You are on page 1of 5

KONTRAK SOSIAL DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA:

SATU PENILAIAN SEMULA DARI SUDUT SEJARAH

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang memperlihatkan perkembangan politik yang
diwarnai oleh politik komunal. Ia merupakan sebahagian daripada warisan penjajah yang telah
meninggalkan impak yang begitu besar dalam kehidupan masyarakat kita. Dasar kolonialisasi
oleh kuasa-kuasa Barat bukan sekadar membawa kepada kewujudan masyarakat pluralisme
malah mencorak dan mempengaruhi perkembangan sejarah kita. Ia dilihat sebagai satu bentuk
hubungan yang bersifat dominasi dan eksploitatif kerana kolonialisme bukan sekadar melibatkan
penguasaan ekonomi dan politik malah ia turut cenderung menguasai minda penduduk.

Malaysia mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 melalui amalan kompromi dan
permuafakatan pelbagai kaum. Proses permuafakatan itu bermula sebelum kemerdekaan lagi. Ia
begitu jelas selepas Perang Dunia Kedua, di mana semangat nasionalisma dan dasar
dekolonialisasi oleh kuasa Barat mendorong kepada kerjasama parti-parti politik berbilang
kaum. Perkembangan itu dilihat sebagai satu titik tolak kepada politik permuafakatan di negara
kita dan berjaya merencanakan satu perkembangan politik yang begitu menarik.

Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah mengambil kira


pebagai aspek. Perkara yang paling mustahak di sini ialah toleransi dan tolak ansur di antara
penduduk berbilang kaum telah berjaya membentuk satu pakatan murni dan menerima satu
kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Di mana pada dasarnya, kontrak
sosial terdiri daripada dua elemen iaitu pertama, penerimaan orang Melayu terhadap sebilangan
besar penduduk bukan Melayu sebagai rakyat ‘jus soli’ bagi negara yang baru merdeka. Kedua,
penerimaan penduduk bukan Melayu terhadap pengiktirafan hak istimewa serta kepentingan
kaum Melayu dalam negara.bagai aspek yang melibatkan kepentingan kaum yang berbeza.
Suruhanjaya Reid telah dipertanggungjawabkan dalam merangka sebuah perlembagaan baru
untuk Tanah Melayu menerima pelbagai pandangan, cadangan serta bantahan dari pelbagai
pihak. Ia telah memberi penekanan kepada beberapa aspek yang penting termasuklah soal
kewarganegaraan, kedaulatan sultan Melayu, kedudukan agama Islam, Bahasa Melayu sebagai
bahasa Kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu.

1
Isu kontrak sosial merupakan satu persoalan yang sering dibahaskan oleh ahli-ahli politik
mahupun golongan akademik. Persoalan yang sering timbul ialah sejauh manakah ia masih
relevan dan kepentingan perjanjian itu dalam usaha pembentukan sebuah negara bangsa di
Malaysia. Idea kontrak sosial bermula di Eropah pada abad ke-17 dan ke-18 dan di pelopori oleh
tokoh-tokoh seperti Jaque Rousseau, John Locke and Thomas Hobbes. Pada dasarnya, ia
merujuk kepada persetujuan bersama di kalangan rakyat sesebuah negara berkaitan dengan hak
dan tanggungjawab mereka. Di mana manusia dikatakan mempunyai nafsu yang tinggi terhadap
kekuasaan, kekayaan, kehormatan dan pengetahuan dan ia disifatkan sebagai tidak terbatas.
Lantaran itu, perlu wujudnya satu mekanisme bagi mengawal keinginan manusia tersebut dalam
usha mewujudkan keselamatan serta kestabilan dalam negara ( B. Harian, 5 Nov. 2008).

Menurut John Locke (1632-1704) dalam tulisannya An Eassy Concerning the True
Original, Extent and End of Civil Government dalam Sosial Contract ( Oxford University Press,
1960) , beliau menjelaskan bahawa wujudnya tiga pihak dalam proses kontrak sosial iaitu orang
yang mencipta kepercayaan (the trustor), orang yang diberi kepercayaan ( the trustee) dan
mereka yang memperoleh manfaat daripada pemberian kepercayaan itu ( the beneficiary).
Hubungan tersebut bakal mewujudkan satu situasi saling mempercayai antara satu sama lain dan
ia amat penting dalam mengekalkan keselamatan sesebuah negara. Ini kerana sekiranya
hubungan kepercayaan tersebut terhakis maka pemerintah akan kehilangan kuasa untuk
melaksanakan dasar yang ingin dilakukannya.

