You are on page 1of 4

ALAM SEKITAR TERPELIHARA MANUSIA SEJAHTERA

Setinggi-tinggi terima kasih kepada pengerusi majlis atas ruang dan masa yang diberikan kepada saya untuk berkongsi pandangan bersama sidang dewan berkenaan satu topik yang bunyinya agak biasa tapi kepentingannya amat luar biasa.

Yang saya muliakan Pn. Pengetua serta guru-guru Penolong Kanan, Panel Hakim yang sinonim dengan keadilan neracanya, guru-guru yang dedikasi serta warga dewan yang saya hormati sekalian. Sambutlah salam takzim, salam penuh ikhlas daripada saya.................... pembawa amanah dari kelas 5 Al-Biruni, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Warga dewan yang mulia, Saban tahun kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk mengadakan kempen kesedaran penjagaan alam sekitar, menjalankan pencegahan kemusnahan alam sekitar, penguatkuasaan dan pembaikan untuk memulihara alam sekitar. Di sekolah kita diajar untuk membuang sampah di tempat yang betul, diadakan kempen menanam pokok, diajar menghargai alam sekitar dan banyak lagi. Semua ini dilakukan tidak lain dan tidak bukan untuk menyedarkan kita betapa pentingnya alam sekitar yang terpelihara dan hubungkaitnya dengan kelangsungan hidup manusia seluruhnya.

Maka pada hari yang penuh bermakna ini saya ingin membawa sidang dewan sekalian ke alam bicara ilmiah saya yang bertajuk Alam Sekitar Terpelihara Manusia Sejahtera. Semoga di hujung bicara saya nanti kita semua akan mendapat manfaat daripadanya, Insya Allah.

Sidang dewan sekalian, Alam sekitar dalam konteks perbincangan saya ini merujuk kepada suatu ruang lingkup yang luas meliputi alam semula jadi seperti hutan, sungai, gunung, laut, paya dan seumpamanya. Termasuk di dalam takrif alam sekitar ini ialah

halaman rumah, kawasan kejiranan, longkang dan apa sahaja yang berada di sekitar kita. Manakala, maksud sejahtera pula merujuk kepada kehidupan yang harmoni dan seimbang yang memenuhi keperluan-keperluan asas manusia seperti udara yang bersih, tempat tinggal yang selesa, pekerjaan yang selamat dan sebagainya.

Sidang dewan yang saya muliakan,

Alam sekitar terpelihara mengurangkan risiko penyakit berbahaya.

Dewasa ini terdapat banyak jenis penyakit muncul disebabkan persekitaran yang kotor dan tidak terjaga. Longkang dan parit tersumbat menggalakkan pembiakan nyamuk. Seterusnya meningkatkan risiko demam denggi. Alam sekitar yang kotor dengan sampah sarap menggalakkan pembiakan lipas, lalat dan tikus yang seterusnya meningkatkan penyakit bawaan lalat dan tikus seperti taun dan hawar. Persekitaran yang kurang pokok pula meningkatkan penyebaran debu dan habuk juga meningkatkan suhu persekitaran. Hal ini menyebabkan kita terpaksa sentiasa menutup tingkap rumah untuk mengelakkan habuk, dan untuk mengatasi masalah kepanasan yang tinggi kita terpaksa pula menggunakan kipas angin atau penyaman udara secara berterusan. Maknanya untuk mendapatkan kehidupan yang selesa kita terpaksa berbelanja lebih, sedangkan kita boleh memperolehi kehidupan lebih sejahtera dengan belanja yang kurang hanya dengan mengubah sikap kita terhadap penjagaan alam sekitar.

