You are on page 1of 13

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS TANJONG MALIM, PERAK

KAK 3013 Mathematic For Young Children

TUGASAN INDIVIDU
Implikasi Teori-teori Kognitif Kepada Pendidikan Awal Kanak-kanak

NAMA NO. MATRIK KOD PROGRAM NAMA PROGRAM SEMESTER

: INA IRYANTI BINTI ZAINAL : D20091036640 : AT19 : PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK : SEMESTER 6 SESI II 2011/2012

NAMA PENSYARAH : DR. UZI BIN DOLLAH

ISI KANDUNGAN

BIL 1. Isi Kandungan 2. Pengenalan

PERKARA

M/S i 12 24 46 78 89 9 10 11

3. Implikasi Teori Kognitif Jean Piaget 4. Implikasi Teori Pembelajaran Kognitif Bruner 5. Implikasi Teori Pembelajaran Kognitif Gagne 6. Implikasi Teori Pembelajaran Kognitif Ausubel 7. Kesimpulan 8. Bibliografi

TAJUK : IMPLIKASI TEORI-TEORI KOGNITIF KEPADA PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

1.0

Pengenalan

Pendekatan kognitif menekankan pada proses mental dalaman. Maklumat yang diterima diproses melalui pemilihan, perbandingan dan penyatuan dengan maklumat lain yang sedia ada dalam ingatan. Penyatuan maklumat ini kemudian akan diubah dan disusun semula. Hasil pemikiran bergantung pada proses mental dalaman tersebut. Ahli-ahli psikologi kognitif menekankan bahawa kita bukanlah penerima rangsangan-rangsangan yang pasif. Sebaliknya otak kita akan memproses secara aktif maklumat yang diterima dan menukarkan maklumat kepada bentuk atau kategori baru. Seseorang individu itu seharusnya memaksimumkan penggunaan minda mereka supaya mereka dapat menjadi pemikir yang aktif. Sebagai manusia yang telah dikurniakan akal untuk berfikir, kita seharusnya dapat bertindak balas dengan sewajarnya apabila menerima sesuatu maklumat dan bersedia pula untuk berubah sikap jika kita dapati bahawa idea kita sebelum ini adalah salah atau negatif. Secara umumnya, teori pembelajaran kognitif merupakan satu teori yang sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak. Teori pembelajaran kognitif menekankan proses kognitif bagi menghasilkan perubahan tingkah laku kanak-kanak dalam

pembelajaran mereka. Selain itu, ia juga adalah satu cara pembelajaran yang menggunakan pengalaman sedia ada kanak-kanak untuk memikirkan cara penyelesaian masalah yang dihadapinya. Teori pembelajaran kognitif ini juga sangat menitikberatkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada di dalam diri kanak-kanak tersebut untuk melalui proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Perspektif kognitif berkaitan proses dan fungsi pemikiran manusia seperti daya ingatan, imaginasi, kreativiti, bahasa, penyelesaian masalah dan celik akal. sebenarnya tidak ada ahli psikologi yang memulakan atau mengasaskan perspiktif ini (Rush, 1984, dalam Mohd Salleh).
1

Selain itu, antara prinsip teori pembelajaran kognitif ialah pembelajaran meningkat dalam persekitaran sosial yang sesuai. Ini termasuk dengan bahan bantu mengajar dan bagaimana seorang guru menyampaikan ilmu kepada pelajar. Jika persekitaran social kanak-kanak tersebut baik, maka proses pembelajarannya akan bertambah baik. Selain itu juga, pembelajaran memerlukan latihan dan maklum balas. Ini bermakna pembelajaran dua hala amat penting bagi membantu kanak-kanak dalam memahami dan menguasai isi pembelajaran mereka. Antara teoriteori pembelajaran kognitif yang boleh diaplikasikan adalah seperti yang dikemukakan oleh Jean Piaget, Seymour Jerome Bruner, Robert Mills Gagne, dan David Ausubel.

