You are on page 1of 4

Masa Depan Ekonomi Negara Menerusi Sektor Pertanian Posted: Januari 17, 2007 by Think tank in Artikel 73 Sektor

pertanian telah memainkan peranan yang besar pada awal tahun 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga tahun 1980an. Ekonomi negara selepas merdeka dimonopoli oleh aktiviti-aktiviti pertanian dan perlombongan sehinggakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika itu menunjukkan sumbangan sektor petanian dan perlombongan mencecah angka 46 peratus.

Inisiatif penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah pula telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mendokong matlamat membasmi kemiskinan yang termaktub di dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA (1965), Bank Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi yang lain telah membantu dari segi kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit, dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian pada ketika itu.

Tiga dasar telah digubal dalam usaha memastikan sektor pertanian dapat bertindak sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara di samping sektor perkhidmatan dan pembuatan. Dasar-dasar tersebut adalah merangkumi Dasar Pertanian Negara Pertama (1984-1991) yang memberi penekanan untuk membangunkan sektor pertanian yang berorientasikan ekspot; Dasar Pertanian Negara Kedua (1992-1997) yang memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan; dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) untuk meningkatkan dayasaing sektor pertanian berikutan liberalisasi perdagangan antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan keyakinan tinggi bahawa sektor pertanian dan asas tani ini mampu menjana bukan sahaja pendapatan petani-petani luar bandar malahan juga ekonomi negara. Kesungguhan beliau dalam memajukan sektor pertanian terbukti dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan belanjawan 2006 yang telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar kepada sektor ini.

Transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih dinamik dan berdaya saing dalam RMK-9 dan Belanjawan 2006 ini bertujuan untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi para petani dan negara selain bertujuan untuk mengurangkan pergantungan terhadap barangan import bahan makanan dalam jangka masa panjang yang mana pada masa ini imbangan import bahan makanan masih lagi melebihi kemampuan mengeksport.

Sebagai suatu langkah jangka panjang, kerajaan telah mempertanggungjawab dan memperluaskan fungsi Kementerian Pertanian dan Asas Tani bukan sahaja merangkumi bidang pertanian, malah turut merangkumi bidang industri asas tani. Tujuannya ialah supaya sektor pertanian dan industri asas tani dimajukan berdasarkan semua aspek pengurusan rantaian bekalan, iaitu dari peringkat pengeluaran benih, pengeluaran, pengendalian lepas tuai, penyimpanan, logistik, penggredan, pelabelan, pembungkusan, pengangkutan, peruncitan, pemborongan, pemasaran, penjenamaan, pemerosesan sehingga dijual kepada pengguna (from farm to table). Selain daripada pengeluaran pertanian, fokus masa hadapan akan diberi kepada industri asas tani yang boleh disertai oleh industri kecil dan sederhana, terutamanya dalam bidang-bidang tambah nilai yang baru.

Selain itu, bagi meningkatkan pengeluaran dan kecekapan pengeluaran, kerajaan telah merancang pembangunan kawasan-kawasan pengeluaran berteraskan Cluster seperti Zon Pengeluaran Buahbuahan, Target Area Concentration, Zon Industri Akuakultur dan beberapa pendekatan seperti Projek Pertanian Moden dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Kesemua ini pada akhirnya bertujuan untuk membangunkan komoditi dan produknya yang berteraskan Industrial Districts di mana pemasaran, pengeluaran, innovasi dapat dirancang dan diperlengkapkan dengan infrastruktur sokongannya.

Kerajaan, menerusi Kementerian Petanian dan Asas Tani juga memperkenalkan sebuah jenama yang akan dapat membezakan hasil-hasil pertanian negara dengan hasil-hasil pertanian negara lain dengan menitikberatkan kualiti dan keselamatan makanan iaitu Malaysia Best. Penjenamaan ini akan menekankan aspek pemantauan dan penelitian rapi menepati standard antarabangsa melibatkan semua aktiviti bermula daripada penjagaan ladang sehingga ke meja pengguna. Program penjenamaan ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga dalam jangka masa panjang kepada pengeluar dan negara. Pengeluar hasil-hasil pertanian akan menikmati permintaan yang tinggi di pasaran domestik dan antarabangsa memandangkan produk mereka telah memenuhi citarasa pengguna dan telah melepasi tahap kualiti pasaran.

