You are on page 1of 22

MAKNA, FALSAFAH DAN PERANAN BAHASA DALAM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Memorandum ini dikarang bersempena Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur pada 28 haribulan Jun 2012.

Daripada: Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) dan Klasika Media Tarikh: 28 Jun 2012

Nasib bahasa Melayu yang tercantum dengan Islam itu sangat menyerap mesra sehingga tiada dapat dilupakan sejarah bahawa kedua faktor ini telah pertama menanamkan kesedaran faham kebangsaan ke dalam jiwa masyarakat Melayu-Indonesia. Pengaruh Islam terhadap penyebaran bahasa itulah menjadi mungkin ummat Indonesia sekarang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaannya.
Yang Mulia Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972, UKM)

PENDAHULUAN
Dalam mana kita berbincang tentang penambahbaikan atau perubahan kepada sistem pendidikan kebangsaan, kita harus menyedari bahawa istilah 'kebangsaan' itu hanya mencapai makna sebenarnya jika ianya difahami berlatarbelakangkan hakikat sejarah peradaban di rantau ini di satu segi, dan juga keperluan memupuk kemajmukan yang murni di kalangan masyarakat Malaysia di satu segi yang lain.

Maka, penentuan hala tuju pendidikan kebangsaan bukanlah sesuatu yang boleh ditetapkan berdasarkan pertimbangan jangka pendek (seperti yang kerap belaku dalam pasaran dan dunia korporat, yang sifatnya senantiasa berubah dari satu saat ke saat yang lain) dan sebarang perubahan yang ingin diperkenalkan haruslah senantiasa diukurkesahihannya berdasarkan matlamat pendidikan kebangsaan yang telah dilakarkan dengan bijaksana oleh tokoh-tokoh pendidik tersohor terdahulu.

Dalam erti kata lain, sebarang perubahan yang ingin dilakukan haruslah tidak bertentangan dengan matlamat dan cita-cita yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (sebagaimana undangundang yang digubal di Parlimen tiada boleh bercanggah dengan peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan) dan sesungguhnya, kemajuan tulen dalam sistem pendidikan kebangsaan bersandarkan kepada sejauh mana kita berjaya menafsir dan menzahirkan nilai-nilai yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang sudah jelas dan tetap sifatnya.

1. MAKNA DAN FALSAFAH PENDIDIKAN


Pendidikan adalah bertujuan untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat yang akhirnya membawa insan kepada pengenalan dan pengiktirafan Allah SWT.

Pemurnian dan Penilaian Falsafah Pendidikan Kebangsaan


Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan:

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini wajar dipertahankan. Namun, adalah disarankan agar beberapa frasa di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini dimurnikan. Frasa-frasa tersebut adalah:

a. Istilah seimbang dan harmonis masing-masing ditukar ganti dengan istilah baik dan adil yang lebih objektif dan sarat dengan nilai-nilai terpuji yang terkandung dalam kebanyakan agama dan sistem kepercayaan,

b. Keharmonian dan kemakmuran yang merupakan matlamat akhir sistem pendidikan kebangsaan harus diluaskan maknanya kepada kebahagian di dunia samada di peringkat peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan umat manusia sejagat dan juga di akhirat, sesuai dengan pengiktirafan hakikat insan yang berganda (yakni memiliki unsur rohani dan jasmani), yang bersaudara tanpa mengenal batas negara, bangsa dan keturunan, dan cenderung untuk hidup bermasyarakat.

Paksi Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah Kepercayaan Kepada Tuhan


Falsafah Pendidikan Kebangsaan menayangkan aspek-aspek asasi dalam pandang alam Islam seperti hakikat ilmu, insan, bahasa, akhlak, soal kemajuan dan kebahagiaan. Sehubungan itu, peneguhan semula matlamat ini wajar diterajui dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas, selari dengan cita-cita dan saranan yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Semangat muhibbah yang terdapat dalam kemajmukan masyarakat Malaysia sama ada dari segi agama, bahasa, budaya dan adat resam merupakan kelebihan yang harus dimanfaatkan secara bijaksana dalam usaha membina sebuah negara maju dan bahagia.