2.0

Implikasi Terhadap Teori Kognitif Jean Piaget

Dalam bidang Psikologi, Piaget merupakan salah satu tokoh yang amat penting di abad ke dua puluh. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi setelah beliau bekerja dengan Binet bagi membentuk ujian keceredasan mental. Semasa bekerja dengan Binet, beliau tidak berminat untuk melihat hasil jawapan betul yang diberikan oleh kanak-kanak, tetapi lebih berminat untuk melihat pola-pola perlakuan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila mereka memberikan jawapan yang salah. Pada pandangan beliau, pola-pola perlakuan ini boleh memberikan petunjuk bagi pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak. Ekoran daripada itu, teori yang beliau kemukakan adalah memfokuskan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak. Piaget mendapati kemampuan mental manusia muncul di tahap tertentu dalam proses perkembangan yang dilalui. Menurut beliau lagi, perubahan daripada satu peringkat ke satu peringkat seterusnya hanya akan berlaku apabila kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sesuai dan terdedah kepada pengalaman yang relevan. Tanpa pengalaman-pengalaman tersebut, kanak-kanak dianggap tidak mampu mencapai tahap perkembangan kognitif yang tinggi. Oleh yang demikian, beliau telah membahagikan perkembangan kognitif kepada empat tahap yang mengikut turutan umur.
2

Piaget mengatakan tiap-tiap kanak-kanak mempunyai corak perkembangan mereka yang bersendirian. Dengan sebab itu, kanak-kanak yang di dalam sesuatu darjah itu bukan sahaja berlainan peringkat kebolehan mereka tetapi juga berlainan kecepatan perkembangan kognitif mereka. Piaget berpendapat bahawa perkembangan kognitif itu berlaku dengan berperingkatperingkat dan peringkat yang lebih awal adalah mustahak bagi perkembangan peringkatperingkat yang berikutnya kerana peringkat-peringkat yang lebih awal itu menjadi asas bagi perkembangkan yang berikutnya. Piaget menjelaskan tiga cara kanak-kanak mengetahui sesuatu. Pertama, melalui interaksi sosial iaitu belajar sesuatu perkara daripada orang lain. Bahasa, tingkah laku yang sesuai dengan budaya dan idea keagamaan adalah contoh-contoh pengetahuan yang diperolehi dengan cara sedemikian. Kedua, melalui pengetahuan fizikal iaitu pengetahuan fizikal tentang sesuatu benda. Pengetahuan ini diperolehi melalui penerokaan dunia fizikal dan belajar berkenaan bulatan dan segi empat sama,keras dan lembut, panas dan sejuk. Konsepkonsep ini tidak dapat dipelajari tanpa pengalaman dengan persekitaran. Ketiga, melalui logikmatematik yang meliputi konsep nombor, klasifikasi, masa, hubungan ruang dan keabadian. Implikasi-implikasi ini dapat dibahagikan kepada dua aspek, iaitu implikasi berdasarkan teori perkembangan fizikal kanak-kanak dan implikasi terhadap teori perkembangan kognitif anak-kanak. Bagi implikasi terhadap perkembangan fizikal kanak-kanak pada peringkat awal remaja sekitar umur dua hingga enam tahun, guru-guru dinasihatkan agar membantu kanakkanak setakat yang perlu. Bantuan yang berlebihan akan menyebabkan pergantungan kanakkanak kepada ibu bapa atau guru dan menimbulkan perasaan kurang yakin untuk melakukan sesuatu dengan sendiri. Disamping itu, kanak-kanak pada tahap ini akan berkembang pada tahap berbeza. Mereka juga aktif pada peringkat ini. Maka, sebagai guru, seharusnya menyediakan aktiviti bermain seperti permainan bola dan berlari serta mengambil kira perkembangan motor kasar dan motor halus seperti otot, khususnya otot-otot kecil yang belum sempurna. Implikasi terhadap perkembangan fizikal kanak-kanak dalam lingkungan tujuh hingga dua belas tahun pula berbeza iaitu dengan mengajar kanak-kanak bermain alat muzik seperti piano atau biola serta yang berkait dengannya. Kanak-kanak lelaki pula lebih cenderung ke arah permainan lasak seperti permainan di padang. Selain itu juga, aktiviti senaman dan pemakanan yang sesuai perlu diterapkan agar saiz, berat badan dan rakan sebaya agar tidak akan menimbulkan sebarang masalah sosial serta penyelesaiannya.

