You are on page 1of 11

PENGENALAN

Pendidikan bahasa arab merupakan salah satu cabang pendidikan yang turut sama penting dengan pendidikan lain. Dalam buku-buku pedagogi yang boleh didapati di perpustakaan pendidikan, sama ada yang ditulis oleh penulis tempatan atau penulis luar, kebanyakkannya merujuk kepada buku-buku dari Barat. Oleh sebab itulah, kaedah yang digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran masih kekal namanya yang asal walaupun bentuk ejaannya telah diMelayukan. Antara kaedah tersebut seperti kaedah induktif, deduktif, Socrates, praktis, inkuiri penemuan, simulasi, demonstrasi dan sebagainya. Selain daripada itu ada kaedah lain yang lebih umum serta sebutannya berorientasikan tempatan seperti kaedah bercerita, kaedah kuliah atau syarahan, perbincangan, perbandingan, latih tubi, hafalan, soal jawab, sosiodrama, main peranan, penyelesaian masalah, sumbang saran dan sebagainya. Sebahagian penulis menamakan ini sebagai teknik ( Mok, 1992 ). Walau bagaimanapun, kita faham bahawa ini ialah satu cara pengajaran. Cara atau kaedah ini digunakan pada keadaan-keadaan tertentu mengikut kesesuaian dan kehendak tajuk yang diajar serta guru yang mengajar. Dikatakan ia kaedah umum kerana hampir semua mata pelajaran di sekolah boleh mengaplikasikan kaedah ini dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam pengajaran Bahasa Arab, khasnya nahu ( tatabahasa ), ada beberapa kaedah lain yang sesuai iaitu kaedah Tematik (Tariqah Al Mauduiyah), kaedah Mengeja (Tariqah Al Imlaiyah), kaedah soal jawab (Tariqah Al Munazharah), kaedah Latih Tubi (Tariqah al Mulazamah), kaedah Perbandingan (al Qiyasiyah), dan kaedah Induktif. Keperluan kepada kaedah-kaedah yang betul tidak boleh dipandang ringan dalam satu-satu sistem pembelajaran yang ideal. Terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan dengan sistematik bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.Walaubagaimanapun , beberapa aspek penting perlu diambil kira dalam proses pembelajaran khususnya yang berkaitan dengan pendidikan Islam dan bahasa arab. Antaranya ialah kesesuaian aktiviti yang terkandung di dalamnya serta penerapan aspek nilai. Ini kerana dalam falsafah pendidikan Islam, pencapaian sesorang murid itu bukan hanya diukur berdasarkan keupayaan menguasai maklumat dan isi pelajaran yang terkandung dalam sukatan pembelajaran sahaja, sebaliknya pembangunan nilai sahsiah dalam diri dan aplikasi

moral terhadap persekitaran mengikut acuan pendidikan Islam juga menjadi kriteria terhadap pencapaian seseorang pelajar. Oleh yang demikian, tidak semua kaedah adalah sesuai dalam konteks pendidikan bahasa arab yang amat berkait rapat dengan nilai tarbiah Islam. Aspek sejarah metodologi pengajaran dan penyebaran ilmu dalam Islam juga perlu diambil kira. Persoalan apakah kaedah yang digunapakai oleh para ulama salaf tidak relevan dengan suasana sekarang harus diteliti secara saksama dan jujur.Begitu juga dengan persoalan setakat mana tahap istiqamah, konsistensi dan konsentrasi pelajar dalam mempelajari bahasa Arab samada di peringkat awal, pertengahan mahupun di peringkat tinggi. Persoalan kesesuaian kaedah pembelajaran moden serta susun atur fizikal sesebuah kelas pendidikan bahasa Arab era hari ini juga harus dikupas dengan jelas. Harus difahami bahawa mempelajari bahasa Arab jauh sekali perbezaannya dengan mempelajari bahasa Inggeris. Salah satu elemen yang penting untuk menguasai sesuatu bahasa itu ialah kemampuan bagaimana untuk berfikir dalam bahasa tersebut. Apabila kita merujuk kepada kitab-kitab pengajaran nahu yang ditulis oleh ulama-ulama kini, maka kita dapati sebahagian daripada mereka menggunakan al-quran dan sebahagian yang lain pula tidak menggunakan al-quran langsung di dalam menerangkan kaedah-kaedah nahu. Di antara kitabkitab nahu yang masih menggunakan al-quran sebagai bukti ketepatan kaedah nahu adalah seperti kitab jami al-durus yang dikarang oleh al-Ghalayini (1912), kitab al-tatbiq al-nahwi karangan Dr. Abduh al-Rajihi (1988), dan juga kitab terbaru yang mengemukakan huraian (syarh) kepada matan al-ajrumiyyah yang telah dilakukan oleh Muhammad Mahyu al-Din Ab Hamid yang dinamakan dengan al-tuhfatu al-saniyyah juga tidak ketinggalan menggunakan syahid al-quran sebagai hujjah membuktikan ketepatan nahu bahasa Arab. Begitu juga dengan ulama-ulama terdahulu, juga menjadikan al-quran sebagai salah satu kaedah menyampaikan ilmu nahu. Bermula daripada Abu Aswad al-Duali yang telah menyahut seruan saidina Ali K.W dalam meletakkan asas ilmu nahu setelah beliau mendengar adanya lahn (kesalahan daripada segi nahu) dalam pembacaan al-Quran. Sibaweih (180H) dalam bukunya al-Kitab juga menggunakan dalil ayat-ayat al-Quran sebagai bukti kepada kaedah-kaedah nahu. Penggunaan dalil daripada ayat-ayat al-Quran untuk membuktikan ketepatan kaedah nahu dipanggil dengan istilah syahid al-quran. Syahid alquran yang pertama digunakan oleh Sibawieh di dalam kitabnya adalah ketika membincangkan tentang kalimah iaitu tajuk pertama tentang ilmu nahu.

