You are on page 1of 13

CABARAN YANG DIHADAPI USAHAWAN DI ABAD KE-21 Menjadi seorang usahawan bukanlah satu perkara yang mudah.

Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya pelbagai dugaan dan rintangan yang perlu ditempuhi. Tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa ada usaha untuk mendapatkannya. Hanya individu yang tabah dan cekal mampu untuk bertahan di dalam dunia perniagaan yang penuh dengan cabaran ini. Tambahan pula di zaman perkembangan teknologi masa kini, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan haruslah seiring dengan pemodenan agar dapat bersaing dengan pasaran luar disamping memenuhi keperluan dan kehendak pengguna yang pelbagai. Berikut adalah antara cabaran yang perlu ditempuh oleh setiap usahawan. 1. MEMASUKI PASARAN ANTARABANGSA Menjalankan perniagaan diperingkat antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah. Terdapat pelbagai rintangan dan halangan yang perlu ditempuhi oleh usahawan. Rintangan dan halangan ini boleh dikategorikan kepada tiga keadaan iaitu halangan dalaman, perdagangan dan antarabangsa.

a) Halangan Dalaman Halangan dalaman adalah halangan yang wujud dalam diri usahawan itu sendiri atau dalam syarikat usahawan. Dalam (Armanurah, Habshah, Mohamad Yusop, Mohd Khairuddin, Norita dan Shuhymee, 2007), menurut (Zimmerer dan Scarborough, 2005), terdapat tiga halangan dalaman yang akan menjejaskan proses untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

i.

Sikap Sikap tidak yakin dengan keupayaan dan kebolehan syarikat untuk bersaing dengan pesaing terkenal di luar negara sering membantutkan hasrat usahawan untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatannya di pasaran luar. Apabila wujud sikap tidak yakin, ia akan menyebabkan usahawan

tidak berani mengambil risiko untuk mengembangkan perniagaannya walaupun peluang untuk memasuki pasaran antarabangsa sedia wujud.

ii.

Kekurangan maklumat Ramai usahawan memasuki pasaran antarabangsa tanpa maklumat yang mencukupi terutama maklumat berkaitan dengan polisi, prosedur, sistem percukaian dan lain-lain maklumat yang berguna. Akibat dari kekurangan maklumat ini, usahawan tidak memahami persekitaran perniagaan di negara yang dimasuki. Untuk mengatsi masalah ini, usahawan boleh mendapatkan maklumat dari pejabat kedutaan negara tersebut atau cuba mencari rakan niaga di negara yang ingin dimasuki.

iii.

Masalah kewangan Kesukaran untuk mendapat pinjaman dari institusi tempatan atau luar negara sering menghantui usahawan tempatan. Masalah ini timbul mungkin disebabkan rekod kewangan lepas yang buruk seperti terlalu banyak hutang, rekod pembayaran yang tidak baik atau prestasi semasa perniagaan yang kurang memberangsangkan.

b) Halangan Perdagangan Merujuk kepada pematuhan prosedur dan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan sesebuah negara yang ingin dimasuki. Akibat dari halangan yang dikenakan ini, kos ke atas produk dan perkhidmatan yang diimport atau dieksport menjadi semakin tinggi. Tujuan halangan perdagangan ini dilaksanakan adalah untuk menjaga kepentingan produk dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh usahawan tempatan negara terbabit. Tindakan kerajaan negara berkenaan adalah untuk menjaga kepentingan dan bagi membolehkan usahawan di negara berkenaan dapat terus

bersaing dengan pesaing dari luar negara. Terdapat dua jenis halangan yang boleh dilakukan oleh kerajaan sesebuah negara iaitu halangan berbentuk tarif dan bukan tarif. (Armanurah Mohamad, Habshah Bakar, Mohamad Yusop Mohd Jani, Mohd Khairuddin Hashim, Norita Deraman dan Shuhymee Ahmad. 2007). i. Tarif Tarif adalah cukai langsung atau duti yang dikenakan ke atas barangan yang diimport masuk ke negara terbabit. Tindakan mengenakan tarif akan menyebabkan harga barangan import akan menjadi lebih tinggi atau mahal yang mana secara tidak langsung akan mengurangkan minat pembeli untuk membeli barangan tersebut.

ii.

