You are on page 1of 8

Sinopsis novel Dari Lembah Ke Puncak Karya Ghazali Lateh Bab 1 Jalil bangun pagi dan terus mandi

di perigi . Ibunya Mak Teh menyediakan sarapan , iaitu pulut kukus dan ikan kering . Jalil bersarapan sebaik sahaja selesai mandi . Kemudian , Jalil turun ke sawah . Dia terpaksa bekerja keras untuk memastikan sawahnya bertanam dengan sempurna . Beberapa musim sebelum itu , kerja kerja sawah tersebut tergendala . Ketika arwah Pak Teh sedang sakit , sawah tersebut tidak dikerjakan dengan sempurna . Abang Jalil tidak ada di kampung . Jadi , tanggungjawab mengerjakan sawah itu terletak di bahu Jalil sepenuhnya . Arwah Pak Teh merupakan seorang yang sangat rajin . Beliau juga memiliki kemahiran kerja tangan yang tinggi . Beliau menghasilkan pelbagai alat untuk menangkap ikan menggunakan buluh . Beliau juga menjadikan kegemarannya sebagai sumber pendapatan sampingan dengan menjual ikan di kedai Mamak Hameed . Bagi Jalil , arwah bapanya sering memberikan kata kata semangat yang dapat dijadikan pegangan . Antaranya , arwah Pak Teh pernah berkata bahawa setiap masalah yang berlaku akan berlalu dan seseorang perlu melalui banyak cabaran sebelum mencapai kejayaan . Bab 2 Biah ialah anak gadis Pak Ngah Kadir , iaitu jiran Jalil . Biah sangat rajin menoreh . Setiap pagi Biah akan ke rumah Jalil untuk meminjam basikal besar peninggalan arwah Pak Teh . Suatu hari , Biah telah ditunangkan . Jalil tidak ambil kisah dengan pertunangan tersebut kerana baginya itu hanya satu perkara biasa . Tiba tiba , terdengar berita bahawa Biah telah melarikan diri dari rumah . Jalil berasa agak hairan dengan kejadian tersebut kerana Biah menghilangkan diri sebaik sahaja ditunangkan . Kemudian , terdengar khabar bahawa Biah telah ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Muhsin , iaitu Abang Jalil . Sekali lagi Jalil berasa pelik kerana setahunya Biah dengan abangnya tidak mempunyai hubungan yang akrab . Kejadian Biah hilang itu mencetuskan pelbagai peristiwa lain . Kudin tiba tiba sahaja tidak bertegur sapa dengan Jalil sedangkan hubungan mereka amat baik sebelum ini dan sering pergi menonton perlawanan bola sepak bersama sama . Mak Teh pula melenting apabila ditanya yentang penglibatan Muhsin dalam kejadian tersebut . Mak Teh tidak percaya dengan berita tersebut . Untuk mengesahkan perkara tersebut . Mak Teh telah pergi menilik dengan bomoh Tok Su Dolah . Hasilnya , bomoh itu memang menafikan berita tersebut setelah dibayar upah oleh Mak Teh . Jalil semakin bingung dengan kejadian tersebut . Dia mula membayangkan banyak lagi konflik yang akan terjadi akibat kejadian tersebut . Jalil mula membuat andaian sekiranya benar abangnya terlibat , maka abangnya memang tidak bertanggungjawab . Bab 3 Berita mengatakan Biah ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Muhsin memang benar . Bapa saudara Biah telah pergi ke Kuala Lumpur untuk membawa Biah balik , tetapi Biah enggan . Berita tersebut telah menyebabkan Mak Teh tersentak . Wangnya sudah banyak habis untuk membayar khidmatbomoh yang menafikan pembabitan Muhsin . Kini , kejadian itu memang benar benar berlaku . Jalil tidak menolak kemungkinan abangnya mempunyai hubungan dengan Biah . Dia semakin tertekan untuk berhadapan dengan orang orang kampung . Sejak kejadian itu , dia sering ponteng sekolah hingga dimarahi oleh gurunya . Malah , dia juga menjadi mangsa serangan tiga orang pemuda sebagai membalas dendam terhadap kejadian yang berlaku . Kejadian itu menyebabkan Jalil berasa sangat sedih . Dia menghabiskan masa dengan bermenung sama ada di permatang sawah ataupun di puncak Bukit Nibung . Mak Teh meminta bantuan Pak Long Ayob dalam menyelesaikan masalah untuk berunding dengan keluarga Pak Ngah Kadir . Malangnya , Pak Long Ayob hampir menjadi mangsa kemarahan Pak Ngah Kadir . Pak Long Ayob telah diserang ketika beliau dengan Mak Teh berkunjung ke rumah Pak Ngah Kadir untuk berunding . Malam itu , Jalil membawa Mak Teh mengikut Pak Long Ayob ke Guar Chempedak dengan menaiki basikal .