Sekiranya dilihat pula Ibnu Hisham (761H) maka beliau juga menggunakan syahid alQuran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu bahasa Arab. Di dalam bukunya syarh qatr al-nada wa bal al-sada penggunaanya (syahid al-quran) yang pertama adalah dalam bab al-kalimah apabila beliau membawa ayat al-quran sebagai dalil kepada jumlah mufidah. Hal ini demikian kerana kaitan al-quran itu sendiri dengan bahasa Arab adalah diibaratkan seperti isi dengan kuku. Tidak sempurnalah jari yang tidak mempunyai kuku tetapi hanya ada isinya sahaja dan begitulah sebaliknya. Antara kaedah pengajaran yang paling menonjol dan dipraktikkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa arab diterangkan pada helaian berikutnya.

1. KAEDAH PERBANDINGAN

Sangat jarang para pendidik mengaplikasikan kaedah ini dalam pengajaran. Boleh jadi kerana sukar untuk membandingkan sesuatu dengan yang lain. Guru memerlukan banyak maklumat, dengan demikian barulah dapat membandingkan antara maklumat itu. Guru yang mahir boleh mengaplikasikan kaedah ini serentak dengan kaedah penceritaan dalam pengajarannya dan ini mampu menghidupkan lagi suasana kelas serta lebih efektif. Kaedah ini dimulakan dengan memperkenalkan prinsip asas dan umum sebelum di huraikan dengan contoh-contoh serta perincian yang mendalam. Kaedah ini adalah kaedah lazim yang diguna pakai dalam sistem pembelajaran moden. Sebagai contoh kaedah ini boleh diterapkan dalam pengajaran kaedah tatabahasa. Guru akan menjelaskan tajuk pelajaran dan kaedah seperti hukum Jamak Taksir. Sesudah memberi penjelasan berkenaan sifat jamak taksir dan bagaimana mengenalnya berdasarkan beberapa contoh, maka guru akan memberikan contoh tambahan untuk memudahkan murid dalam menghadapi latihan susulan. Kaedah ini juga amat sesuai diaplikasikan dalam pengajaran bahasa sama ada nahu atau balaghah bagi mata pelajaran bahasa arab. Sebenarnya kaedah ini menarik dan melatih kemahiran berfikir di kalangan pelajar. Sebagai contoh dalam pengajaran ayat muzakkar dan muannath atau fiil madi, fiil mudhari dan fiil amar. Pendidik menyenaraikan fakta dan hukumhukum dan seterusnya memberikan contoh-contoh yang sesuai yang boleh membentuk satu ayat. Daripada ayat-ayat ini maka terbentuk satu cerita yang boleh dihubungkait dengan tajuk yang diperkenalkan. Dengan kaedah ini,guru boleh menggabungjalin kaedah ini dengan kaedah lain seperti penceritaan dan kaedah dialog (hiwar). Terpulanglah kepada kebijaksanaan dan kemahiran pendidik memilih pendekatan dan teknik yang sesuai untuk mengaplikasikan kaedah ini. Kaedah perbandingan berkaitan dan saling melengkapi dengan kaedah induktif. Oleh itu, adalah lebih penting bagi pendidik untuk menggabungkannya. Dari kaedah induktif, merka sampai kepada prinsip umum atau fakta umum yang terkandung dalam pelajaran. Kemudian dengan perbandingan itu mereka dapat menjelaskan prinsip-prinsip dan undang-undang umum dan membuktikan kebenarannya, menetapkan dalam ingatan dan melatih diri dengan menggunakannya melalui contoh-contoh, latihan-latihan, percakapan dan praktik ( Asyaibani, Omar, 1991). Para pendidik dan para ulama Islam telah banyak mengunakan kaedah perbandingan dalam pengajaran, perbincangan dan dalam usaha membuktikan kebenaran fikiran dan kepercayaan mereka kepada karya-karyanya, terutama sesudah mereka berhubung dengan logika Aristotles yang merupakan logika perbandingan. Sering kali para ulama dan pendidik