Bukan tarif Pendekatan bukan cukai atau duti tetapi mempunyai tujuan yang sama iaitu cuba untuk meningkatkan kos produk yang diimport atau mengurangkan jumlah barangan import dari dibawa masuk ke Negara berkenaan. Kesan dari tindakan ini akan menyebabkan harga semakin tinggi dan selalunya produk ini kan dikenali sebagai produk yang eksklusif. Antara pendekatan yang dikategorikan sebagai bukan tarif ialah:

Kuota Tindakan kerajaan sesebuah negara menghadkan jumlah kemasukan barangan yang diimport ke negara berkenaan. Tindakan ini bertujuan untuk melindungi industri yang sama di negara berkenaan daripada dimonopoli oleh barangan dari syarikat luar negara. Semua negara telah mengamalkan kaedah ini untuk menjaga kepentingan industri tertentu yang mungkin belum bersedia untuk bersaing dengan produk dari negara luar.

Embargo Tindakan memberhenti atau tidak membenarkan sebarang urusan perdagangan atau perniagaan dengan sesebuah negara asing lain. Merupakan suatu tindakan ekstrem yang diambil oleh sesebuah negara akibat dari ketidakpuasan dasar, polisi, peraturan dan prosedur sama ada disebabkan oleh politik atau ekonomi sesebuah negara tersebut.

Antilambakan Lambakan ialah tindakan membawa masuk sesuatu produk secara pukal atau dalam kuantiti yang terlalu banyak di dalam sesebuah negara. Disebabkan oleh lambakan tersebut, harga bagi semua produk berkaitan akan menjadi semakin rendah iaitu di bawah harga sebenar. Tindakan tersebut merupakan satu strategi yang bertujuan untuk meluaskan syer pasaran dengan cepat di sesebuah negara asing. Tindakan ini akan menjejaskan dan melumpuhkan sesuatu industri di negara berkenaan. Untuk menyekat aktiviti lambakan ini satu akta antilambakan telah diperkenalkan bertujuan untuk melindungi usahawan tempatan negara berkenaan.

Subsidi Pemberian bantuan kewangan kepada syarikat tempatan secara langsung atau tidak langsung. Subsidi diberikan oleh kerajaan bertujuan untuk membantu syarikat tempatan untuk membantu syarikat tempatan supaya dapat terus bersaing dengan syarikat luar atau produk luar. Bentuk subsidi yang boleh diberikan oleh kerajaan

adalah seperti pinjaman jangka panjang dengan kadar faedah yang rendah, pemberian taraf perintis, geran dan insentif atau pelepasan cukai kepada usahawan atau syarikat tempatan. Dengan pemberian subsidi ini, syarikat tempatan akan menjadi semakin kompetitif untuk terus bersaing dengan syarikat luar dalam era goblalisasi ini.

2. FAKTOR BUDAYA Menurut (Armanurah, Habshah, Mohamad Yusop, Mohd Khairuddin, Norita dan Shuhymee , 2007), budaya yang diamalkan oleh sesebuah negara berbeza dengan negara lain. Perbezaan ini kadang kala menyebabkan seseorang usahawan itu gagal untuk menembusi pasaran luar. Antara perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam aspek budaya ialah:

a) Bahasa Bahasa boleh dikategorikan kepada dua iaitu secara lisan dan bukan lisan. Komunikasi dengan bahasa lisan sangat penting kerana bahasa yang digunakan di Malaysia tidak sama dengan negara lain. Salah faham mungkin akan terjadi jika bahasa yang digunakan disalahtafsirkan. Seterusnya akan memberikan kesan negatif kepada perniagaan usahawan. Penggunaan bahasa lisan semasa mengadakan promosi atau mesyuarat akan menggambarkan kesungguhan usahawan untuk memahami budaya negara tersebut. Penggunaan bahasa bukan lisan seperti gerakan anggota badan seperti mata, tangan dan kepala mungkin dapat membantu usahawan jika penggunaan bahasa lisan gagal

untuk membantu penyampaian maklumat kepada rakan perniagaan di negara yang dimasuki.

b) Agama Agama merupakan suatu isu yang sangat sensetif kepada penganut sesuatu agama. Usahawan perlu memahami pegangan agama para pekerja dan pelanggannya. Pemberian cuti bagi para pekerja untuk menyambut hari perayaan agama mereka adalah amat perlu. Usahawan juga tidak boleh mengeluarkan dan menjual sesuatu produk yang mungkin akan menyentuh sensitiviti keagamaan pelanggan. Hal ini merupakan perkara yang perlu diberi perhatian.