Bab 4 Kehidupan Jalil menjadi terumbang ambing selepas kejadian serangan Pak Ngah Kadir terhadap Pak Long Ayob dan Mak Teh . Mak Teh pula telah mengambil keputusan untuk berpindah dari kampung itu . Namun , hasrat itu telah ditentang keras oleh Jalil . Jalil mempersoalkan tindakan ibunya kerana mereka tidak ada tempat untuk dituju . Jalil bertambah tertekan apabila Mak Teh membuat keputusan untuk menjual tanah pusaka warisan Pak Teh itu . Jalil berkonflik dengan ibunya . Namun , ibunya tetap dengan keputusannya untuk berpindah . Mak Teh telah menumpang di rumah Pak Long Ayob di Guar Chempedak . Namun , Jalil mengambil keputusan untuk tetap berada di kampungnya . Dia memegang amanah Pak Teh supaya tetap mempertahankan tanah tersebut . Dia meneruskan persekolahannya walaupun tinggal bersendirian di rumah pusaka itu . Jalil amat terkejut apabila pulang dari sekolah suatu petang . Rumah pusaka tempat tinggalnya sudah tidak ada lagi . Yang ada hanyalah sampah sarap yang menandakan rumah tersebut sudah dirobohkan . Dia menangis mengenangkan nasibnya yang malang itu . Pada malam itu , dia tidur di pangkal pokok kelapa dalam kedinginan malam . Dalam hatinya , dia mula membayangkan bahawa dia juga terpaksa berpindah kerana keadaan semakin mendesak . Bab 5 Malam itu , hujan turun dengan lebatnya ketika dinihari . Jalil tidak ada tempat untuk berlindung . Dia teringat akan reban ayam yang kosong di bahagian belakang rumah dahulu . Dalam kegelapan , dia meraba raba dan mendapati reban itu masih ada . Di situlah dia berlindung walaupun keadaan reban itu tidak menjamin dirinya tidak dibasahi hujan . Besoknya , Jalil terus ke Guar Chempedak untuk menemui Mak Teh . Jalil mahu kepastian tentang pihak yang merobohkan rumah mereka . Mak Teh mengaku bahawa dialah yang telah menyuruh orang merobohkan rumah itu dan akan didirikan di Banggol Lalang . Jalil pula ingin tahu tentang tapak rumah di Banggol Lalang itu . Mak Teh mengatakan bahawa tapak rumah itu telah dibelinya . Jalil bertambah terkejut apabila mengetahui bahawa tanah pusaka arwah Pak Teh telah dijual oleh Mak Teh . Mendengar berita itu , Jalil berasa sangat sedih dan hilang punca . Dia mengambil basikalnya dan terus meninggalkan Mak Teh . Akan tetapi , dia sendiri tidak tahu arah tujuannya . Rumah dan tanah pusaka tidak ada lagi . Bab 6 Jalil mendirikan pondok kecil di kawasan bekas rumah yang dirobohkan . Dia menggunakan papan lama daripada dangau mereka di sawah dan juga jelapang padi lama yang tidak digunakan lagi . Bumbungnya pula diperbuat daripada daun rumbia yang tumbuh di pinggir sawah . Dia menjemur buku buku sekolah yang basah akibat hujan lebat malam sebelumnya . Ketika dia mengerjakan sawah pada suatu petang , dia ditegur oleh Haji Saad yang mengatakan tanah itu sudah dijual kepada saudara Pak Lang Ali . Jalil terus berjumpa dengan Pak Lang Ali untuk mengetahui perkara yang sebenar . Barulah Jalil tahu bahawa Pak Lang Ali yang memberitahu saudaranya untuk membeli tanah yang dijual murah itu . Jalil meminta Pak Lang Ali membawanya berjumpa dengan Pak Amat yang membeli tanah tersebut . Bagi Jalil , wasiat bapanya untuk mendapatkan hak milik tanah itu sangat besar baginya . Dia sangat menyanjung tinggi sifat bapanya yang rajin . Dia bertekad untuk melaksanakan wasiat tersebut . Jika dia gagal mempertahankan tanah itu , maka dia akan menyesalsepanjang hidupnya . Jalil mahu terus bertahan di situ . Dia memperkukuh binaan pondoknya sedikit demi sedikit . Dia tidak kisah usia remajanya akan terbuang begitu sahaja untuk mempertahankan wasiat arwah bapanya , Pak Teh . Bab 7 Jalil berbasikal ke rumah Pak Amat berdasarkan panduan yang diberikan oleh Pak Lang Ali . Jalil terus memperkenalkan dirinya dan bertanya tentang tanah pusaka