You are on page 1of 4

GRAFIK ANIMASI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN* (Oleh: Aminordin Che Lah) Secara umumnya, grafik animasi dipercayai

mempunyai kelebihan berbanding grafik statik dalam pembelajaran. Grafik animasi merupakan cara yang efektif untuk menarik perhatian. Selain itu, grafik animasi mampu membekalkan maklumat grafik yang konkrit berkenaan pergerakan dan perubahan objek mengikut masa, maka grafik animasi dapat mengurangkan tahap abstrak idea. Grafik animasi berpotensi menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan. Grafik animasi turut membekalkan maklumat tambahan berbanding grafik statik melalui dua atribut penting iaitu gerakan dan trajektori. Penggunaan grafik animasi untuk menyampaikan maklumat digambarkan sebagai pendekatan belajar melalui melihat kerana menggabungkan penyampaian grafik dan teks mampu mengukuhkan ingatan. Secara ringkasnya penggunaan grafik animasi dalam PBK mempunyai tujuan-tujuan berikut: a. Untuk mendapatkan perhatian: unsur gerakan akan menyediakan rangsangan khas untuk membantu dan mengarahkan perhatian pelajar. b. Menyampaikan maklumat: grafik animasi diperlukan untuk menggambarkan domain pengetahuan tertentu termasuk pergerakan dan tindakan. c. Menyampaikan maklumat secara praktis: grafik animasi digunakan menyampaikan maklum balas serta pengukuhan dalam aktiviti latihan. d. Bantuan ilustrasi: untuk menggambarkan struktur, fungsi, urutan atau perhubungan prosedur antara komponen di dalam domain spesifik. e. Memudahkan pembentukan model mental: untuk menggambarkan struktur dan fungsi suatu sistem yang tidak dapat dilihat dengan mata seperti aliran tenaga elektrik. f. Analogi visual atau pautan untuk memahami simbolik konsep atau proses abstrak: konsep dan simbol abstrak seperti halaju, akan menjadi konkrit dan dapat diperhatikan apabila dipersembahkan melalui grafik animasi yang dikawal oleh komputer. g. Kosmetik: untuk menjadikan perisian lebih menarik atau menambahkan nilai estetik. Oleh sebab grafik animasi mempunyai fungsi dan tujuan yang berbeza dalam pengajaran, maka ia memerlukan pembinaan reka bentuk pengajaran yang berbeza untuk mencapai objektif pelajaran yang diharapkan. Dalam kata lain, grafik animasi memberi manfaat kepada pelajar apabila ia kongruen dengan tugas pembelajaran dan tidak semua grafik animasi efektif dalam semua keadaan pembelajaran. Pernyataan ini bersesuaian dengan banyak dapatan kajian yang tidak konsisten tentang kelebihan grafik animasi berbanding grafik statik. Mendapatkan perhatian merupakan peristiwa pengajaran yang penting. Grafik animasi mampu memberi rangsangan untuk mendapatkan perhatian melalui kesan khas sama ada teks atau grafik. Walau bagaimanapun, persembahan grafik animasi tidak mencukupi hanya sekadar menarik perhatian pelajar dalam set induksi tetapi perlulah dilihat penggunaannya dengan lebih mendalam sebagai jentera pembelajaran. Tinjauan kajian persembahan grafik statik dan grafik animasi dalam PBK menghasilkan dapatan yang tidak konsisten. Ada kajian yang mendapati persembahan grafik animasi adalah lebih baik daripada segi pencapaian pelajar berbanding persembahan grafik statik. Terdapat juga kajian yang mendapati tidak terdapat perbezaan dalam pencapaian bagi persembahan grafik statik dan grafik animasi. Manakala Rieber & Kini melaporkan persembahan grafik animasi kadangkala memudahkan, mengganggu atau tidak mendatangkan kesan terhadap pembelajaran. Rieber telah menjalankan meta-analisis ke atas 12 kajian kesan grafik animasi dalam PBK mendapati hanya 4 kajian menunjukkan kelebihan grafik animasi secara signifikan berbanding grafik statik. Park & Hopkins telah menjalankan meta-analisis ke atas 25 kajian kesan penggunaan grafik animasi dan grafik statik mendapati 14 kajian menunjukkan kesan positif penggunaan grafik animasi secara signifikan dan 11 tidak menunjukkan perbezaan signifikan. Manakala meta-analisis oleh Szabo & Schlender ke atas 22 kajian mendapati 11 kajian menunjukkan kelebihan grafik animasi dalam PBK dan 11 yang lain tidak menunjukkan kelebihan grafik animasi seperti yang diharapkan. Meta-analisis 45 kajian oleh Anglin, Towers & Levie pula mendapati 21 kajian menunjukkan kelebihan grafik animasi secara signifikan berbanding grafik statik.