Implikasi perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat pra-operasi dalam lingkungan umur dua hingga tujuh tahun pula ialah dengan mengajar kanak-kanak menggunakan bahan bantu mengajar yang konkrit seperti menggunakan bahan maujud seperti batu dan guli untuk mengajar kemahiran menambah dan menolak. Disamping itu, arahan yang diberikan guru haruslah ringkas dan jelas dan disertai dengan conntoh. Sebagai contoh, arahan untuk beratur di luar kelas atau bagaimana untuk menjalankan sesuati aktiviti dengan menggunakan ayat yang mudah dan jelas. Manakala implikasi bagi perkembangan kognitif kanak-kanak bagi peringkat umur tujuh hingga sebelas tahun pula ialah kanak-kanak harus diajar dengan menggunakan bahan yang konkrit terutama untuk belajar kemahiran baru. Sebagai contoh, model-model tiga dimensi (3D) seperti haiwan dan tumbuhan boleh membantu kanak-kanak mengaitkannya dengan pengetahuan sedia ada mereka. Implikasi lain terhadap proses ini ialah kanak-kanak harus diberi peluang untuk memanipulasi dan menguji objek-objek yang diajar. Sebagai contoh, satu eksperimen telah dijalankan dalam subjek sains seperti mengkaji keperluan cahaya matahari untuk proses fotosintesis tumbuhan.

3.0

Implikasi Terhadap Teori Pembelajaran Kognitif Bruner

Beliau memainkan peranan yang penting dalam perancangan Projek Medison, suatu kurikulum matematik moden di Amerika Syarikat. Beliau banyak menghasilkan penulisan dalam bidang falsafah pendidikan, teori-teori pembelajaran, dan proses pengajaran. Salah satu hasil penulisannya yang terkenal adalah The Process of Education. Buku ini telah menjadi bahan rujukan yang penting dalam menggubal kurikulum matematik moden di kebanyakkan negara. Belajar merupakan kategori yang terjadi untuk memudahkan interaksi dengan realiti. Selain itu, belajar turut memudahkan tindakan. Hal ini berkait rapat dengan proses seperti pemilihan maklumat, fasilitator, proses membuat keputusan serta pembinaan dan pengujian hipotesis. Murid yang belajar berinteraksi secara realiti akan dapat menetapkan kemasukkan yang sesuai dengan kategori mereka sendiri. Hal ini kerana mereka akan menentukan kategori konsep yang berbeza. Belajar adalah sesuatu proses yang aktif dari penyatuan dan pembinaan. Selain daripada
4