arwah bapanya yang dibeli oleh Pak Amat . Setelah Pak Amat mengakui bahawa dia memang membeli tanah tersebut dengan harga sepuluh ribu ringgit , Jalil berasa Pak Amat mengambil kesempatan atas keadaan ibunya yang terdesak . Kedatangan Jalil tidak begitu disenangi oleh Pak Amat . Jalil pula mahu membuat perjanjian dengan Pak Amat . Dia meminta persetujuan Pak Amat untuk memulangkan tanah tersebut apabila dia mampu membayar balik harga tanah tersebut . Jalil juga memberikan tempoh selama lima hingga sepuluh tahun untuk membayar balik harga tanah melalui kaedah jual janji . Katanya , dia akan mula bekerja sebaik sahaja tamat persekolahan

untuk mengumpulkan wang buat menebus tanah pusaka itu kembali . Jalil juga meminta kebenaran Pak Amat agar dia dapat terus tinggal di tanah itu untuk sementara waktu . Dengan sinis , Pak Amat membenarkan Jalil tinggal , tetapi Jalil perlu beredar sekiranya Pak Amat mahu mengerjakan tanah tersebut . Jalil bersetuju dengan syarat tersebut . Jalil kembali ke rumah . Petang itu , dia menghabiskan masa merayau rayau di sekitar sawah . Dia berhasrat untuk mula menanam anak anak benih padi . Jalil terpaksa melakukannya sendiri kerana Mak Teh tidak ada lagi di kampung untuk membantunya . Jalil kini berasa terikat dengan dua perjanjian , iaitu perjanjian dengan Pak Amat dan perjanjian dengan arwah Pak Teh untuk mempertahankan tanah tersebut . Bab 8 Tanah itu maruah bagi Jalil . Pak Teh yang berasal dari Besut telah datang ke Kedah untuk mengambil upah membanting padi . Setelah selesai kerja membanting , Pak Teh membuka kawasan lembah di Bukit Nibung . Usaha Pak Teh itu kemudiannya diikuti oleh orang orang tempatan . Berbelas belas tahun kemudian , tanah paya itu menjadi sawah . Penduduk luar mula datang ke kampung itu . Pak Teh hampir berparang dengan Ah Tong yang menceroboh tanahnya . Mujurlah Ah Yau yang telah lama tinggal di situ menyabarkan Pak Teh . Ah Yau menyelesaikan masalah itu dengan Ah Tong . Pak Teh telah beberapa kali berurusan dengan Pejabat Tanah Pendang untuk mendapatkan geran tanah , tetapi permohonan itu tidak pernah diproses sehingga Pak Teh meninggal dunia . Sebelum meninggal dunia , Pak Teh telah berpesan kepada Jalil untuk menguruskan tanah pusaka itu sehingga mendapatkan geran . Pesanan bapanya itu menjadi amanat yang perlu dilaksanakan . Bab 9 Petang itu , ketika Jalil duduk seorang diri di pangkal pokok kelapa , Latifah , anak gadis bongsu Pak Lang Ali yang tinggal berhampiran dengan rumah Jalil telah mengunjungi jalil . Latifah memberitahu bahawa tanahnya telah dijual dengan harga lima ribu sahaja . Pak Lang Ali mengambil untung dalam keadaan Mak Teh yang terdesak . Jalil tidak dapat tidur lena malam itu . Esoknya , dia pergi ke sekolah seperti biasa . Pulang dari sekolah , sebelah petangnya , Jalil mendapati sebungkus makanan tersangkut pada tiang pangkin . Nasi itu dikirimkan oleh Latifah . Jalil terlalu sedih mengenangkan nasibnya . Bab 10 Selepas membuat ulang kaji pelajaran , petang itu Jalil turun ke sawah . Tidak lama lagi benih di semaian akan diubah . Dia teringat semula pesanan arwah bapanya untuk meneruskan usaha mendapatkan geran tanah . Sebahagian daripada tanah bapanya yang dijual kepada Pak Jid belum habis dibayar . Pak Jid akan membayar semua harga tanah apabila dapat geran . Pesanan tersebut menguatkan semangat Jalil untuk melaksanakan tanggungjawab itu . Malam itu , berlaku peristiwa yang melucukan hati Jalil . Kerbau kesayangannya yang ditambat pada tiang pondok telah menyeret tali pengikat . kejadian itu menyebabkan dinding dangaunya terkopak . Esoknya , Jalil membuatkan pondok untuk kerbaunya itu . Dia sedar , kerbau pun tidak mahu dipindahkan dari tempat kebiasaannya . Bab 11 Malam itu , Jalil menyedari surau