Namun begitu, terdapat kajian yang menunjukkan kesan positif grafik animasi dalam pembelajaran. Baek & Layne melaporkan bahawa pelajaran Matematik menggunakan PBK yang mengandungi grafik animasi mendapat skor min pasca ujian yang tinggi berbanding pelajaran yang menggunakan grafik statik atau teks sahaja. Manakala kumpulan grafik statik mendapat skor min pencapaian signifikan lebih tinggi daripada kumpulan teks sahaja. Baek & Layne juga mendapati remaja dalam kumpulan grafik animasi menggunakan masa yang lebih singkat untuk belajar. Kajian Park & Gittelman juga mendapati persembahan grafik animasi adalah lebih efektif berbanding persembahan grafik statik bagi mengajar kemahiran troubleshooting litar elektronik untuk pelajar-pelajar universiti. Menurut mereka, grafik animasi dapat membantu ilustrasi struktur yang kompleks, fungsi dan prosedur perkaitan antara objek dan gerakan. Kajian ChanLin juga mendapati grafik animasi lebih berkesan berbanding dengan grafik statik bagi pelajar gred 8 dan 9 bagi pembelajaran konsep Matematik dan Sains. Walau bagaimanapun, ChanLin menjelaskan kelebihan grafik animasi bukanlah muktamad tetapi memerlukan beberapa pertimbangan lain seperti ciri-ciri perbezaan individu dan tugas pembelajaran. Begitu juga kajian Lai ke atas pelajar dewasa mendapati kumpulan grafik animasi memperoleh pencapaian yang lebih tinggi secara signifikan berbanding kumpulan grafik statik dan teks bagi pembelajaran konsep-konsep abstrak. Walau bagaimanapun, kajian tersebut mendapati tiada perbezaan signifikan dalam sikap pelajar terhadap PBK. Terdapat juga kajian menunjukkan grafik animasi tidak mempunyai kelebihan berbanding dengan grafik statik. Kajian Reed gagal menunjukkan keberkesanan penggunaan grafik animasi dalam pembelajaran. Beliau menjelaskan subjek kajiannya mungkin gagal memahami dan menginterpretasi dengan tepat maklumat grafik yang dipaparkan. Maklumat grafik mengikut Reed hanya akan lebih efektif apabila digunakan untuk melengkapkan maklumat teks dan bukannya sebagai pengganti teks. Rieber, Boyce & Assad membandingkan kesan penggunaan grafik animasi, grafik statik dan tanpa grafik dalam pembelajaran sains untuk pelajar dewasa mendapati tiada perbezaan pencapaian secara signifikan antara kumpulan grafik animasi dan kumpulan grafik statik. Sebaliknya mereka mendapati pelajar dalam kumpulan grafik animasi mengambil masa lebih singkat untuk menghabiskan pasca ujian berbanding kumpulan grafik statik atau tiada grafik. Kajian Rieber & Hannafin dan Rieber mendapati grafik animasi tidak meningkatkan pencapaian secara signifikan berbanding grafik statik. Dapatan kajian tersebut nampaknya bercanggah dengan kajian mental imajeri yang mengatakan maklumat dikod ke dalam ingatan jangka panjang dalam dua cara iaitu sebagai imej mental dan perwakilan verbal. Oleh itu, dipercayai pelajar akan lebih mudah mengingat maklumat berbentuk pengetahuan di samping lebih cemerlang untuk menyelesaikan soalan aplikasi apabila pengajaran mengandungi grafik dan kiu huraian teks berbanding tiada kiu diberikan atau apabila kiu diberikan hanya dalam bentuk grafik atau maklumat berbentuk teks sahaja. Kajian Wilson mendapati tiada perbezaan pencapaian secara signifikan antara grafik statik dan grafik animasi bagi topik jantung. Dapatan kajian ini tidak konsisten dengan idea semasa dan kecenderungan menggunakan grafik animasi dalam pembelajaran. Oleh itu, Wilson telah memberikan tiga cadangan yang mungkin bagi dapatan tersebut iaitu a) pelajar tidak memberi perhatian yang mencukupi kepada grafik animasi menyebabkan mereka tidak memperoleh manfaat dari maklumat yang disediakan, b) persekitaran eksperimen itu sendiri telah memotivasi pelajar menyebabkan kumpulan grafik statik memperoleh pencapaian yang sama dengan kumpulan grafik animasi, dan c) persembahan grafik animasi yang dihasilkan tidak benar-benar mencukupi untuk menghasilkan tahap memproses maklumat yang diperlukan bagi memindahkan maklumat dari ingatan jangka pendek ke ingatan jangka panjang. Selain itu, Rieber telah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan dapatan kajiannya tidak konsisten dengan dapatan penyelidik lain. Antaranya, a) pelajar kurang memberi perhatian secara efektif kepada grafik dengan memberi masa yang kurang untuk melihat skrin grafik animasi berbanding grafik statik. Ini adalah kerana ketepatan interpretasi maklumat grafik animasi memerlukan masa yang mencukupi untuk memahami dan mengekod. b) bahan pengajaran mungkin terlalu sukar atau kompleks untuk pelajar terutama usia pelajar yang muda dan tidak biasa dengan bahan pengajaran tersebut. Oleh itu mereka tidak memberi perhatian yang terperinci melalui grafik yang ditunjukkan. Untuk mengesahkan kelemahan dalam kajiannya terdahulu, Rieber dan Rieber telah menjalankan kajian semula ke atas sampel lain dari gred 4 dan 5 menggunakan topik yang sama