c) Nilai dan adat resam Nilai adalah kepercayaan seseorang individu yang akan membentuk gelagatnya. Pelanggan di Malaysia mempercayai produk yang dihasilkan oleh syarikat Jepun sangat berkualiti berbanding negara lain. Ini secara tidak langsung akan menjejaskan peluang usahawan untuk menggalakkan pelanggan membeli produk yang dihasilkan oleh syarikat dari negara lain seperti dari Negara Taiwan atau China yang dianggap kurang berkualiti. Adat resam yang dipegang oleh sesebuah negara juga akan mempengaruhi perniagaan usahawan. Di Amerika Syarikat, penduduknya mengamalkan minuman jus oren dan roti apabila bersarapan, manakala di Malaysia, penduduknya lebih menggemari minuman kopi atau the tarik bersama nasi lemak atau roti canai. Di Jepun menggunakan bedak talcum bayi dianggap sebagai sesuatu yang tidak selesa atau kotor tetapi tidak di negara lain seperti Malaysia. Jadi, perbezaan nilai dan adat resam ini perlu difahami oleh usahawan bagi memudahkan usahawan mendekati dan menjual produk yang dapat diterima oleh pelanggan di sesebuah negara tertentu.

d) Pendidikan Tahap pendidikan bakal pelanggan akan mempengaruhi penjualan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Tahap pendidikan di Jepun dan Negara Laos sangat jauh jurangnya. Jadi, hanya sesetengah pelanggan sahaja yang mampunmembeli produk dan perkhidmatan yang berteknologi tinggi yang dikeluarkan oleh syarikat usahawan kerana mereka mungkin tidak tahu atau takut untuk menggunakannya. Penggunaan teknologi tinggi dan terkini pada sesetengah produk seperti pada mesin basuh atau alat permainan video menyebabkan pelanggan dari kawasan luar luar bandar tidak membeli produk tersebut sewaktu ia dilancarkan kerana bimbang tentang cara penggunaannya. Mereka mungkin akan mengambil masa yang agak lama untuk membeli dan menggunakannya. Ini kerana mereka perlu melihat orang lain menggunakannya terlebih dahulu sebelum membelinya. Keadaan ini akan menjejaskan perancangan atau ramalan jualan usahawan di negara tersebut.

3. PERTUKARAN MATA WANG ASING

Setiap negara mempunyai matawang mereka sendiri. Contohnya, Malaysia menggunakan matawang Ringgit Malaysia (RM), Jepun menggunakan matawang Yen, Arab Saudi menggunakan Riyal sebagai matawang mereka, Bath bagi Negara Thailand dan sebagainya. Usahawan perlu memahami nilai pertukaran matawang bagi Negara yang ingin dimasuki agar harga produk yang diletakkan tidak terlalu mahal yang mungkin akan mengurangkan permintaan atau tidak terlalu murah yang mungkin akan merugikan usahawan apabila ditukarkan ke matawang negara asalnya. Sesetengah negara seperti China tidak menerima matawang negara lain apabila berurusniaga di dalam negaranya.

Manakala sesetengah negara boleh menerima matawang negara lain semasa berurusniaga. Penggunaan matawang yang telah kukuh seperti US Dollars, Yen Jepun dan Euro sewaktu mengadakan urusniaga adalah satu langkah yang bijak kerana matawang ini dapat diterima oleh hamper semua negara serta mudah ditukar atau diniagakan. (Armanurah, Habshah, Mohamad Yusop, Mohd Khairuddin, Norita dan Shuhymee, 2007).

4. CABARAN DALAM PENUBUHAN KAWASAN PERDAGANGAN BEBAS ASEAN (AFTA)

(Armanurah, Habshah, Mohamad Yusop, Mohd Khairuddin, Norita dan Shuhymee, 2007), perlaksanaan AFTA pada tahun 2003 telah membawa satu perubahan yang drastik kepada sistem perdagangan di ASEAN. Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh semua usahawan ialah untuk memuaskan kehendak pelanggan, menghasilkan produk yang berkualiti, menarik kemasukan pelabur asing dan pelbagai lagi.