itu, pengetahuan sedia ada murid juga merupakan faktor penting dalam pembelajaran. Ini memberi makna kepada kanak-kanak untuk menimba pengalaman dan membolehkannya untuk membentuk suatu medium. Bruner juga telah mengemukakan perkembangan mental manusia kepada tiga tahap iaitu pertama, peringkat enaktif dari umur baru lahir hingga dua tahun. Kedua, peringkat ikonik iaitu dari umur dua tahun hingga empat tahun dan yang ketiga pula adalah peringkat simbolik iaitu dari kanak-kanak berumur emapt tahun hingga tujuh tahun. Pada peringkat enaktif, kanak-kanak akan bergerak ke arah sesuatu yang menarik perhatiannya. Oleh itu, kanak-kanak banyak menggunakan anggotanya untuk menyelesaikan masalah kerana kanak-kanak pada masa ini masih belum pandai berbahasa atau berkomunikasi dengan baik menggunakan bahasa. Sesuatu objek itu dipegang untuk memperolehi makna atau tafsiran bagi dirinya. Contohnya kanak-kanak cuba meletakkan sebatang kayu supaya seimbang pada suatu sangga melalui aksinya. Pada Peringkat ikonik, kanak-kanak telah berupaya menggambarkan sesuatu dalam fikirannya. Dia mampu menyimpan imej-imej tertentu. Kanakkanak juga berupaya menyebut objek yang tiada di depan mata iaitu telah terbentuk imej mental. Contohnya, kanak-kanak tersebut boleh melukiskan kayu yang seimbang di atas sangganya walaupun objek tersebut tiada di depan mata. Manakala pada peringkat simbolik pula, kanak-kanak telah boleh menggunakan simbol seperti perkataan bahasa dan bahasa untuk menguraikan pengalamannya iaitu bermulanya penaakulan simbolik. Contohnya, kanak-kanak boleh menerangkan bagaimana kayu yang diletakkan di atas sangga menjadi seimbang. Semasa pengajaran, guru hendaklah mengadakan dan menentukan pengalaman yang paling bekesan untuk memupuk suasana yang positif ke arah memudahkan pembelajaran secara umum dan topik atau tajuk pelajaran yang lebih khusus. Oleh itu, guru-guru haruslah mewujudkan rasa ingin tahu di kalangan kanak-kanak dan perasaan suka belajar semasa masuk ke prasekolah atau tadika. Peranan guru selanjutnya dapat membangkitkan minat kanak-kanak. Pelajaran yang akan diajar perlulah dibahagikan mengikut susunan iaitu dari senang kepada susah, dari konkrit kepada abstrak supaya pembelajaran menjadi lebih mudah. Rancangan dan bahan pengajaran hendaklah disusun menurut urutan bagi memudahkan guru menyampaikan pengajaran. Selain itu, guru juga digalakkan untuk memberikan peneguhan sama ada ganjaran atau dendaan dalam mewujudkan pembelajaran yang bermakna.

Bruner (1960) menyatakan minda mrngorganisasi maklumat dalam bentuk hirarki, di mana idea yang umum di atas dan yang berfakta konkrit. Kebanyakan teori kognitif Bruner dibina di sekitar idea mengkategori (categorization) dan mengorganisasi maklumat atau ilmu (Borich dan Tombari, 1997). Beliau menyatakan begitulah cara minda memberi makna kepada maklumat yang banyak. Categorization ialah bagaimana minda meringkas maklumat dan memasukkannya ke dalam memori jangka pendek. Organization melibatkan menyusun maklumat dalam bentuk system koding. Mengikut teori Bruner, minda menyusun maklumat secara spontan seperti yang terdapat dalam memori jangka panjang. Dia percaya semua subjek tersusun dalam struktur yang serupa iaitu fakta disokong oleh konsep, manakala konsep pula disokong oleh generalisasi. Bruner juga menyatakan pengajaran yang baik melibatkan guru membantu pelajar meneroka cara mengorganisasi maklumat dalam system koding. Maklumat disusun oleh minda secara spontan dalam bentuk hirarki yang dinamakan system koding oleh Bruner. Pembelajaran penemuan mempunyai lima ciri iaitu set pengajaran, set motivasi, asas pengetahuan, pelbagai contoh dan kurikulum yang disusun secara hirarki. Bruner mencadangkan supaya subjek atau mata pelajaran diajar melalui cara kanak-kanak melihat dunia iaitu melalui peringkat enaktif, ikonik dan seterusnya simbolik. Bruner juga berpendapat guru perlu menggunakan kaedah penemuan iaitu memberi peluang pelajar belajar melalui pengalaman terutamanya untuk pelajar sekolah rendah. Guru hendaklah menyediakan peluang untuk pelajar meneroka, memegang, mencium dan merasa supaya apa yang dipelajari menjadi bermakna. Oleh itu kaedah pembelajaran melalui projek, uji kaji atau menemubual serta membuat pemerhatian adalah digalakkan. Bruner juga menekankan pembelajaran yang terhasil daripada interaksi kanak-kanak dengan guru. Interaksi kanak-kanak dengan rakan sebaya dan interaksi kanak-kanak dengan bahan. selain itu, Bruner juga mencadangkan agar guru memberi banyak contoh-contoh semasa pengajaran dan pembelajaran supaya kanak-kanak boleh membentuk konsep yang tepat, membuat kategori dan membuat perbandingan di antara konsepkonsep.