setelah melakukan beberapa penyesuaian terhadap perisian pengajaran. Beliau percaya pelajar yang disediakan bahan pengajaran dalam bentuk grafik animasi berada dalam keadaan yang terbaik untuk menyimpan, mendapatkan kembali dan menggunakan maklumat pengajaran kerana mereka diberikan persembahan, ilustrasi dan contoh yang lebih tepat. Hasil kajiannya mendapati pelajar dalam kumpulan grafik animasi memperoleh skor min pencapaian lebih tinggi secara signifikan daripada pelajar dalam kumpulan grafik statik. Kajian Nowaczyk, Santos, & Patron juga mendapati tiada perbezaan pencapaian secara signifikan antara grafik animasi dan grafik statik bagi pelajar dewasa. Dapatan kajian tersebut mengikut mereka bermungkinan penggunaan grafik animasi yang tidak sesuai iaitu grafik animasi terhad. Dalam grafik animasi terhad, pelajar perlu klik tetikus setiap kali untuk melihat perubahanperubahan yang berlaku. Rieber turut menjalankan kajian kesan grafik animasi sebagai dekorasi atau perhiasan dalam pembelajaran. Dapatan kajian mendapati grafik animasi sebagai dekorasi tidak meningkatkan pencapaian. Oleh itu, beliau mencadangkan grafik animasi sebagai dekorasi boleh digunakan sekiranya tidak melencongkan perhatian pelajar kepada maklumat di skrin. Walau bagaimanapun, sekiranya keupayaan memproses maklumat dalam ingatan jangka pendek yang terhad maka grafik dekorasi tidak diperlukan. Dalam hal ini, grafik animasi sebagai dekorasi akan mengganggu perhatian pelajar. Walaupun banyak kajian mendapati grafik animasi mempunyai kelebihan berbanding grafik statik, tetapi dapatan kajian di atas menjelaskan bahawa kelebihan grafik animasi bukan bersifat mutlak. Grafik animasi yang dipersembahkan kadang kala boleh menyebabkan salah tafsir kepada pelajar. Tinjauan kajian di Malaysia berkenaan penggunaan bahan grafik animasi dalam pengajaran juga menghasilkan dapatan yang tidak konsisten. Sam melaporkan kesan positif ke atas pencapaian dalam pembelajaran Matematik menggunakan PBK yang mengandungi grafik animasi. Kumpulan pelajar yang mengikuti pengajaran mengandungi grafik animasi mendapat skor pascaujian yang tinggi berbanding pengajaran yang mengandungi grafik statik atau teks sahaja. Manakala kumpulan grafik statik mendapat skor min pencapaian signifikan lebih tinggi daripada kumpulan teks sahaja. Kajian Zol Bahri bagi topik Elektro-pneumatik ke atas pelajar yang mengikuti kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal mendapati pelajar yang menggunakan perisian PBK yang berasaskan grafik animasi memperoleh pencapaian yang lebih tinggi, peningkatan motivasi dan perubahan sikap yang positif. Bagitu juga kajian Ong bagi topik Prinsip Kerja Motor Elektrik Arus Terus menyokong kesan positif grafik animasi dalam PBK. Ini kerana grafik animasi berkesan untuk menyampaikan fenomena