a) Memenuhi kehendak pelanggan Keperluan dan kehendak pengguna pada hari ini adalah pelbagai manakala sumber dan keupayaan usahawan atau pengeluar untuk memenuhinya sangat terhad. Pengguna mahukan produk atau perkhidmatan yang unik dan berkualiti dengan harga yang rendah dan mungkin sukar dipenuhi oleh usahawan tempatan. Ini kerana, usahawan tempatan sering menghadapi masalah kekurangan modal untuk membeli peralatan atau mesin yang terkini serta masih menggunakan kaedah manual dalam pengeluaran sesuatu produk. Jadi, dengan perlaksanaan AFTA ini, akan member ruang kepada produk dari Negara jiran untuk menjual di Malaysia yang mungkin memenuhi kehendak pengguna tersebut. Kemasukan produk dari negara anggota lain secara tidak langsung akan memberi kesan kepada industri tempatan, dimana permintaan terhadap produk usahawan tempatan mungkin akan berkurangan berbanding produk dari negara jiran.

Hari ini, pelanggan semakin berkuasa dalam menentukan pilihan mereka sendiri. Dengan pilihan yang pelbagai mereka bebas untuk membuat perbandingan antara produk buatan tempatan atau yang diimport dari negara jiran. Secara tidak langsung akan menyukarkan usahawan tempatan untuk mengekalkan pelanggan sedia ada seterusnya menguasai syer pasaran di dalam negara.

b) Menghasilkan produk yang berkualiti Dengan pilihan pengguna yang pelbagai dan unik untuk dipenuhi, maka usahawan perlu memikirkan cara untuk melakukan perubahan pada perniagaannya sama ada pada peringkat input, proses transformasi atau output. Tingkat kualiti sesuatu produk harus dipertingkatkan tanpa meningkatkan kos pengeluaran. Usahawan perlu kreatif melakukan inovasi pada produk tersebut. Usahawan juga perlu berusaha untuk mendapat pengiktirafan kualiti dengan memperolehi anugerah sijil International Organization for Standardization (ISO) dari Standards and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) untuk menambahkan lagi keyakinan pelanggan terhadap produk dan syarikat milik usahawan. Melakukan perubahan pada promosi jualan dan penumpuan kepada perkhidmatan selepas jualan juga merupakan satu langkah yang dapat menarik minat pengguna untuk membeli produk keluaran usahawan. Usahawan juga perlu menghebahkan seberapa banyak maklumat mengenai syarikat dan produk yang dikeluarkan kepada masyarakat secara umum agar dapat meningkatkan imej dan reputasi syarikat.

c) Menarik pelabur asing Perlaksanaan AFTA sebenarnya telah menarik minat pelabur asing untuk melabur di mana-mana Negara ASEAN. Ramai pelabur-pelabur asing terutamanya dari negara Jepun sering mengadakan usahasama atau pakatan strategik dengan usahawan tempatan. Ianya bertujuan untuk meluaskan syer pasaran mereka di kawasan negara ASEAN. Dengan menggunakan sekurang-kurangnya 40% bahan

mentah tempatan, maka produk tersebut boleh dipasarkan dengan harga yang rendah selepas mendapat faedah kurangan tarif antara 0-5%. Jadi usahawan di Malaysia haruslah merebut peluang ini dengan mengadakan usahasama dengan mana-mana syarikat multinasional yang telah kukuh dan Berjaya diperingkat dunia. Thailand contohnya, telah menjadi pusat pemasangan kereta keluaran syarikat Nissan, Toyota serta Honda yang berkemungkinan akan mencabar industri kereta Proton negara. Jadi, lebih ramai rakyat Malaysia yang berminat dan berkemampuan untuk membeli kereta yang dikeluarkan oleh Negara Thailand kerana harga yang rendah. Tindakan ini akan memberi kesan kepada industri kerata tempatan yang mungkin akan mengalami pengurangan dalam syer pasaran di Malaysia. Walaubagaimanapun, tindakan syarikat Proton berunding untuk mewujudkan rakan strategik dengan syarikat Volkswagen dari Jerman dan Mitsubishi Motors dari Jepun merupakan satu langkah yang bijak bagi memastikan syarikat Proton terus berdaya saing.