menggabungkan kedua-dua kaedah itu dalam pengajaran pembelajaran dan penyelidikanpenyelidikannya untuk memperoleh dua faedah secara serentak. Ini kerana dengan kaedah induktif, mereka sampai kepada prinsip umum yang diinginkan dan dengan perbandingan mereka membuktikan kebenaran kaedah tersebut ( Asyaibani, Omar, 1991) . Di dalam pendidikan Al-Quran, Allah S.W.T juga menggunakan kaedah perbandingan dalam penggunaan bahasa arab. Tidak dapat dinafikan penggunaan bahasa yang terdapat di dalam al-quran merupakan bahasa yang terbaik dari susun atur ayat, nahu, balaghah dan sebagainya. Sebagai contoh, dalam surah Ibrahim ayat 24 dan 25. Kita lihat bagaimana al-quran membuat perbandingan untuk mendidik umat Islam supaya bercakap perkara-perkara yang baik dan meninggalkan percakapan yang buruk dan sia-sia. Dalam ayat ini dengan jelas Allah menarik perhatian hamba-Nya dengan memulakan ayat itu dengan kalimah yang berbentuk persoalan, namun persoalan itu bukan untuk dijawab tetapi salah satu cara untuk menarik perhatian pembaca. Yang ditegaskan di sini ialah tanya dahulu sebagai menarik perhatian kemudian baru memberi nasihat dengan memberi perbandingan antara percakapan yang baik dengan yang buruk supaya difikirkan. Di sini timbul pula latihan berfikir secara kritis. Jadi ada tiga perkara boleh diambil ingatan di sini iaitu soalan, perbandingan dan kemahiran berfikir. Begitu juga ayat al-quran menerapkan pengguanaan perkataan muzakkar dan muannath dalam menentukan hukuman terhadap penzina perempuan dan penzina lelaki di dalam surah ayat dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan dalam surah ayat . Dalam kedua-dua ayat ini, al-quran menyusun ayat sangat indah dan mudah difahami maksud yang tersirat daripada penyusunan ayat yang sistematik. Kaedah perbandingan kalimah penggunaan untuk muzakkar dan muannath jelas untuk difahami. Kaedah perbandingan ini adalah sebahagian daripada kaedah yang diaplikasikan di dalam al-quran yang bertepatan untuk diaplikasikan dalam pengajaran nahu bahasa arab.

2. KAEDAH SOAL JAWAB

Kaedah ini memberi gambaran yang luas kepada kita. Pada umumnya kita simpulkan bahawa yang menyoal itu ialah guru. Maksudnya semasa menyampaikan pengajaran itu guru