atau proses dinamik melalui pembentukan perwakilan yang lebih lengkap dan bermakna. Sebaliknya grafik statik, pelajar perlu mengambil lebih banyak sumber ingatan kerja untuk membina perwakilan mental bagi proses dinamik. Sebaliknya kajian Fong bagi topik Meiosis, Fong & Ng bagi topik Mitosis dan Kong bagi topik Elektrolisis mendapati persembahan grafik animasi tidak meningkatkan pencapaian secara signifikan berbanding grafik statik. Pelajar mungkin tidak dapat mengesan maklumat penting atau memberi perhatian kepada maklumat penting dalam persembahan grafik animasi; pelajar lebih memberi perhatian membaca teks berbanding melihat maklumat dalam grafik animasi. Walau bagaimanapun, mengikut Kong, grafik animasi memberi manfaat dari sudut perbezaan ciri pelajar. Keadaan ini disebabkan cara pelajar mengerti, melihat, mengekod, memikir, mengorganisasi, menyimpan, mengingat kembali dan menggunakan maklumat berbeza. Perbezaan tersebut ditunjukkan dalam perbezaan pencapaian pelajar. Berdasarkan kepada tinjauan beberapa kajian tentang penggunaan grafik animasi dalam PBK, Park mencadangkan lima persembahan grafik animasi yang berkesan. a. Grafik animasi berkesan untuk menggambarkan proses dinamik dan yang terlalu abstrak dalam bidang sains. b. Grafik animasi digunakan sebagai analogi visual atau pautan kognitif untuk pembelajaran penyelesaian masalah. c. Grafik animasi digunakan untuk simulasi perlakuan gerakan mekanikal atau sistem elektronik dan untuk demonstrasi prosedur troubleshooting. d. Grafik animasi untuk menggambarkan aliran maklumat yang tidak dapat dilihat dengan mata atau aliran tenaga dalam sistem elektrik.

Grafik animasi digunakan sebagai pengganti atau bantuan kepada komunikasi verbal seperti penggunaan grafik animasi untuk mengajar bahasa kepada kanak-kanak cacat pendengaran. Secara amnya, grafik animasi diakui mendatangkan kesan positif ke atas pembelajaran dalam situasi tertentu. Hal ini disebabkan maklumat yang disampaikan melalui grafik animasi lebih jelas, dapat diperhatikan terutama melibatkan gerakan dan difahami. Walau bagaimanapun, dalam pembelajaran proses yang abstrak dan berterusan, grafik animasi mungkin akan mengganggu kefahaman pelajar. Disebabkan beban maklumat yang banyak melalui persembahan grafik animasi, kemungkinan berlaku kekeliruan semasa proses perhatian berpilih terhadap aspek tertentu. Dalam hal ini, grafik animasi akan meringankan beban kognitif apabila grafik dipersembahkan secara berperingkat. Persembahan grafik secara berperingkat turut membawa kesan peneguhan kepada proses memahami serta mengingat dan seterusnya memudahkan pelajar membentuk makna (mengekod) dengan tepat. * Esei ini merupakan sebahagian daripada tesis MSc. (Education) penulis di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

e.

You might also like