d) Mengekalkan buruh mahir Cabaran seterusnya adalah untuk mengekalkan buruh yang terlatih dan mahir di syarikat usahawan. Konsep globalisasi yang dicanangkan pada hari ini dan perlaksanaan AFTA telah memudahkan pekerja untuk bebas bergerak atau bekerja di mana-mana syarikat di mana-mana negara di sekitar ASEAN. Negara yang dinamik seperti Singapura dan Malaysia akan menarik minat tanaga buruh asing untuk bekerja di Negara tersebut. Manakala bagi negara yang kurang membangun, kurang peluang pekerjaan dan bayaran upah yang rendah akan mengalami penghijrahan tenaga buruh yang ketara. Tenaga-tenaga buruh yang mahir ini juga akan memilih syarikat yang kukuh dan dapat membayar upah setimpal dengan kelayakan atau kemahiran mereka untuk bekerja. Bagi syarikat usahawan yang kecil atau baru, sudah tentu sukar untuk mendapat dan mengekalkan tenaga buruh mahir ini. Kesannya, ia akan menjejaskan proses pengeluaran produk, seterusnya akan menjejaskan prestasi syarikat.

5. CABARAN DALAM BIDANG TEKNOUSAHAWAN

Di Malaysia bidang teknousahawaan masih lagi baru dan terdapat pelbagai cabaran dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai teknousahawan yang berkualiti dan berjaya. (Armanurah, Habshah, Mohamad Yusop, Mohd Khairuddin, Norita dan Shuhymee, 2007), membincangkan antara cabaran yang perlu dihadapi ialah:

a) Melahirkan teknousahawan di peringkat global Di Malaysia kerajaan masih lagi berusaha untuk menarik minat lebih ramai usahawan tempatan untuk menceburi bidang berteknologi tinggi. Tetapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan, kekurangan pengetahuan dan pengalaman adalah antara sebab kenapa ramai usahawan di Malaysia tidak berani menceburi bidang tersebut. Sikap usahawan itu sendiri yang tidak ingin melakukan perubahan terhadap proses pengeluaran produknya serta lebih senang dengan kaedah atau sistem lama adalah antara faktor yang membantutkan usaha kerajaan melahirkan lebih ramai teknousahawan di Malaysia.

b) Masalah kewangan Melibatkan diri dengan perniagaan berteknologi tinggi memerlukan modal permulaan yang sangat besar. Sesetengah bidang seperti bidang Information and communications technology (ICT) dan bioteknologi memerlukan kepada penggunaan mesin yang canggih, perkakasan komputer dan perisian terkini yang berharga tinggi. Di samping itu, usahawan juga perlu mempelajari penggunaan mesin dan perisian yang mungkin baru kepada usahawan. Usahawan juga perlu mendapatkan pekerja mahir dari luar negra kerana Malaysia masih lagi kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang berteknologi tinggi. Disebabkan syarikat usahawan masih baru, adalah sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan. Manakala dana dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan lebih tertumpu kepada dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kemudahan berbentuk pakej insentif yang bukan berbentuk kewangan. Walaubagaimanapun, tidak ramai usahawan tempatan yang memanfaatkan kemudahan dan dana yang disediakan oleh kerajaan kepada mereka. Diharap dana dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua usahawan terutamanya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). Dalam RMK-9 kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM12.9 billion dalam bidang ICT dan RM2.0 billion dalam bidang bioteknologi bagi membantu usahawan menceburi kedua-dua bidang tersebut.

c) Memanfaatkan semua masyarakat Penumpuan oleh kerajaan dalam bidang berteknologi tinggi diharap mampu memanfaat semua penduduk di Malaysia sama ada sebagai pengguna atau peniaga. Walaubagaimanapun, perbezaan lokasi antara kawasan bandar dengan luar bandar akan menjejaskan usaha kerajaan untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan bidang ICT. Selain itu, perbezaan taraf hidup antara golongan miskin dengan golongan berpendapatan tinggi serta tahap pendidikan

juga akan menjejaskan usaha bagi memastikan setiap isirumah memiliki kemudahan komputer dan internet. Jadi, kerajaan perlu meningkatkan taraf hidup serta memastikan kemudahan infrastruktur berkaitan ICT disediakan sepenuhnya di kawasan luar bandar agar pengguna dapat menikmati kemudahan ICT dengan baik.

Armanurah Mohamad, Habshah Bakar, Mohamad Yusop Mohd Jani, Mohd Khairuddin Hashim, Norita Deraman dan Shuhymee Ahmad. (2007). Keusahawanan. Shah Alam. McGraw Hill Education.

You might also like