You are on page 1of 9

Definisi Morfologi

Morfologi Ialah bidang yang mengkaji struktur kata, binaan kata, bentuk kata dan golongan kata. Struktur kata ialah susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Unsur-unsur yang membina sesuatu kata dikenali sebagi morfem. Golongan kata ialah proses menjeniskan kata dengan berpandukan fungsinya sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.

Konsep-konsep dalam Morfologi


1. Morf
Abdullah Hassan (2005: 120) dalam bukunya yang bertajuk Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu menyatakan setiap bentuk fonologi yang berlainan sebagai morf. Beliau memberikan contoh morfem {meN-} yang mempunyai enam morf. Setiap morf itu diwakili dengan satu lambang, iaitu meN-. Jwuan Verhaan (2005) dalam bukunya, Pengantar Linguistik menyatakan morf sebagai salah satu bentuk alomorfemis dari suatu morfem, tetapi bentuk yang hendak dipilih dianggap mewakili secara konkrit morfem yang bersangkutan.

G. David Morley (2000) dalam Syntax In Functional Grammar pula menjelaskan morf sebagai the unit of grammatical form which realizes a morpheme.
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa morf itu ialah unsur yang mewakili morfem yang bersangkutan dan mempunyai bentuk fonologi yang berlainan. Morf ini diberi satu lambang bagi mewakili morfem yang bersangkutan itu. Misalnya meN- yang melambangkan me-, men-, mem-, meng-, menge- dan menye-.

Konsep-konsep dalam Morfologi


2. Alomorf
Dalam buku Tatabahasa Dewan Jilid 2: Perkataan, Nik Safiah Karim ada menyenaraikan enam alomorf bagi awalan peN-, iaitu pe-, pem-, pen-, peng-, penge- dan pel-. Menurut beliau, penyebaran alomorfalomorf tersebut ditentukan oleh faktor fonologi, iaitu jenis huruf pertama yang bercantum dengan awalan tersebut serta faktor perkembangan dan perancangan bahasa. Jos Daniel Parera (1994) dalam buku Morfologi Bahasa Edisi Kedua pula menyatakan bahawa setiap perwakilan daripada sebuah morfem tertentu disebut alomorf. Beliau juga berpendapat bahawa alomorf ialah nama untuk bentuk-bentuk perwakilan daripada sebuah morfem berdasarkan linkungannya. Beliau ada memberikan contoh me--kan, mem--kan dan men--kan sebagai alomorf daripada morfem yang sama.

Berdasarkan hujah tersebut, alomorf ialah bentuk yang berlainan daripada satu morfem yang sama akibat daripada pengaruh bunyi awal kata dasar yang menerima imbuhan awalan. Misalnya alomorf penye- digunakan sebelum huruf s pada awalan kata dasar seperti semak menjadi menyemak dan alomorf pem- pula hadir pada kata dasar yang bermula dengan huruf p, b, f dan v.

Konsep-konsep dalam Morfologi


3. Arkifonem
Dalam buku Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, Abdullah Hassan (2005) menyatakan arkifonem itu sebagai fonem yang melambangkan beberapa fonem seperti N dalam morfem {meN-}. N ini berubah menjadi m, n, ny, ng dan nge apabila morfem tersebut bercantum dengan kata dasar berdasarkan huruf pangkal pada kata dasar tersebut dan N mewakili fonem-fonem tersebut. Menurut Anton M. Moeliano (1996) dalam bukunya Bahasawan Cendekia: Seuntai Kata Untuk Anton M. Moeliana, arkifonem ialah unsur segmental dalam posisi lemah yang berbeza dan ciri pembedanya bersesuaian dengan pertalian daripada dua unsur.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa arkifonem ialah fonem yang ditandakan dengan huruf besar bagi mewakili unsur yang berubah-ubah dalam morfem yang sama akibat daripada pengaruh huruf pangkal pada kata dasar berdasarkan lingkungannya. Huruf besar digunakan bagi mewakili arkifonem. Misalnya kata jual dan baca yang menerima morfem {meN-} menjadi menjual dan membaca. N ini ialah arkifonem yang mewakili fonem-fonem tersebut.

Konsep-konsep dalam Morfologi


5. Morfem Bebas
Abdullah Hassan (2005: 120) dalam bukunya, Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu menjelaskan morfem bebas secara ringkas sebagai morfem yang boleh wujud bersendirian. Beliau ada memberikan contoh perkataan peluh yang boleh hadir secara bersendirian sebagai sebuah kata. Jwuan Verhaan (2005) dalam buku Pengantar Linguistik pula menegaskan morfem bebas dapat berdiri sendiri, iaitu boleh terdapat sebagai satu kata. Misalnya dalam bahasa Indonesia, kata cinta, makan dan satu adalah morfem bebas.

Secara ringkasnya, tidak terdapat perbezaan yang ketara tentang morfem bebas berdasarkan pendapat yang diutarakan oleh mereka yang berlainan negara ini. Dapat dirumuskan di sini bahawa morfem bebas ialah morfem yang boleh berdiri sendiri dan difahami maksudnya tanpa kehadiran morfem lain. Misalnya perkataan murid, jual dan baik yang dapat berdiri sendiri dan difahami maknanya tanpa perlu menerima morfem lain untuk membolehkannya berfungsi sebagai kata.