4.0

Implikasi Terhadap Teori Pembelajaran Kognitif Gagne

Melalui teori pembelajaran kognitif Gagne, beliau telah mengenal pasti lapan peringkat pembelajaran. Setiap pembelajaran hanya akan dicapai sekiranya pelajar telah menguasai pembelajaran di peringkat yang lebih awal. Dari pembelajaran isyarat, seseorang individu

mempelajari gerak balas terhadap sesuatu isyarat. Contohnya, apabila seseorang menguap, kita dapat isyarat dia mengantuk. Pembelajaran berlaku melalui pelaziman tingkah laku. Contohnya, apabila guru masuk ke bilik darjah, semua murid akan berdiri dan memberi ucapan, Selamat sejahtera, cikgu!. Dalam hal ini, murid-murid telah dilazimkan dengan tingkah laku tersebut. Manakala, proses peneguhan adalah penting untuk memperkuatkan pertalian antara rangsangan dengan gerak balas. Peneguhan mesti diberi secara konsisten dan tekal supaya gerak balas yang positif dapat dikekalkan. Contohnya, Ali menunjukkan kerja sekolah yang dia dapat 80%. Ibunya memberi pujian, Bagus, Ali pandai !.Ali akan mengulang tingkah laku itulagi (membuat kerja sekolah dengan baik) untuk mendapat pujian daripada ibunya. Selain itu, Gagne juga telah mengenalpasti pembelajaran rangkaian motor digunakan dalam pembelajaran kemahiran seperti permainan, muzik, elektronik, mekanikal dan lain-lain. Rangkaian merupakan satu siri tingkah laku yang berkaitan untuk melengkapi tugasan yang dijalankan. Selain itu juga, pembelajaran pertalian bahasa adalah untuk menyatakan sesuatu prinsip, pelajar memerlukan kemahiran bahasa untuk mengaitkan fakta, data dan konsep. Pertalian bahasa merupakan satu rangkaian berbahasa. Ia memerlukan kemahiran berbahasa yang telah dipelajarinya dahulu. Selain itu, pembelajaran diskriminasi pula dapat dikenalpasti melalui aktiviti belajar kerana ia dapat membezakan benda-benda yang dipelajari mengikut ciri-ciri tertentu, untuk memudahkan proses mengkategori dan menyimpannya dalam ingatan. Pada masa yang sama, pelajar dapat membezakan rangsangan atau maklumat penting berbanding maklumat tidak penting dan memberi gerak balas berlainan untuk rangsangan yang berlainan. Pembelajaran diskriminasi adalah sangat penting dalam proses pembelajaran.Pelajar dapat menapis maklumat penting daripada maklumat tidak penting dan ini memudahkan proses pengkodan maklumat untuk disimpan dalam ingatan jangka panjang.