yang lama ditinggalkan selepas Pak Teh meninggal dunia terang benderang dengan lampu gasolin . Jalil berasa hairan . Dia melihat Pak Lang Ali , Tok Mat Ketua , Ustaz Haji Megat , Pak Ngah Kadir , dan beberapa orang tua kampung berkumpul mengadakan perbincangan . Jalil yang menghampiri surau itu dapat mendengar perbincangan mereka . Mereka merancang untuk menghalau Jalil dari kampung . Jalil sedar , dia perlu berwaspada selepas ini . Bab 12 Jalil menempuh zaman remajanya tidak seperti remaja yang lain . Dia memikul tanggungjawab yang berat untuk memenuhi pesanan arwah bapanya . Dia teringat bahawa bapanya seorang yang kuat bekerja . Selepas menuai , Pak Teh menangkap burung di sawah . Musim kering , dia mencari ikan darat . Musim kemarau , dia menoreh getah . Begitulah

hidup Pak Teh . Jalil pula mempunyai ramai teman yang datang ke rumah untuk membuat wau atau gasing . Segala galanya tidak berlaku lagi sekarang ini . Jalil meneruskan tugasnya ke sawah . Ketika hendak memulakan kerja mengubah semaian , Jalil terpijak kaca . Dia tahu , kejadian itu dirancang oleh seseorang yang memusuhinya . Ketika merawat luka di kaki , Latifah mengunjungi Jalil . Latifah membantu Jalil untuk merawat lukanya.Dia sedar , dia perlu berhati hati selepas ini . Jalil dapat menanam padi selepas lukanya sembuh. Bab 13 Ketika dalam perjalanan ke pekan Bukit Jenun , Jalil bertemu dengan Biah . Biah meminta maaf kerana menyebabkan keluarganya porak peranda . Biah memberitahu Muhsin tidak bersalah . Dia juga memberitahu bahawa dia telah hamil ketika melarikan diri dari rumah . Ketika pulang melalui depan rumah Pak Ngah Kadir , Jalil terdengar pertengkaran di rumah Biah . Biah enggan berkahwin , tetapi Pak Ngah Kadir memaksa Biah berkahwin. Bab 14 Keluarga Pak Ngah Kadir masih mengancam Jalil . Jalil percaya , Kudinlah yang menabur kaca di tapak semaiannya . Suatu hari , Jalil telah ditahan oleh Rosman dan beberapa orang rakannya di jalan . Jalil tahu , Rosman berkawan rapat dengan Kudin . Rosman menuang minyak tanah yang baru dibeli oleh Jalil . Jalil bertindak balas apabila Rosman cuba mengganggunya . Rosman dan kawan kawannya lari ketakutan . Jalil terpaksa bergelap kerana pelitanya tiada minyak tanah . Latifah mengunjungi Jalil dalam gelap . Kemudian , Latifah mengambil minyak tanah di rumahnya dan diberikan kepada Jalil . Keluarga Pak Lang Ali mengetahui hubungan Latifah dengan Jalil . Pak Lang Ali melarang Latifah menemui Jalil . Bab 15 Persiapan kenduri kahwin Biah telah bermula . Jalil tidak dijemput ke majlis tersebut . Ketika mengenang dirinya yang dipulaukan oleh orang orang kampung , Latifah datang membawa nasi dan lauk kenduri . Menurut Latifah , Biah yang menyuruhnya menghantar makanan itu kepada Jalil . Jalil mendapati , ada surat di bawah pinggan makanan itu . Jalil membaca surat yang ditulis oleh Biah . Biah memberitahu bahawa dia menjadi mangsa sumbang mahram . Dia terpaksa berkahwin dengan sepupunya untuk menutup malu . Jalil masih tidak tahu siapa yang menganiayai Biah . Bab 16 Jalil kesunyian . Dia teringat akan rakan rakan rapatnya dahulu . Semuanya menjauhkan diri . Ketika mengelamun itu , dia dikunjungi oleh Mat Tohid . Mat Tohid meminta maaf kerana sudah lama tidak mengunjungi Jalil . Dia memberitahu penyakit sawan babinya semakin teruk . Emak Mat Tohid tidak membenarkannya keluar tanpa Jalil kerana Jalil sahaja yang boleh membantu mat Tohid jika penyakitnya tiba tiba datang . Mat Tohid mengajak Jalil memancing . Jalil menolak permintaan itu kerana banyak kerja . Mat Tohid meminta maaf lalu meninggalkan Jalil . Selepas maghrib , terdengar bunyi kentung di surau . Jalil mendapat tahu , Mat Tohid mati lemas di sungai . Jalil berasa pilu . Esoknya , dia menziarah jenazah Mat Tohid . Hajatnya untuk turut mengusung jenazah ke perkuburan terbantut kerana Kudin yang mengetuai pengusungan jenazah itu . Dia teringat kata kata terakhir Mat Tohid yang meminta maaf sebelum meninggalkannya . Bab 17 Jalil mengetahui sikap Mak Teh yang terburu buru banyak menimbulkan masalah kepada keluarga . Mak Teh selalu membela Muhsin . Mak Teh mendesak Pak Teh menjual tanah untuk membeli motosikal yang dipinta oleh Muhsin . Akhirnya , tanah mereka terlepas . Motosikal yang dibeli kena samun . Sebenarnya , mungkin kena tarik balik kerana tidak mampu bayar hutang . Baki jualan tanah tidak diterima selagi Pak Cik Jid tidak menerima geran tanah . Mak Teh juga terburu buru menemui bomoh untuk mengetahui keadaan sebenar Muhsin . Bomoh memberitahu Muhsin tidak terlibat . Peristiwa ini menyebabkan wang yang terkumpul untuk membayar yuran peperiksaan lesap ke tangan bomoh . Mak Teh juga tergesa gesa merobohkan rumah dan menjual tanah . Mak Teh juga tergesa gesa membina rumah di

Banggol Lalang dengan belanja dua ribu ringgit . Baki tiga ribu ringgit digunakan oleh Mak Teh untuk meminang anak gadis dari Yan buat Muhsin . Kemudian , Muhsin kena tangkap basah di Kuala Lumpur dan wang hantaran tiga ribu itu hangus . Jalil kesal dengan sikap Mak Teh . Namun , dia tetap hormat kepada emaknya itu . Segala yang berlaku itu menambah kekuatan Jalil untuk memegang amanat arwah bapanya . Bab 18 Latifah amat mengagumi Jalil yang kuat semangat . Dia tidak ambil endah usikan Hasnah dan Fauziah tentang perhubungannya dengan Jalil . Pagi itu , Latifah tertinggal bas untuk pergi ke sekolah . Hasnah dan Fauziah berpatah balik ke rumah . Latifah serba salah kerana hari itu ada ujian di sekolah . Latifah menahan Jalil untuk menumpang ke sekolah . Jalil yang serba salah akhirnya bersetuju dengan permintaan Latifah . Latifah membonceng basikal Jalil pergi ke sekolah pada pagi itu . Jalil terganggu oleh perasaan resah . Dia tidak lemah semangat untuk mengaku yang dia tewas dengan gangguan perasaan terhadap Latifah . Bab 19 Jalil tidak turun ke sawah . Dia memikirkan bayaran peperiksaan SPM . Tiba tiba , Latifah muncul . Dia menyampaikan wang daripada bapanya untuk membayar peperiksaan SPM . Jalil amat menghargai sumbangan Latifah itu . Bab 20 Jalil masih tidak dapat melupakan peristiwa yang dilalui , iaitu peristiwa ibunya merobohkan rumah dan menjual tanah . Peristiwa itu menyebabkan dia kini sebatang kara . Setelah tamat menduduki SPM , Jalil bertekad untuk pindah ke Kuala Lumpur . Dia memberitahu rancangannya kepada Latifah . Dia memajakkan padinya kepada Ah Bee . Dia akan menyerahkan Awang , kerbaunya kepada Pak Samad . Malam itu , dia tidak dapat melelapkan mata memikirkan masa depannya yang belum pasti . Banyak cabaran yang pasti akan dihadapi . Bab 21 Jalil ke Tanjung Setul untuk berbincang dengan Pak Samad tentang kerbaunya . Dia singgah di kubur Pak Teh . Dia memasang batu nisan di kubur bapanya . Dia amat sedih ketika hendak berpisah dengan Awang ( kerbaunya ) . Kemudian , Jalil ke Guar Chempedak untuk memberitahu Mak Teh tentang rancangannya . Mak Teh berpesan agar mencari Muhsin di Kuala Lumpur . Jalil kurang senang dengan permintaan Mak Teh . Jalil mengumpulkan kayu kayu dan membakar dangau tempat tinggalnya . Latifah disertai keluarganya menemui Jalil . Jalil memberitahu bahawa dia akan pergi dan tidak mahu melihat tempat tinggalnya itu . Dia berjanji akan pulang semula ke tempat itu suatu hari nanti . Jalil mengucapkan selamat tinggal kepada semua . Bab 22 Jalil tiba di Kuala Lumpur pada waktu pagi . Jalil tiada arah tujuan . Dia berkenalan dengan seorang pelukis potret di Pasar Budaya . Jalil menunjukkan bakat melukis . Dia melukis potret seorang pelanggan . Abang Joe , pemilik gerai lukisan