Konsep-konsep dalam Morfologi


6. Morfem Terikat
Abdullah Hassan (2005: 120) menegaskan morfem terikat mesti digunakan bersama sekurang-kurangnya satu morfem lain. Beliau memberikan contoh kata berpeluh daripada cantuman ber- dan peluh. Imbuhan awalan ber- ialah morfem terikat kerana ber- tidak boleh berdiri sendiri dan memerlukan suatu bentuk lain dalam penggunannya. Menurut Abdullah Hassan (2005) lagi, kata akar seperti kata anai juga merupakan morfem terikat. Kata anai ini tidak boleh wujud bersendirian jika tidak digandakan menjadi anai-anai. Jwuan Verhaan (1995) turut menghuraikan morfem terikat sebagai morfem yang tidak terdapat sebagai kata tetapi selalu dirangkaikan dengan satu atau lebih morfem yang lain menjadi satu kata. Misalnya dalam bahasa Indonesia, ber- dalam bersatu dan memper- dalam mempersatu hanya merupakan bahagian kata dan morfem-morfem itu ialah morfem terikat.

Secara ringkasnya, morfem terikat ialah morfem yang tidak boleh wujud bersendirian tanpa kehadiran morfem lain. Morfem terikat ini terdiri daripada imbuhan dan kata akar. Kata akar seperti tapa, tari dan rama memerlukan unsur dan morfem lain bagi melengkapkan maknanya, contohnya kata akar tapa perlu menerima imbuhan seperti ber- menjadi bertapa bagi menunjukkan perbuatan.

Konsep-konsep dalam Morfologi


7. Kata Akar
Berdasarkan pendapat Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1997) dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata akar ialah bentuk morfem terikat yang bukan imbuhan. Mereka turut menggolongkan kata akar ini sebagai segelintir daripada kata dasar seperti kata akar tapa yang menjadi dasar bagi perkataan pertapaan dan nyala dalam perkataan nyalaan. Pendapat kedua pula dikemukakan oleh Pitsamai Intrachat (1987) dalam bukunya, Sintaksis Predikat Dalam Bahasa Malaysia. Beliau menyatakan kata akar ialah morfem terikat yang tidak boleh berdiri sendiri, misalnya tari yang perlu digabungkan dengan morfem lain seperti pe- menjadi penari.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa kata akar ialah morfem terikat yang bukan daripada bentuk imbuhan. Kata akar tidak boleh berdiri sendiri kerana memerlukan morfem lain bagi melengkapkan maknanya, contohnya kata akar rama dan juang. Kata akar rama perlu digandakan menjadi rama-rama dan juang ditambah dengan perkataan semangat juang bagi melengkapkan maknanya.

Konsep-konsep dalam Morfologi


8. Kata Dasar
Menurut Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1997: 69) dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata dasar ialah bentuk morfem bebas yang dapat menerima imbuhan. Mereka menyatakan kata dasar ini turut terdiri daripada morfem terikat yang bukan imbuhan, iaitu kata akar. Contohnya perkataan bernyala dan pekebun. Kata dasar bagi bernyala ialah nyala yang merupakan kata akar, manakala kata dasar bagi pekebun ialah kebun yang merupakan morfem bebas.

Secara ringkasnya, kata dasar ialah kata yang terdiri daripada morfem bebas dan morfem terikat yang bukan imbuhan, iaitu kata akar. Kata dasar ini merupakan kata yang menjadi idea utama dalam setiap kata dan tidak boleh dipulangkan dalam bentuk yang lebih kecil lagi. Misalnya kata jalan ialah kata dasar bagi berjalan yang merupakan idea utama dalam kata tersebut dan tidak boleh dipisahkan menjadi ja dan lan kerana tidak lagi berfungsi sebagai kata.

Konsep-konsep dalam Morfologi


9.

Kata Tunggal
1 Konsep kata tunggal ada dijelaskan oleh Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1997) dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Mereka mentakrifkan kata tunggal sebagai bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk dasar, yakni yang tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar yang lain. Kata tunggal ini terbahagi kepada dua jenis. Pertama, kata tunggal yang merupakan unit bebas dan boleh berdiri sendiri sebagai satu ayat seperti kata itu, pergi dan saya. Kedua, kata tunggal yang merupakan jenis kata tugas seperti di, untuk dan yang. Menurut Drs. Zainuddin (1992) dalam buku Materi Pokok Bahasa dan Sastra Indonesia pula, kata tunggal ialah bentuk kata yang belum mendapatkan tambahan, belum diberi imbuhan atau belum mengalami perubahan bentuk. Beliau memberi contoh perkataan mandi, pergi, tulis dan baca yang tidak menerima sebarang perubahan atau tambahan unsur-unsur lain.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa kata tunggal ialah kata yang tidak menerima sebarang bentuk imbuhan dan perubahan bentuk. Kata tunggal ini berpotensi mengalami perubahan bentuk melalui proses pengimbuhan (pelajar dan makanan), penggandaan (baik-baik dan gunung-ganang) dan pemajmukan (warganegara dan atur cara). Kata tunggal boleh dibahagikan kepada empat golongan kata, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Kata tunggal boleh terdiri daripada satu suku kata seperti tin, sen serta lap dan dua suku kata atau lebih seperti doa, suara serta masyarakat.

You might also like