You are on page 1of 3

TEKS UCAPAN Y.A.B.

DATUK SERI PANGLIMA MUSA BIN HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERDANA SEKOLAH-SEKOLAH j-QAF, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA PERINGKAT NEGERI SABAH, PADA 14 NOVEMBER 2009 / 26 ZULKAEDAH 1430H (SABTU), DI DEWAN SAADAH, WISMA MUIS KOTA KINABALU

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana berkat rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana Sekolah-Sekolah j-QAF, Peringkat Negeri Sabah. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah atas undangan untuk saya hadir dan seterusnya merasmikan majlis yang penuh keberkatan ini.

Saya menyambut baik usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah menganjurkan program ini bagi bagi menyuburkan minat membaca al-Quran yang mendalam dalam kalangan anak-anak. Ia ternyata telah membuahkan hasil seperti yang kita lihat pada hari ini. Tanggungjawab yang besar ini tergalas di bahu para pendidik dan warga pendidikan amnya.

Saya percaya, penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan anak-anak menamatkan pengajian membaca al-Quran, tetapi apa yang paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya kepada kita. Penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat suci al-Quran juga akan memberi kita inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan. Ini kerana al-Quran banyak mengajak dan menyeru manusia untuk menimba dan memartabatkan ketinggian ilmu dalam kehidupan. Seperti ayat al-Quran yang pertama diturunkan kepada manusia yang bermaksud ;

BACALAH, DENGAN NAMA TUHANMU YANG TELAH MENJADIKAN KALAM. DIA TELAH MENCIPTAKAN MANUSIA DARI SEGUMPAL DARAH. BACALAH DAN TUHANMU LAH YANG MAHA PEMURAH, YANG MENGAJAR (MANUSIA) DENGAN PERANTARAAN KALAM. DIA MENGAJARKAN KEPADA MANUSIA APA YANG TIDAK DIKETAHUINYA. ( SURAH AL-ALAQ: AYAT 1 HINGGA 5)

Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan teras bagi membentuk bangsa yang cemerlang dan berjaya, yang didasari oleh jati diri dengan ketinggian akhlak dan budi. Insan yang berilmu seperti ini akan dapat menguasai dan menguruskan alam, memanfaatkan segala nikmat kurniaan-Nya untuk kesejahteraan ummah.

Seorang ahli psikologi umpamanya, apabila mempunyai pengetahuan dalam bidang agama dan sains lebih membantu kepakarannya untuk memahami tingkah laku masyarakat secara menyeluruh. Hal yang sama juga berlaku terhadap seorang ahli sains yang pakar dalam sesuatu bidang, tetapi mampu juga menguasai ilmu asas tentang agama dan kemanusiaan. Seterusnya saintis ini akan jauh lebih berjaya kerana kualiti ilmunya.

Integrasi ilmu-ilmu ini menyebabkan pandangan ilmuwan Islam amat luas dan berkait rapat antara satu sama lain. Kekuatan inilah yang menyebabkan mereka menjadi modal insan yang berkualiti dan menjadi tunggak kemajuan ilmu dan pembinaan tamadun yang unggul, pada masa lalu.

Modal insan cemerlang yang diperlukan oleh negara pada masa hadapan ialah mereka yang mempunyai pengetahuan yang tinggi, berpegang teguh kepada agama, berkemahiran, inovatif, memiliki jati diri, beretika serta mempunyai minda kelas pertama. Mereka ini bukan sahaja penting kepada pembangunan negara, malah memainkan peranan yang penting bagi menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Generasi penerus inilah yang akan memacu kemajuan dan kestabilan politik, ekonomi dan sosiobudaya negara pada masa hadapan. Suka saya ingatkan, apabila harapan kerajaan ini difokuskan kepada generasi penerus sudah tentu mereka antaranya ialah anak-anak yang berada di hadapan saya ini, yang akan menjadi pemimpin, pengurus, penggerak pembangunan dan seterusnya merealisasikan agenda dan wawasan negara dan ummah.

Hasrat ini selaras dengan tema Majlis Khatam Al-Quran Sekolah-Sekolah j-QAF Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2009 iaitu, Al-Quran Pemangkin Modal Insan Cemerlang. Semoga harapan ini digalas sebagai satu cabaran dan amanah yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak. Bagi anak-anak sekalian, jadikanlah perjuangan pembacaan dan pembelajaran al-Quran ini sebagai titik tolak untuk mempelopori, menghayati dan mendalami ilmu-ilmunya kerana masih banyak lagi ilmu yang perlu diterokai dan dikuasai dalam kitab suci ini.

Kepada para pendidik, semoga kejayaan dalam melahirkan murid-murid yang berjaya menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana ini, akan mencetus semangat dan kesungguhan untuk menghasilkan usaha yang lebih berjaya pada masa-masa akan datang. Semoga tuan-tuan dan puan-puan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan cekap. Akhirnya, saya mendoakan majlis ini akan dilimpahi keberkatan dan kerahmatan daripada Allah S.W.T.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Perdana Sekolah-sekolah j-QAF Kementerian Pelajaran Malaysia, Peringkat Negeri Sabah Tahun 2009.

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

You might also like