itu berpuas hati dengan hasil lukisan Jalil . Dia bersetuju untuk berkongsi dengan Jalil . Dia mengajak Jalil tinggal bersama samanya . Jalil menceritakan perjalanan hidupnya kepada Abang Joe . Jalil mencadangkan kepada Abang Joe untuk meluaskan pasaran hasil lukisan mereka . Abang Joe berasa kurang yakin dengan cadangan Jalil itu dapat memenuhi permintaan pelanggan . Keputusan SPM telah diumumkan . Jalil mendapat tahu bahawa keputusannya amat cemerlang . Dia memberitahu Abang Joe untuk tidak menyambung pelajaran . Dia mahu bekerja keras bagi menebus tanah pusaka di kampung . Abang Joe menasihati Jalil untuk terus belajar sambil bekerja . Begitulah caranya orang yang berjaya di Kuala Lumpur . Mereka mempunyai dua tiga pekerjaan dalam satu masa , pagi bekerja di pejabat dan malam sebagai pemandu teksi . Jalil mempunyai idea untuk terus melukis tentang keindahan alam semula jadi dan penghuni di kampungnya .

Bab 23 Kertas kerja untuk memasarkan lukisan ke hotel hotel telah siap . Jalil dan Joe bergerak dari hotel ke hotel dan memeterai perjanjian dengan hotel yang bersetuju untuk melanggan lukisan mereka . Joe bimbang untuk memenuhi permintaan itu tanpa Jalil . Jalil membuat keputusan untuk belajar di samping terus bekerja dengan Joe . Jalil pulang ke kampung untuk menguruskan hal persekolahannya . Dia juga menemui ibunya di Banggol Lalang . Ibunya masih berharap agar Jalil mencari abangnya , Muhsin . Bab 24 Jalil telah cukup mengumpulkan wang untuk menebus tanah pusaka bapanya . Jalil memberitahu Joe untuk pulang ke kampung menguruskan tanah tersebut . Joe menemani Jalil pulang ke kampung . Jalil melihat tapak rumahnya yang telah ditinggalkan dua tahun lalu . Kemudian , Jalil dan Joe ke rumah Pak Lang Ali untuk dijadikan saksi menemui Pak Amat . Pak Lang Ali enggan bersama sama Jalil ke rumah Pak Amat . Pak Amat tidak bersetuju dengan harga asal kebun itu . Pak Amat bersetuju untuk melepaskan kebun yang telah memiliki geran itu dengan harga lima puluh ribu mengikut harga semasa . Jalil kecewa . Inilah kesan jual janji secara lisan . Jalil dan Joe pulang ke Kuala Lumpur malam itu juga . Joe hanya mendiamkan diri . Dia yakin Jalil dapat membuat keputusan yang terbaik . Bab 25 Jalil tidak mudah kecewa dengan peristiwa kegagalan untuk menebus tanah pusaka . Dia berbeza dengan adik beradiknya yang lain yang mudah kecewa . Dia memandang positif tentang keputusan Pak Amat . Memang wajar Pak Amat meletakkan harga tanah berlipat ganda sekarang . Tanah itu telah mempunyai geran . Lebuh raya telah dibina berhampiran dengan kampung mereka . Justeru , nilai harga tanah pasti melambung . Jalil keluar rumah untuk berjalan jalan di bandar bagi melepaskan tekanan . Dia melihat anak anak muda pelajar sekolah yang berambut panjang dan tidak menggambarkan seorang pelajar . Dia bertemu dengan seorang bekas tentera yang mencari rezeki dengan bermain muzik . Fenomena ini memberikan ilham kepada Jalil untuk membuat kertas kerja projek yang melibatkan Kementerian Pelajaran dengan Persatuan Bekas Perajurit . Melalui projek ini , Kementerian Pelajaran mengenakan bayaran tetap untuk menggunting rambut pelajar yang dikelolakan oleh Persatuan Bekas Perajurit . Persatuan Bekas Perajurit mendapat keuntungan dan wang itu digunakan untuk membela nasib pesara tentera . Syarikat Alam Hijau mendapat royalti sebanyak dua juta ringgit hasil idea bernas itu . Sementara , pengajian Jalil akan tamat dua tahun lagi . Bab 26 Dua tahun lagi Jalil akan menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia di peringkat Diploma Landskap dan Seni Taman . Sejak dari sekolah dia memang menunjukkan kecemerlangan dalam aliran sains . Melihat prestasinya yang cemerlang di universiti , Jalil ditawarkan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dan