Kerajaan melihat bahawa bagi memajukan sektor pertanian, pertanian komersial, iaitu melalui amalan kaedah terkini seperti aplikasi teknologi dan penemuan penyelidikan dan pembangunan (R&D),

termasuk penggunaan bioteknologi perlu diaplikasikan. Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan turut mengenal pasti beberapa bidang dan produk baru yang berpotensi untuk dimajukan bagi mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi. Salah satu sumber pertumbuhan baru yang dikenalpasti ialah pembangunan pusat makanan halal, ekuin dan haiwan eksotik, minimally processed food dan produk-produk bioteknologi seperti kultur sel, pharmaceutical, nutraceutical, produkproduk herba dan makanan ternakan atau bahan tambahan makanan ternakan.

Selain itu, pengeluaran dan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit atau biofuel minyak sawit turut dilihat mampu untuk menjadi sumber pertumbuhan baru ekonomi negara. Kaedah ini telah digunakan di beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) sebagai bahan api untuk pengangkutan dan industri. Di negara Jerman, biofuel digunakan bagi keretapi komersil dengan prestasi yang baik. Di samping itu, hasilan minyak sawit, seperti stearin, juga digunakan sebagai bahan api untuk loji janakuasa dan dandang.

Permintaan pasaran bagi biofuel minyak sawit ini adalah amat menggalakkan. Pada tahun 2004, permintaan bagi biofuel dunia ialah sebanyak 2.5 juta tan dan dijangka meningkat pada kadar 25 peratus setahun.

Bagaimanapun, di sebalik keyakinan kerajaan terhadap sektor pertanian, bank-bank di negara ini pula melihat dari sudut yang berbeza. Keyakinan lebih tertumpu kepada sektor perindustrian dan perumahan bagi diberikan kemudahan pinjaman kewangan. Keadaan ini sedikit sebanyak akan memberikan impak terutamanya bagi petani meningkatkan kualiti dan taraf mereka dari taraf petani tradisional kepada petani moden. Oleh kerana mentaliti pihak bank yang beranggapan bahawa sektor pertanian tidak menguntungkan, mereka telah mengenakan syarat-syarat yang ketat dan menekan yang dikenakan pihak bank kepada petani. Langkah yang diambil mereka ini bukan sahaja menyulitkan, malah Mampu melemahkan semangat para petani yang mempunyai perancangan menukar status mereka daripada petani tradisional kepada petani moden.

Baru-baru ini, Perdana Menteri telah memberikan teguran dan berharap agar pihak bank memberikan kepercayaan mereka terhadap sektor pertanian dengan memudahkan proses pinjaman yang melibatkan para petani sejajar dengan dasar dan penumpuan kerajaan terhadap enjin ketiga atau sektor pertanian ini.

Kata-kata Perdana Menteri bukanlah omongan kosong semata. Ini dapat dibuktikan dengan kejayaan Jasmin Jasin, Penerima Anugerah Peladang Jaya Lelaki Kebangsaan yang berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM2.1 juta setahun dengan hanya berbudi dengan tanah. Tidak dapat disangkal, bidang pertanian ini bukan suatu kerjaya yang glamor, namun ia menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka yang sanggup memerah keringat di bawah terik matahari dan menempuh pelbagai cabaran pada peringkat permulaan.

Kempen Buku Hijau yang dilancarkan pada bulan Mac lalu, dan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2006) yang diadakan baru-baru ini dan kata-kata Berdaya maju sendiri yang dilaungkan beliau terhadap pembabitan rakyat dalam menghasilkan sebahagian daripada keperluan makanan sendiri perlu diadaptasikan.

Secara logiknya, segala rungutan mengenai harga barangan bahan mentah seperti sayuran, daging dan sebagainya tidak akan lagi kedengaran sekiranya laungan ini diterjemahkan dalam kehidupan. Jika setiap warga mampu menghasilkan makanan sendiri, seolah sebahagian daripada masalah negara telah dapat diselesaikan. Bukan sahaja masalah ekonomi individu, masalah ekonomi negara turut dapat diselesaikan.

You might also like