Istilah kontrak sosial mula mewarnai politik negara pada tahun 1986 dan ia digunakan
buat kali pertama oleh ahli parlimen UMNO, Abdullah Ahmad yang menegaskan bahawa
kemerdekaan negara serta kesinambungan politik Malaysia berdasarkan kepada system politik
yang didominasi orang Melayu. Oleh itu kedudukan orang Melayu dalam politik Malaysia perlu
dipelihara dan sebarang usaha untuk menghapuskannya mahupun mempertikaikannya bakal
mengugat kestabilan negara ( The Star, 31.August.1986 ). Sejak diperkenalkan, kontrak sosial
dikaitkan dengan konsep dominasi Melayu atau ketuanan Melayu. Di mana ia dilihat sebagai
penerus kepada kesinambungan kuasa politik orang Melayu dan turut memberi jaminan terhadap
kedudukan serta keistimewaan orang Melayu di Malaysia. Malahan kontrak sosial dilihat

2
semakin ‘rigid’ dibawah dominasi UMNO yang sering menjadikan isu tersebut sebagai modal
untuk kepentingan politik masing-masing. Ia jelas apabila isu kontrak sosial mahupun ketuanan
Melayu sering menjadi tumpuan dalam setiap Perhimpunan Agung UMNO di mana para
perwakilan mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri dengan memanipulasikan isu kontrak
sosial mahupun hak-hak orang Melayu. Dalam Perhimpunan UMNO tahun 2006, perwakilan
Melaka Hasnoor Sidang Hussein dengan lantang menegaskan bahawa UMNO sanggup
berkorban dan bermandi darah untuk pertahankan bangsa dan agama mereka. Manakala
perwakilan dari Terengganu pula member amaran bahawa hak orang Malayu tidak harus
dipertikaikan dan jika ia berlaku orang Melayu bakal mengamuk dan peristiwa 13 Mei 1969
bakal berulang ( Malaysiakini, 22.November 2006).

Perkembangan dalam kontrak sosial itu selaras dengan tanggapan Rousseau (1712-1778)
yang berpendapat bahawa manusia pada dasarnya adalah sama tetapi faktor moral mencipta
ketidaksamaan maka timbullah hak-hak istimewa yang dimiliki oleh golongan tertentu dan ia
bakal dipergunakan untuk menindas yang lain ( B. Harian, 5 Nov. 2008 ). Oleh yang demikian,
konsep ketuanan Melayu yang dianggap sebagai pelindung orang Melayu dan dikaitkan dengan
hak raja-raja Melayu sebagai pemerintah negara sering menimbulkan perasaan kurang senang
kaum lain ( B. Harian, 9 Mei. 2008). Di mana ia seolah-olah meletakkan kaum lain di satu kelas
yang lebih rendah daripada orang Melayu. Ia jelas bercanggah dengan perlembagaan negara
yang menekankan persamaan hak bagi semua warganegara tanpa diskriminasi terhadap mana-
mana bangsa mahupun agama. Malahan konsep ketuanan Melayu dilihat sebagai satu elemen
yang berunsur negatif yang melemahkan orang Melayu dan ia bersifat perkauman. Di mana
menurut Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ia mencerminkan orang
Melayu hanya mahu menjadi ‘tuan’ tanpa mahu berusaha dan bertanggungjawab kepada diri
sendiri ( Utusan Malaysia, 4 November. 2008 ). Ini jelas memberi satu gambaran negatif kepada
orang Melayu yang dianggap hanya mahu hak-hak tertentu dan penghormatan serta pengiktirafan
tetapi tidak mahu berusaha. Pada masa yang sama mereka tidak mampu membuktikan
kemampuan diri serta mengelak daripada persaingan secara global dan terus bergantung kepada
kerajaan.