mendapat biasiswa . Projek membeli lukisan pelukis pelukis jalanan dan Projek Gunting Rambut Seluruh Negara memberikan pulangan royalti kepada Syarikat Alam Hijau . Setelah tamat pengajian , Jalil mendapatkan lesen kontrak dalam bidang seni taman dan landskap . Jalil berasa lega dengan kejayaannya . Kejayaan ini membolehkan Jalil membuka beberapa anak syarikat di bawah nama Nibung untuk meluaskan perniagaannya . Syarikat tersebut ialah Nibung Construction , Nibung Dekor , dan Syarikat Pengangkutan Nibung . Jalil juga mendapat anugerah CEO of the Year yang semakin melonjakkan namanya . Namun , tekad untuk mendapatkan hak milik tanah bapanya masih tersemat kukuh. Bab 27 Jalil menjalankan temu duga di Wisma Seri Nibung untuk memilih pengawai akaun Syarikat Alam Hijau . Jalil terkejut apabila salah seorang yang ditemu duga itu ialah Latifah . Jalil menganggap jawatan itu paling sesuai dengan Latifah kerana dia berhasrat untuk memajukan kampung kelahiran mereka .

Bab 28 Pertemuan dengan Latifah memberikan sinar baru kepada Jalil . Dia teringat akan zaman persekolahannya bersama sama Latifah . Jalil menceritakan segala galanya tentang Latifah kepada Joe . Sementara itu , Joe juga menceritakan kisah peribadinya . Dia anak yatim piatu . Perkahwinannya dengan seorang gadis pilihan mendapat tentangan daripada ibu bapa gadis itu . Dia berkahwin dalam tempoh seminggu kerana isterinya meninggal dunia akibat kanser . Peristiwa itu membuatkan Joe mengambil keputusan berhijrah ke bandar . Sehingga kini , Jalil masih tidak mengetahui status Latifah . Joe menasihati Jalil bahawa jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan. Bab 29 Jalil masih tidak dapat melupakan Latifah dan zaman kanak kanaknya . Latifah satu satunya orang kampung yang mahu berhubung dengannya . Ketika membawa Latifah bersiar siar di Pantai Morib , Jalil banyak bertanya tentang perkembangan kampung yang telah lama ditinggalkan . Latifah menceritakan kisah keluarga Pak Ngah Kadir yang porak peranda . Biah telah diceraikan oleh suaminya beberapa bulan selepas berkahwin . Pak Ngah Kadir dipenjarakan kerana melakukan sumbang mahram . Isterinya dimasukkan ke hospital mental kerana menghadapi tekanan . Biah menghilangkan diri dari kampung . Kudin mewarisi sikap bapanya . Jelaslah , Muhsin tidak bersalah . Jalil kesal kerana peristiwa itu menyebabkan keluarganya merana . Latifah juga menceritakan keluarga Ngah Berahim , bapa Mat Tohid yang berpindah ke Baloh . Kampung itu semakin sunyi kerana penghuninya berpindah ke tempat lain . Bab 30 Syarikat Alam Hijau semakin berkembang dan tersenarai dalam papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur . Syarikat itu melebarkan operasi ke luar negara . Jalil kini memiliki segala galanya . Namun , dia belum berpuas hati selagi belum mencapai hasratnya . Jalil menyediakan kertas cadangan projek mega yang dipersetujui oleh lembaga pengarah . Projek Pembinaan Taman Tema Lembah Nibung . Jalil dapat merasionalkan ahli mesyuarat walaupun projek itu rancangannya sendiri . Dia mendapat kerjasama daripada syarikat antarabangsa dari Norway . Jalil juga sudah memikirkan kesan pembangunan tersebut . Dia akan menyediakan peluang pekerjaan dan menyediakan petempatan baru untuk penduduk kampung . Bab 31 Surau kampung Bukit Nibung hari itu sungguh meriah . Joe mewakili Syarikat Alam Hijau menerangkan projek taman tema di kampung tersebut . Dia telah mendapat persetujuan daripada penduduk kampung , kecuali Kudin . Dia bertindak agresif . Mujurlah orang kampung tidak menyokong tindakan Kudin . Joe menerangkan projek yang dirancang serta kebajikan yang diterima oleh penduduk kampung . Joe memberitahu bahawa tuan punya syarikat yang menjalankan projek ini