You are on page 1of 10

Sejarah Labu Sayong

Menurut cerita, dipercayai bahawa labu telah dibawa ke Sayong oleh Tuk Kaluk yang datang dari Minangkabau dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar. Tuk Kaluk merupakan salah seorang yang mempunyai hubungan yang intim dengan istana, dikatakan telah dianugerahi tanah oleh sultan di Kampung Kepala Bendang sebagai menghargai kepandaiannya membuat hasil pertukangan seperti pedang, parang, keris dan juga tembikar. Sejak itu Tuk Kaluk menyumbangkan kebolehannya membuat labu kepada penduduk kampung. Lama-kelamaan penduduk di kampung ini pandai membuat labu hingga ke hari ini Penggunaan tembikar dalam kehidupan seharian memang meluas. Labu Sayong bukan sahaja digunakan oleh golongan rakyat biasa malahan golongan istana turut juga menggunakanya, sebagaimana yang dicatat oleh Raja Chulan dalam Misa Melayu. Sewaktu Sultan Iskandar Zulkarnain menghilir sungai dari istana Pulau Cempaka Sari, baginda turut membawa tembikar tanah ini yang digunakan sebagai bekas air minuman dan untuk bersiram.

PERUSAHAAN KRAF TANGAN LABU SAYONG


Pengenalan Kuala Kangsar mendapat nama daripada perkataan 'Kuala Kurang Sa' yang membawa maksud kurang satu daripada seratus. Nama ini tercipta apabila sembilan puluh sembilan anak sungai yang mengalir ke Sungai Perak dan akhirnya menjadi 'Kuala Kangsar'. Kuala Kangsar diberi gelaran 'Bandar Diraja' sejak dahulu lagi apabila Sultan Yusof Sharifudin Muzaffar Shah yang dikenali sebagai Marhun Garullah (1877-1887) telah mendirikan istana baginda di Sayong. Namun apabila Raja Idris ditabalkan menjadi sultan pada 1887, baginda telah membina sebuah istana di atas bukit yang berhampiran dengan Batang Hari kerana Sayong ditenggelami air apabila banjir melanda. Raja Idris menamakan bukit tersebut dengan nama 'Bukit Chandan' sempena mengambil nama seekor gajah kepunyaan Sultan Yusuf yang bernama "Kulop Chandan". Faktor kewujudan istana sultan di kedua-dua tempat ini iaitu Sayong dan Bukit Chandan juga menyebabkan kraf pertukangan tangan Melayu tradisional wujud di sekitarnya. Kemahiran ini sebenarnya datang daripada pandai tukang-pandai tukang yang berkhidmat di istana.Sebagai contohnya Kampung Padang Changkat,Bukit Chandan, Kampung Kepala Bendang dan sekitarnya. Di Sayong masih terdapat lagi pandai tukang-pandai tukang yang mengusahakan Kraftangan Melayu tradisional seperti tembikar, tekat, pertukangan logam dan sebagainya. Kegunaan Labu Sayong

Masyarakat Melayu telah menggunakan labu sebagai bekas untuk menyimpan air dan juga barangan lain sejak dari dahulukala lagi. Air yang disimpan di dalam labu akan menyejuk secara semulajadi dan enak untuk diminum. Adalah dipercayai kandungan mineral yang unik di dalam tanah liat yang digunakan untuk membuat labu, menjadikan air yang disimpan di dalam labu mempunyai khasiat untuk melegakan kepanasan badan, melegakan batuk dan demam.

Sebelum menggunakan labu untuk menyimpan air, masukkan air ke dalam labu, biarkan semalaman dan buang air di dalamnya pada hari berikutnya. Ini diulang sebanyak 3 atau 4 kali sebelum airnya digunakan untuk diminum. Petua ini adalah bertujuan untuk membersihkan labu dan mengurangkan rasa payau air labu. Elakkan dari membasuh labu menggunakan sabun, kerana sabun akan meresap ke dalam labu dan air didalamnya menjadi kurang enak.

Selain dari labu tradisional yang digunakan umumnya untuk menyimpan air, labu juga telah berkembang menjadi barangan perhiasan, sebagai contoh labu sayong tradisional yang telah diubahsuai bentuknya menjadi labu eksklusif.

Teknik Pembuatan Labu Tradisional

Penyediaan bahan asas Tanah liat boleh dijumpai dengan mengorek tanah sehingga dalamnya kira-kira 3 kaki. Tanah liat kemudiannya akan dijemur selama 1 atau 2 hari. Tanah liat yang telah kering ditumbuk sehingga halus dengan lesung kaki. Kemudian ia akan diayak untuk mengasingkannya dari ketulan yang kasar. Tanah liat yang halus tersebut kemudiannya akan dicampurkan dengan air. Tanah liat akan diuli untuk mengeluarkan udara yang terkandung di dalamnya. Proses Pembentukan Tanah liat akan diletakkan di atas pinggan yang dipusingkan dengan tangan. Labu dibentuk dengan tangan mengikut bentuk yang dikehendaki dan dimampatkan dengan menggunakan penepek. Sudip pula digunakan untuk melicinkan labu. Setelah itu labu yang terbentuk akan dicantumkan dengan tapaknya, dibuat dari tanah liat yang dibentuk rata. Labu kemudiannya akan dilicinkan dengan batu luru dan dibiarkan kering secara semulajadi. Corak-corak dibentuk dengan menekan kayu yang bercorak ke atas permukaan labu.

Proses Pembakaran Labu akan disalai terlebih dahulu sebelum dibakar. Labu akan diletakkan diatas para secara terbalik dan api dinyalakan dibawah para. Kemudian labu akan diletakkan ke dalam unggun api untuk dibakar. Labu yang telah siap dibakar akan dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam sekam padi, menjadikannya berwarna hitam. Setelah itu bahagian tapak labu akan disapu dengan damar untuk menghalang resapan air.

http://www.abhamz.com/2011/02/sejarah-labu-sayong.html http://www.abhamz.com/2011/02/perusahaan-kraf-tangan-labu-sayong.html http://www.abhamz.com/2011/02/teknik-pembuatan-labu-tradisional.html

You might also like