menyoal pelajar, khasnya mengenai maklumat dan pengalaman lalu. Ini bertujuan menarik minat dan mencungkil kebolehan pelajar. Dengan soalan ini guru dapat mengawal kelas, menarik perhatian pelajar dan di samping itu guru dapat mengetahui tahap kebolehan pelajar mengenai tajuk yang akan dibincangkan atau menguji tahap pencapaian pelajar bagi pelajaran yang baru diajar. Daripada soal itu juga memberi maklumat baru kepada pelajar atau mengingatkan yang lepas. Selain daripada soalan guru, konsep ini boleh juga bermaksud soalan daripada murid atau pelajar. Guru harus memberi peluang pelajarnya menyoal untuk memantapkan kefahaman mereka atau menghilangkan keraguan. Apabila ada soal jawab dengan sendirinya menjadikan satu perbincangan. Setiap soalan yang dikemukakan memerlukan jawapan, pada jawapan itu timbul pula persoalan lain. Dengan demikian hiduplah kelas itu kerana wujud hubungan dua hala. Dalam keadaan demikian guru tidaklah menjadi pensyarah semata-mata, sebaliknya menjadi fasilitator dan pelajar pula bukan pendengar yang pasif tetapi pelajar yang aktif. Kaedah ini termasuk dalam kaedah Pemusatan kepada pelajar ( child centered ). Dengan demikian kaedah ini diambil dan digunapakai sebagai satu kaedah dalam pendidikan. Kaedah soal jawab ini amat sesuai dan praktikal dalam konteks pembelajaran bahasa. Ini kerana dalan kaedah ini proses pembelajaran berlangsung dengan semua pihak memainkan peranan termasuk guru dan murid, Bermula dengan penyediaan teks perbualan yang mudah seperti ucapan aluan, terima kasih, bertanya nama atau bertanya khabar. Frasa-frasa ringkas ini mudah untuk diingat dan sesuai untuk dipraktikkan di luar bilik darjah sebagai pengayaan. Walau bagaimanapun , setiap murid perlu memahami maksud setiap frasa bagi menyesuaikan dengan konteks perbualan dan kesesuaian penggunaannya. Tujuan kaedah ini adalah untuk merangsang pemikiran. Menyoal merupakan sebahagian daripada setiap interaksi pengajaran pembelajaran antara guru dengan murid. Dengan kaedah ini juga dapat menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis. Soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan. Dalam al-quran terdapat contoh yang banyak mengenai kaedah ini. Ada masanya Allah bertanya di samping memberi jawapannya. Ada kalanya Allah perintah pesuruh-Nya bertanya untuk menimbulkan kesedaran. Di samping itu al-quran juga menceritakan bagaimana pesuruh

Allah bertanya kepada kaumnya dan ada kalanya kaum itu pula bertanya kepada nabi mereka. Sebenarnya, semua itu menjadi pengajaran kepada kita. Dalam dunia pendidikan, soal jawab boleh berlaku dalam banyak keadaan. Ada kalanya yang bertanya memang benar tidak mengetahui dan dengan niat ikhlas untuk mengetahui. Ada masanya yang bertanya itu tidak mengetahui tetapi pura-pura mengetahui dengan mengajukan persoalan dan hujah yang bukan-bukan. Adakalanya yang bertanya itu orang yang mengetahui, hanya untuk menguatkan kefahamannya. Golongan berpelajaran dan berpendidikan tinggi tentulah memerlukan jawapan yang agak kemas, tersusun dan berdalil, malah kadang-kadang dalam memberi jawapan itu terjadi perdebatan. Namun tanpa kita sedari, dalam pembelajaran bahasa arab, kaedah soal jawab ini mampu untuk mengesan pengetahuan berbahasa pelajar dan penguasaan terhadap tatabahasa. Dengan kaedah ini, dapat mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar dengan berkesan. Secara tidak langsung akan menghasilkan kualiti bahasa yang berstandardkan antarabangsa. Demikianlah pendidikan bahasa arab. Ia mendidik kita supaya bersoal jawab dan berdialog dengan cara sebaik-baiknya. Ia juga menerangkan bentuk soal jawab yang ada, termasuk cara menyoal dan menjawab. Hal demikian turut diperkenalkan kepada kita bahawa soal jawab boleh menjadi satu kaedah dalam penyampaian pelajaran dan kaedah ini telah pun digunakan para nabi dalam pengajaran mereka kepada kaum masing-masing.

3. KAEDAH LATIH TUBI Kaedah latih tubi ini juga adalah bersesuaian dengan bentuk pembelajaran bahasa kerana kemahiran berbahasa perlu kepada proses mengulangi apa yang diperlajari, disebut atau ditulis. Di dalam Islam, kaedah ini antara bentuk pengajaran yang awal di mana Malaikat Jibril menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad dengan mengulangi kalimah Iqra beberapa kali sehinggalah Nabi Muhammad dapat menyebutnya. Kali pertama Nabi menjawab tidak tahu, hingga kali ketiga barulah Baginda dapat membacanya. Membaca berulang kali merupakan prinsip utama dalam latih tubi iaitu corak pengajaran bagi memberi kemahiran dan kecekapan dalam pengajaran yang melibatkan lisan seperti pengajaran nahu dalam Bahasa Arab. Demikian juga kemahiran pergerakan otot. Kaedah ini digunakan dengan meluasnya dari zaman berzaman. Contohnya, menyebut dan menulis kalimah-kalimah arab dengan sebutan yang betul atau lahjah arab dan penulisan yang tepat yang diajar dengan kaedah latih tubi. Dalam pengajaran Imam Abu Hanifah , beliau menggunakan kaedah ini dalam pengajiannya. Cara yang dilakukan dalam kaedah ini ialah guru menyediakan beberapa masalah atau persoalan untuk diselesaikan oleh pelajar. Pada kebiasaannya, tiga soalan akan diberikan dalam sehari dan ia perlu diselesaikan oleh pelajar, diingatkan serta dipelajari. Setelah pasti pelajarnya mendapat pengajaran atau kefahaman daripada masalah tersebut, barulah beliau beralih kepada beberapa persoalan atau masalah yang lain. Begitulah yang dilakukan oleh Imam Abu Hanifah dalam menyampaikan ilmu kepada sebahagian para pelajarnya. Membaca berulang kali merupakan prinsip utama dalam pengajaran berbentuk latih tubi ini. Ia amat baik terutamanya bagi tujuan meningkatkan kemahiran lisan dan kemahiran membaca . Kaedah pembelajaran al Quran secara tradisional lazimnya menggunakan kaedah ini

