You are on page 1of 3

REFLEKSI Pada setiap semester, semua guru pelatih akan diberikan tugasan sebagai syarat untuk menghabiskan semester.

Kali ini, saya dan rakan-rakan seperjuangan telah diberi tugasan dalam subjek Pengajian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah BMM 3101. Saya dan dua orang lagi rakan seperjuangan saya Nur Atikah Remali dan Shezwani Mohd Saed telah diberikan tugasan untuk memilih Rancangan Pengajaran Harian (RPH), menganalisis RPH tersebut dan seterusnya membuat ulasan mengenai kerelevanan kemahiran bahasa dan kemahiran bernilai tambah dalam RPH. Dalam usaha untuk menyelesaikan tugasan ini, saya dan rakan-rakan seperjuangan saya terpaksa bertapa di dalam perpustakaan bagi mencari buku rujukan yang mencukupi. Saya dan rakan saya tidak boleh bergantung kepada

maklumat yang terdapat di internet sahaja kerana maklumat yang ada belum mencukupi. Tambahan pula, apabila membaca pelbagai buku, kami akan mendapat lebih banyak maklumat, sekaligus lebih memahami mengenai konsep kemahiran bahasa dan kemahiran bernilai tambah. Kadangkala kami perlu menunggu giliran meminjam kerana buku yang ada adalah terhad. Namun, hal itu tidak mematahkan semangat saya dan rakan-rakan seperjuangan untuk terus berusaha menyiapkan tugasan ini. Bak kata pepatah, Manakan dapat sagunya, kalau tak dipecahkan ruyungnya. Dalam tugasan kali ini, saya dan rakan sekumpulan dikehendaki menganalisis kemahiran bahasa dan kemahiran bernilai tambah yang terdapat dalam RPH yang telah dipilih. Justeru, sebelum menganalisis RPH tersebut, sudah tentulah saya dan rakan-rakan perlu memahami konsep kedua-dua kemahiran tersebut. Walaupun

kadangkala, hal ini memeningkan kepala kami, perjuangan tetap perlu diteruskan. Apabila menemui jalan buntu, saya dan rakan-rakan sekumpulan akan berjumpa dengan pensyarah pembimbing, Encik Jeyagobi bagi meminta penjelasan. Kebiasaanya, Encik Jeyagobi akan dapat membantu merungkaikan masalah yang ada dan beliau tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu yang ada. Setelah memahami konsep kedua-dua kemahiran tersebut, barulah saya dan rakan-rakan dapat menyambung kembali misi kami untuk menyelesaikan tugasan ini. Saya mendapati bahawa kedua-dua kemahiran ini merupakan kemahiran yang

penting untuk diterapkan dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Seperti yang telah diketahui umum, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan semua rakyat Malaysia mestilah menguasainya. Oleh itu, tanpa ragu dan sangsi, memang wajarlah kemahiran bahasa dimasukkan dalam RPH. Kemahiran Bernilai Tambah ini pula menyahut seruan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan rakyat yang seimbang dan harmonis. Semasa berusaha menyelesaikan tugasan ini, saya mendapati bahawa bukan senang untuk menjadi seorang guru yang benar-benar berjiwa pendidik. Sebagai seorang guru, saya mestilah menjadi seorang yang sentiasa berfikiran terbuka dan menghargai murid-murid yang ada di dalam kelas. Saya perlu sentiasa ingat

bahawa murid-murid di dalam kelas terdiri daripada pelbagai latar belakang dan keupayaan. Justeru, Teori Pelbagai Kecerdasan perlu dipegang dan diaplikasikan di dalam kelas. Saya juga tertanya-tanya sama ada saya mampu atau tidak menjadi seorang guru yang benar-benar berjiwa pendidik. Memetik kata-kata seorang pensyarah

saya, seorang guru mestilah seorang yang berilmu tinggi dan rajin membaca. Dengan adanya ilmu yang tinggi, guru akan dapat memberikan kefahaman kepada murid-murid. Ilmu yang ada mestilah dikongsikan dengan murid-murid tanpa

mengharapkan balasan. Kemahiran bahasa dan kemahiran bernilai tambah juga perlu dikuasai dengan baik agar guru dapat menjadi contoh teladan yang baik. Dalam usaha untuk menjadi seorang pendidik yang baik, hati mesti dijaga agar sentiasa ikhlas dalam mendidik generasi yang akan membina negara ini. Tanpa hati yang ikhlas, mungkin apa yang ingin disampaikan kurang masuk ke dalam jiwa anak didik kita nanti. Dengan adanya keikhlasan dalam hati, saya yakin, seorang guru pasti akan berjaya menyentuh hati anak didiknya dan sekaligus berjaya menyediakan anak-anak didiknya untuk berhadapan dengan dunia sebenar. Erti persahabatan juga semakin saya fahami sepanjang saya melalui liku-liku perjalanan untuk menuju ke matlamat kami, iaitu untuk menyiapkan kerja kursus ini sebaik mungkin. Sahabat-sahabat seperjuangan saya, Nur Atikah dan Shezwani banyak menunjukkan nilai-nilai murni kepada saya. Saya semakin mengerti bahawa dalam usaha kita untuk mencapai matlamat, sahabat amat diperlukan, terutama ketika kita berasa lemah dan mula mahu mengalah. Sesungguhnya, persahabatan

yang murni amat diperlukan untuk menghasilkan sesuatu kerja yang lebih baik. Di samping itu, kerjasama yang erat dan kukuh dalam kalangan rakan seperjuangan juga sangat penting bagi membantu kita untuk menghadapi apa jua cabaran dan dugaan. Sungguh, kata-kata Wonderpets (satu rancangan kartun di televisyen) memang benar, apabila mereka mengata bahawa, Apa yang penting? Kerjasama!. Sesungguhnya, memang banyak pengalaman yang saya perolehi.

Tambahan pula, ada orang bijak pandai yang mengatakan bahawa pengalaman itu adalah guru yang terbaik. Jadi saya merasakan bahawa pengalaman yang saya perolehi ini, merupakan satu pengalaman yang tidak boleh ditukar ganti kerana ianya amatlah berharga. Sesungguhnya, pengalaman ini tidak boleh dijual beli,

hatta dengan segunung emas dan selaut perak sekalipun. Secara tuntas, apa yang saya dan rakan-rakan saya telah lakukan bukanlah sesuatu yang sia-sia kerana ilmu itu luas dan perlu sentiasa kita timba. Walaupun hanya bermula dengan paksaan, ianya menjadi sesuatu yang amat kami hargai. Sekiranya kami bertindak untuk mengangkat bendera putih sebelum berjuang, maka, kami akan menjadi orang yang paling malang sekali kerana melarikan diri daripada ilmu. Semoga apa yang diperolehi ini, dapat memberi manfaat kepada semua pihak, terutamanya bagi insan-insan yang mendahagakan ilmu.

(RUQAIYAH HANI BINTI FIRUZ DALILI)

You might also like