Pembentukan konsep bermula dengan pertalian berbahasa dan diskriminasi, iaitu mengenali ciri-ciri sesuatu konsep secara tepat. Pelajar dapat membentuk konsep yang baik setelah membuat persepsi dan pengamatan terhadap objek, orang dan peristiwa. Pembelajaran hukum melibatkan gabungan dua atau lebih konsep yang berkaitan dalamsesuatu urutan atau rangkaian. Pembelajaran ini melibatkan penggunaan rumus, prinsipdan generalisasi. Antara lainnya pula ialah pembelajaran penyelesaian masalah yang melibatkan penggunaan prinsip, rumus, generalisasi, konsep dan hukum untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu situasi baru. Terdapat beberapa langkah dalam penyelesaian masalah, iaitu mengenal masalah, mencari maklumat,membuat hipotesis, membuat pilihan, membuat rumusan. Prinsip pembelajaran dan pengajaran Gagne boleh digunakan dalam pengajaran dengan memberikan perhatian kepada dua perkara iaitu yang pertama, teori pembelajaran Gagne menekankan sistem pembelajaran harus bermula daripadayang mudah (peringkat asas) kepada yang rumit. Sebelum guru mengajar sesuatukemahiran yang lebih tinggi, guru mesti memastikan pelajar telah menguasai kemahiranasas yang perlu untuk pelajaran baru. Kedua, untuk menjadikan pengajaran dan pembelajran supaya pembelajaran menjadi berkesan, Gagne mencadangkan agar guru merancang pengajaran yang meliputi langkah-langkah yang dicadangkannya, iaitu meliputi 8 fasa pengajaran yang berinteraksi dengan 8 fasa pembelajaran.

5.0

Implikasi Terhadap Teori Pembelajaran Kognitif David Ausubel

David Ausubel (1963, 1977) mengemukakan teori pembelajaran yang mengatakan manusia memperoleh ilmu kebanyakannya dalam bentuk pembelajaran resepsi dan bukan daripada pembelajaran penemuan atau dikenali sebagai Model Pembelajaran Ekspositori. Ausubel juga mengemukakan pembelajaran lisan bermakna (meaningful verbal learning), termasuklah pentingnya maklumat lisan, idea dan hubungan antara idea yang dikenali sebagai konsep penyusunan awal. Bagaimanapun, hafalan (rote memorization) tidak dianggap sebagai pembelajaran bermakna. Model pembelajaran ekspositori yang dikemukakan oleh Ausubel menekankan penerangan bahan pembelajaran oleh guru dalam bentuk fakta yang tersusun dan
8

dijelaskan menurut urutan serta fakta yang lengkap. Ausubel menegaskan pembelajaran sepatutnya berkembang dalam bentuk deduktif daripada am kepada spesifik atau daripada prinsip kepada contoh (Woolfolk, 1998). Penyusunan awal (advance organizer) telah diperkenalkan oleh Ausubel untuk menyesuaikan skema pelajar dengan bahan pembelajaran, supaya pembelajaran optimal berlaku. Salah satu strategi untuk memastikan wujudnya kesesuaian tersebut ialah memulakan pembelajaran berpandukan kepada penyusunan awal. Ia merupakan struktur yang menerangkan hubungan antara konsep-konsep yang hendak disampaikan pada hari tersebut. Fungsi penyusunan awal pula ialah untuk menjelaskan kepada guru dan pelajar tentang perkaraperkara yang perlu difahami bagi sesuatu tajuk pelajaran. Penyusunan awal juga boleh menghubungkan konsep baru dengan konsep yang telah dipelajari. Jadi, terdapat tiga tujuan penggunaan penyusunan awal, iaitu memberi gambaran tentang apa yang penting dalam pelajaran, menjelaskan hubungan antara konsep yang akan dihuraikan dan menggerakkan minda pelajar untuk mengingat semula konsep berkaitan yang telah dipelajari. Prinsip pembelajaran dan pengajaran Ausubel boleh digunakan dalam pengajaran dengan memberikan perhatian kepada dua perkara iaitu, Ausubel mencadangkan supaya guru menggunakan pembelajaran resepsi (penerimaan) atau model pengajaran ekspositori kerana

guru dapat menyampaikan maklumat yang lengkap dalam susunan yang teratur seperti dalam kaedah kuliah. selain itu, guru juga boleh menggunakan penyusunan awal dalam pengajaran untuk menggalakkan pelajar mengingat semula konsep yang telah dipelajari dan mengaitkannya dengan konsep baru yang akan dipelajari serta mengingatkan mereka tentang perkara-perkara penting dalam sesuatu tajuk pelajaran.