sejak zaman berzaman dan ia amat berkesan untuk jangka masa yang panjang di samping mengukuhkan penguasaan tajwid dan dalam konteks bahasa Arab ia penting dalam menjelaskan aspek nahu secara terperinci mengikut tahap pembelajaran. Kaedah latih tubi amat sesuai untuk pengajaran bahasa kedua seperti bahasa arab, dan ianya juga boleh diaplikasikan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, kemahiran membina ayat-ayat atau kemahiran mengingat fakta-fakta yang penting. Tujuan melakukan latih tubi adalah memudahkan pelajar untuk mengingat, menguasai fakta dan melengkapkan sesuatu maklumat apabila perlu dan dapat menjawabnya dengan cepat dan tepat. Terma latih tubi atau practice drills selalu dikaitkan dengan ingatan yang negatif iaitu seolah-olah memaksa pelajar membuat latihan yang banyak. Sebenarnya latihan berulang kali yang diberikan oleh guru kepada pelajar adalah sangat penting bagi sesetengah mata pelajaran dan aspek tertentu seperti mengajar matematik, ejaan, tatabahasa dan dari segi perkembangan yang berkaitan motor pelajar. Sekarang ini terdapat berbagai-bagai teknik dan kemudahan latih tubi melalui program komputer dan peralatan elektronik yang boleh didapati di makmal bahasa. Di sinilah pelajar-pelajar boleh mengikuti sesi tersebut secara interaktif. Latihan latih tubi merupakan kaedah instructional yang berkesan sekiranya guru dapat menggunakannya dengan betul dan sesuai dengan perancangan.

PENUTUP Jadi usaha untuk memantapkan kembali penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar adalah dengan mengembalikan mereka kepada kaedah sebagaimana yang diasaskan oleh ulama terdahulu, di antaranya adalah menggunakan al-Quran di dalam pengajaran nahu bahasa Arab itu sendiri. Sesungguhnya mukjizat al-quran yang maha suci itu memungkinkan pelajar mudah faham tentang kaedah-kaedah nahu yang nampak seakan-akan terlalu susah kini. Mudahmudahan usaha mengembalikan al-quran bersama kaedah pengajaran nahu akan memantapkan kembali penguasaan nahu dan bahasa Arab itu sendiri. Kesimpulan yang boleh dibuat setakat ini ialah sesuatu strategi pengajaran menggabungkan pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran untuk mencapai kesan pengajaran yang optimum sekali. Strategi yang baik akan menggunakan masa, tenaga serta kos yang paling sedikit tetapi menghasilkan kesan pengajaran pembelajaran yang paling maksimum. Ini sebahagian daripada kaedah pengajaran Bahasa Arab yang dapat dipetik dan dianggap sesuai dengan kehendak semasa. Ini bukanlah satu ilmu teori kepada para pendidik, tetapi maklumat tambahan bagi memantapkan dan memperkemaskan lagi kaedah yang sedia ada. Di samping itu, merupakan satu kesedaran bagi kita bahawa al-quran juga ada pendidikan dan matodologi. Orang Islam tidak kira apa profesionnya, harus merujuk kepada al-quran dalam semua aspek kehidupannya.

2560 patah perkataan

RUJUKAN
1. Komunikasi Mudah, Sehari Sebaris Ayat : www.BelajarBahasaArab.com 2. KAEDAH MENGAJAR BAHASA ARAB OLEH: KAMARUDIN BIN JAFFAR 3. Sejarah dan Kaedah Pendidikan Al-Quran oleh Mohd Yusuf Ahmad

4. Falsafah, Pedagogi dan Metodologi Pendidikan Islam oleh Ahmad Mohd Salleh. 5. Penggunaan Al-Quran dalam kaedah mengajar Bahasa Arab Oleh : Ibnu Rajab

You might also like