pantun biasa dan paling banyak dicipta dari dahulu hingga sekarang. Ia juga mempunyai bentuk fizikal seperti yang tersebut di atas iaitu: baris pertama dan kedua sebagai pembayang maksud atau sampiran; baris ketiga dan keempat mengandungi maksud atau isi. Rima akhir barisnya ialah (abab), dengan jumlah suku kata bagi tiap barisnya antara lapan, dua belas dan lain-lain.

You might also like