3
Isu kontrak sosial menjadi semakin panas selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac
2008 berikutan perubahan landskap politik negara. Ia menyaksikan kehadiran lebih ramai ahli
parlimen bukan Melayu yang dipelopori oleh PKR dan DAP. Pada masa yang sama wujud
kecenderungan komponen parti dalam Barisan Nasional yang mula menyuarakan ketidakpuasan
mereka dalam formula Barisan Nasional yang dilihat terlalu dikongkong oleh UMNO yang
bersikap terlalu angkuh dan menafikan peranan komponen yang lain. Lantaran itu timbulnya
keresahan di kalangan ahli-ahli UMNO tentang hak serta kedudukan orang Melayu terutamanya
di negeri-negeri yang dikuasai parti pembangkang khususnya di Pulau Pinang, Perak dan
Selangor. Pelbagai polemik serta kontroversi yang tercetus dalam membicarakan kontrak sosial
jelas menggambarkan ketidakmatangan politik negara yang masih diselubungi oleh politik
perkauman yang begitu sempit. Keadaan diperburukkan lagi apabila berlaku perbalahan secara
terbuka di kalangan pemimpin-pemimpin dalam Barisan Nasional yang terkena tempias pilihan
raya 2008. Di samping itu, ia turut menyaksikan tindakan segelintir pemimpin yang senjaga
mengeluarkan kenyataan yang berbau perkauman yang tindakan tersebut dilihat mencurah
minyak ke atas api yang marak. Dalam usaha untuk mengawal situasi yang semakin genting,
kerajaan telah bertindak dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA) bagi
menahan aktivis-aktivis mahupun wartawan yang terlibat dalam forum mahupun penghasilan
artikel yang dikatakan menyentuh sentimen perkauman. Di samping itu, penyeliaan yang lebih
ketat ke atas bloggers turut diambil. Tindakan tersebut jelas mengundang bantahan ramai dan
dilihat sebagai satu langkah menutup kelemahan kerajaan dan merencatkan kesuburan demokrasi
negara. Ia jelas tidak menggambarkan hasrat kerajaan ke arah pembentukan sebuah negara
bangsa Malaysia yang bersatu dan adil.

Tindakan sesetengah pihak yang secara berterusan mempertikaikan kontrak sossial


mendapat perhatian serius Majlis-Majlis Raja-Raja Melayu yang meminta semua pihak
menghormati perlembagaan negara serta tidak menguji mahupun mencabar kontrak sosial yang
telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu ( Utusan Malaysia 17 Oktober 2008 ) . Ini kerana ia
menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat. Walaupun peringatan tersebut
disambit baik oleh semua pihak namun begitu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim menegaskan rakyat berhak persoalkan sosial kontrak jika hak mereka dinafikan kerana
Majlis Raja-Raja telah pun memberi jaminan bahawa hak semua kaum akan dilindungi kerana ia

4
mendapat jaminan Perlembagaan Persekutuan. Lantaran itu, beliau menyarankan supaya semua
kaum menghormati kebudayaan serta tatasusila antara satu sama lain.

Kontrak sosial merupakan satu persetujuan bersama di kalangan pemimpin-pemimpin


berbilang kaum dalam menentukan hala tuju negara ketika era kemerdekaan. Ia dilihat sebagai
satu pakatan murni yang libatkan toleransi antara kaum. Namun begitu kontrak sosial sering
dimanipulasi oleh ahli-ahli politik demi kelansungan politik masing-masing. Tindakan
sedemikian telah menimbulkan pelbagai permasalahan yang begitu kompleks dan sering
mengakibatkan ketegangan hubungan antara kaum. Lantaran itu kontrak sosial terus diselubungi
pelbagai kontroversi akibat daripada corak politik perkauman yang terlalu sempit. Ia sering
menjadi percaturan politik oleh sesetengah ahli politik yang ingin menonjolkan diri sebagai
jaguh kaum tertentu. Walaupun perbincangan tentang soal kontrak sosial kerap dielakkan demi
perpaduan kaum tetapi Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin beranggapan tindakan menghalang
sebarang perbincangan tentang isu-isu yang dianggap sensitif tidak mampu menyelesaikan
masalah sebaliknya ia akan menjadikannya lebih serius. Sebaliknya perbincangan secara terbuka
yang dilakukannya secara terkawal dan professional mampu menyelesaikan pelbagai
permasalahan yang telah merenggangkan hubungan antara kaum ( New Sunday Times, 23 .
Disember 2007 ).

You might also like