Memang suatu yang menyedihkan apabila kita kehilangan orang tersayang disebabkan menjadi mangsa penyakit seperti taun, denggi, hawar dan sebagainya. Tetapi kesedihan sahaja tidak dapat menjamin yang kita atau orangorang yang kita sayangi akan lebih selamat. Apa yang penting ialah kita mengambil langkah positif untuk memelihara alam sekitar agar kehidupan kita, keluarga serta masyarakat seluruhnya akan lebih sejahtera,

Warga dewan yang saya sanjungi Alam sekitar terpelihara meningkatkan gaya hidup sihat

Pernahkah sidang dewan sekalian beriadah, bersukan atau berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan? Saya pasti setiap daripada kita pernah melakukannya. Dalam menjalankan aktiviti-aktiviti sihat seperti saya nyatakan sebentar tadi sudah tentu kita akan memilih tempat-tempat yang bersih, indah, selamat dan menenangkan. Dengan berekreasi di tempat-tempat tersebut kita akan dapat menyihatkan tubuh badan, menenangkan fikiran, mengurangkan tekanan, malah dapat merehatkan badan. Dengan adanya tempat-tempat beriadah yang terpelihara dengan baik kita boleh menjalankan aktiviti-aktiviti kekeluargaan yang tentunya dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Hal ini secara langsung adalah cerminan kepada sebuah kehidupan yang sejahtera Ingatlah, sekitar lewat tahun 90-an negara kita dikejutkan dengan peningkatan gejala lepak yang amat membimbangkan. Dapatan kajian yang dibuat oleh semua Univeristi di negara kita menyimpulkan bahawa antara punca utama berlakunya gejala lepak khususnya di gedung-gedung membeli-belah, adalah disebabkan kurangnya pusat-pusat rekreasi untuk para remaja mengadakan aktiviti yang bersifat positif. Kawasan perumahan yang sesak, bising dan kotor memberikan tekanan emosi yang bukan kepalang. Maka para remaja telah menjadikan gedung-gedung membeli belah tersebut sebagai tempat berkumpul kerana tempat tersebut bukan sahaja bersih tetapi juga sejuk.

Cuba kita perhatikan taman-taman permainan di kawasan taman perumahan di sekaliling kita, adakah kawasan tersebut terselia dan dijaga dengan baik? Beranikah kita membawa anak-anak atau adik-adik kita bermain di kawasan tersebut yang kebanyakannya semak dan usang? Tidak perlu bagi saya menjawab segala pertanyaan-pertanyaan tersebut kerana jawapannya terletak di dalam benak fikiran kita masing-masing.

Alam sekitar terpelihara membawa kemakmuran kepada negara Saban tahun jumlah pelancong yang melawat negeri Sabah semakin bertambah. Tahun 2011 sahaja direkodkan seramai tiga juta pelancong telah melawat Sabah. Kedatangan para pelancong tersebut sebahagian besarnya disebabkan ingin menikmati keindahan dan kekayaan flora dan fauna di hutan-hutan negeri Sabah, juga menikmati kecantikan batu karang, bersantai di pantai yang bersih, mengagumi keajaiban hutan bakau dan macam-macam lagi. Mereka lari dari pencemaran, kebisingan, kekalutan hidup di negara mereka. Kedatangan mereka memberikan pulangan lumayan kepada ekonomi masyarakat, negeri dan negara kita. Hal ini telah membantu kita meningkatkan pertumbuhan ekonomi seterusnya dapat pula meningkatkan kesejahteraan hidup kita. Bayangkan seandainya hutan, gunung-ganang, sungai, pantai dan laut kita yang merupakan aset amat berharga dipenuhi dengan pencemaran dan tidak terjaga, sudah tentu menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri kita. Oleh itu sidang dewan sekalian, Marilah kita bersama-sama menyumbang kepada penjagaan dan kelangsungan alam sekitar yang bersih, indah dan selamat. Semoga berkat kesungguhan dan istiqamah kita maka kita akan terus dapat nikmat kehidupan yang sejahtera. Sebagai salam meminta diri, saya sudahi perbincangan saya ini dengan dua rangkap pantun sebagai renungan dan kenangan kita bersama: Pohon ubi tegak berdiri, Begitu juga pohon keladi, Jika inginkan dunia berseri, Jagalah alam semula jadi. Anak kambing masuk belukar, Dicari orang merata-rata, Bersama menjaga alam sekitar, Supaya hidup sihat sejahtera. Akhir kalam, sekian, wabillahi warahmatullahi wabarakatuh. taufik walhidayah, wassalamualaikum

You might also like