ialah anak kelahiran tempat tersebut . Projek ini mendapat sokongan majoriti penduduk kampung . Kudin tidak percaya kerana dia mengenali semua penduduk kampung . Beberapa minggu kemudian , satu perjanjian ditandatangani oleh Syarikat Alam Hijau dengan penduduk kampung . Setelah semuanya selesai , baharulah Jalil muncul . Dia menaiki kereta mewah dan berpakaian seluar koyak dan baju lusuh . Orang orang kampung terkejut apabila mengenali Jalil , anak Pak Teh . Kudin menarik balik persetujuan apabila mengetahui pemilik syarikat itu ialah Jalil . Jalil tidak menghalang kerana niatnya ikhlas untuk menebus tanah miliknya dan memajukan kampungnya . Bab 32 Segala perancangan siap diatur . Jalil memohon cuti daripada Joe untuk pulang ke kampung . Dia melihat kawasan kampung ; tapak rumahnya , rumah Pak Lang Ali serta rumah Pak Ngah Kadir . Di Pekan Bukit Jenun , dia bertemu dengan Ah Bee . Ah Bee . Ah Bee telah cacat tangannya kerana mendapat kemalangan dalam kebakaran . Ah Bee memiliki kedai yang lebih besar . Kemudian , Jalil ke Tanjung Setul , melawat kubur arwah Pak Teh . Dia memohon restu dengan arwah bapanya . Dia mengatakan telah Berjaya menunaikan amanat bapanya . Kemudian , Jalil bersembahyang Maghrib di masjid Kampung Bukit Nibung . Jalil terus ke Banggol Lalang menemui ibunya . Dia memberitahu ibunya untuk memohon restu membangunkan tanah pusaka yang menjadi miliknya semula.

Bab 33 Segala keperluan telah disiapkan untuk memajukan Bukit Nibung . Pampasan kepada penduduk kampung telah dibayar . Mereka akan ditempatkan di apartmen di pinggir kawasan Taman Tema Nibung Park yang bakal dibangunkan . Jalil telah merancang kedudukan pejabat operasi di tapak rumahnya dulu . Tanah sawah bapanya dijadikan kawasan rekreasi air . Kereta kabel dibina di antara Bukit Nibung dengan Bukit Jenun . Projek yang dirancang oleh Jalil itu benar benar dikagumi oleh Latifah . Projek itu telah mengubah dimensi kampung mereka. Bab 34 Persiapan untuk perasmian taman tema itu telah lengkap . Kampung itu telah berubah dengan terbinanya kereta kabel , skyrail , roller coaster , sebuah dome pantai buatan , kawasan rekreasi air , taman tumbuhan eksotik , dan berbagai bagai kemudahan lagi yang menarik pelancong luar . Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan , Kesenian dan Pelancongan . Jalil turut memberikan ucapan dengan mengucapkan kesyukuran serta sanjungan kepada penduduk kampung . Dia turut menceritakan cabaran dan pengalaman yang ditempuh sehingga berjaya merealisasikan amanah yang dipegang kukuh . Pada hari itu , penduduk kampung diberi peluang menikmati kemudahan di taman secara percuma. Bab 35 Taman Tema Nibung Park pun telah beroperasi . Jalil membawa ibunya tinggal di rumah baru yang dibina di tapak lama rumahnya . Jalil memindahkan pejabat operasi utama dari Kuala Lumpur ke Lembah Nibung , iaitu di Wisma Seri Nibung . Joe mengambil alih operasi di pejabat Kuala Lumpur . Jalil mengakhiri zaman bujang dan berkahwin dengan Latifah . Jalil melamar Latifah dengan mengimbas kembali zaman kanak kanak mereka di kampung . Kemudian , mereka berjalan jalan di sekitar taman dan menaiki kereta kabel . Bab 36 Keseluruhan projek taman tema itu telah disiapkan . Taman ini menjadi tarikan utama pelancong ke utara tanah air . Pelancong datang dari dalam dan luar negara . Sebuah resort dibina bagi menampung pelancong luar yang ingin menginap di sini . Di kawasan ini telah dibina safari yang dibuka dua puluh empat jam . Di tempat ini juga dibina sebuah masjid . Jalil membina banglo di atas tapak rumahnya dulu . Dia menguruskan perniagaannya dari rumah . Dia berasa puas melihat anak anak muda bermain di taman air . Dia tidak pernah merasai kegembiraan itu pada usia remaja dahulu .

You might also like