6.0

Kesimpulan

Proses kognitif menekankan kepada proses di sebalik tingkah laku yang ditunjukkan olek kanakkanak. Dengan perkataan lain proses ini lebih memberi fokus kepada proses mental dalaman. Maklumat yang diterima akan diproses melalui beberapa peringkat. Peringkat tersebut adalah
9

pemilihan, perbandingan dan penyatuan dengan maklumat lain yang sedia ada dalam ingatan. Setelah itu, penyatuan maklumat yang terjadi akan diubah dan disusun semula. Hasil pemikiran bergantung pada proses mental dalaman tersebut. Ahli-ahli psikologi kognitif menekankan bahawa kita bukanlah penerima rangsangan-rangsangan yang pasif. Sebaliknya otak kita akan memproses secara aktif maklumat yang diterima dan menukarkan maklumat kepada bentuk atau kategori baru .Secara ringkasnya, teori ini menerangkan pembelajaran sebagai proses yang melibatkan pemerolehan dan penyusunan semula struktur kognitif kepada bentuk yang bermakna dan mudah diingat oleh pelajar. Bermula dengan teori perkembangan kognitif Piaget (1926 dalam Good & Brophy, 1990) teori ini menerangkan bahawa skema (the internal knowledge structure) berkembang apabila kanak-kanak berinteraksi dengan persekitarannya dan skema itu sentiasa berkembang dan berubah kerana menyerap dan menyimpan maklumat baru. Gagne (1985) pula menerangkan terdapat tiga peringkat pemprosesan maklumat, iaitu daftar deria (sensory register) dalam ingatan aktif (working memory, WM), ingatan jangka pendek (short-term memory, STM) dan ingatan jangka panjang (long-term memory, LTM). Maklumat baru yang dipelajari akan didaftarkan dalam WM dan jika diperlukan buat sementara waktu, ia akan disimpan dalam STM. Selepas digunakan beberapa kali, maklumat ini menjadi kekal dan disimpan dalam LTM untuk tempoh masa yang lama. Apabila maklumat ini perlu diingat kembali, ia akan diaktifkan semula dan di bawa ke WM untuk digunakan. Menurut Gagne, maklumat dalam minda sentiasa diproses dan diadaptasikan apabila maklumat baru diterima dan proses ini dinamakan proses pembelajaran. Ausubel (1978) menyokong teori pembelajaran ini melalui kajiannya yang mendapati bahawa jika pembelajaran itu memberi kesan kepada pelajar, maka ia akan lebih mudah dipelajari, diingat dan dihubungkaitkan dengan skema sedia ada, serta lebih kekal dalam ingatan. Bidang kajian ini dinamakan Sains Kognitif. Sebagai kesimpulannya,bagi melahirkan seorang individu yang aktif pemikirannya, seseorang perlulah memaksimumkan penggunaan minda mereka. Kita perlulah menggunakan sebaik mungkin anugerah kurniaan tuhan yang tak ternilai ini. Kita seharusnya menggunakan nikmat ini untuk membezakan antara yang hak dan batil. Selain itu, kita juga seharusnya dapat bertindak balas dengan sewajarnya apabila menerima sesuatu maklumat dengan menjanakan pemikiran yang aktif.
10

Bibliografi

Boon Pong Ying, Noriati A. Rashid & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Kamaruzzaman Kamaruddin.(2003). Psikologi Perkembangan, Teori dan Konsep, Kuala Lumpur : Pustaka Salam.

Mohd Salleh Lebar.(1994). Asas Psikologi Perkembangan. Utusan Publication. : Kuala Lumpur

Mok Soon Sang (2009). Psikologi Pendiidkan dan Pedagogi : Murid Dan Alam Belajar. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Noriati Arashid, Boon Pong Ying (2009). Murid dan Alam Belajar (Siri Pendidikan Guru). Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Ramlah Jantan, Mahani Razali (2004). Psikologi Pendidikan : Pendekatan Kontemporari edisi Revisi. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tuan Jah Tuan Yusof (2007). Pembestarian Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Open Universiti Malaysia

11

You might also like