Ilmu, Insan dan Kebenaran


Ilmu tidak wajar dikelirukan dengan maklumat atau disempitkan maksudnya kepada ceraian fakta semata-mata atau dihampakan sifatnya kepada aspek kebendaan yang boleh diperdagang sewenangwenangnya. Memandangkan ilmu bukan semata-mata suatu sifat yang dimiliki oleh akal insan belaka, maka perolehan ilmu mewajibkan penuntut untuk mengetahui dan mematuhi adab yang sewajarnya kepada Allah S.W.T. sebagai Pemilik dan Punca Mutlak Segala Ilmu, di samping terhadap guru atau pendidik yang bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu tersebut. Ilmu memberi makna kepada insan agar ia dapat mencapai kebenaran tentang hakikat dirinya serta pertaliannya dengan makhluk lain dan Penciptanya. Kesedaran akan letak duduk segala sesuatu dalam rencana alam wajar menggerakkan insan ke arah ketenteraman dan kesempurnaan yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan alam sekeliling menerusi amal tingkah lakunya.

Salah Faham Matlamat Pendidikan


Adalah salah jika berfikiran bahawa matlamat pendidikan adalah untuk memenuhi kehendak pasaran global. Sekali lagi ditekankan, matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang baik dan adil yang difahami sebagai insan yang bahagia. Insan yang bahagia sudah pasti akan melahirkan individu yang memenuhi pasaran yang memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mencabut akar budaya dan akal budi orang asal di rantau ini. Akan tetapi, jika hanya berjaya memenuhi kehendak pasaran, masyarakat yang lahir tidak semestinya akan bahagia dan bersatu padu. Ini disebabkan, masyarakat terpaksa menggugurkan nilai-nilai budaya tanah air dan menerima unsur asing dari tuntutan dan desakan pasaran yang bakal menghakis identitinya.

2. PERANAN BAHASA DALAM PENDIDIKAN Faham Memartabatkan dan Memperkukuhkan


Memartabatkan mengandaikan menaikkan sesuatu dari segi darjat atau kedudukannya berdasarkan timbangan yang benar lagi adil tentang maknanya (sifat dan perkaitan). Peningkatan darjat ini dilakukan sebagai pengiktirafan akan kebaikan hakiki yang terkandung dalam perkara itu, yani nilai perkara itu bukan terletak kepada faktor bersifat luaran tetapi bergantung kepada letak duduk asalinya dalam rencana alam yang telah diatur oleh Allah S.W.T. Justeru perkara itu wajar disokong sebagai suatu matlamat (end) dan bukan sekadar sebagai satu cara untuk mencapai matlamat lain (means to an end). Matlamat yang dimaksudkan adalah pengenalan insan yang menggunakan bahasa itu kepada makna diri dan bangsanya, sekaligus berkait rapat dengan persoalan identiti.

Memperkukuhkan pula membayangkan penyegaran apa yang telah diabaikan, selain mengiktiraf keberterusan serta peri pentingnya perkara tersebut. Dalam erti kata lain, pengukuhan hanya boleh dilakukan ke atas perkara yang sedia ada atau yang sudah sedia terdiri. Oleh itu, hasrat untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris merupakan usaha untuk merancak kembali pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut yang diterima sebagai salah satu warisan daripada zaman penjajahan negara kita, sekaligus menolak tohmahan bahawa gagasan MBMMBI adalah cubaan untuk menafi atau memutarbalik kemajuan yang telah diperolehi dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Penyegaran yang dimaksudkan ini haruslah dihalakan ke satu matlamat yang bersifat utilitarianisme dalam erti kata usaha itu harus diteruskan hingga yang disegarkan itu dapat memenuhi peranannya dan mendatangkan manfaat. Justeru, pengukuhan bahasa Inggeris itu wajar disokong sebagai satu cara untuk mendatangkan kita kepada pencapaian satu matlamat lain, seperti berupaya untuk menikmati kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Tidak terhad kepada itu, pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris juga seharusnya memperkenalkan kita kepada sifat, ragam dan jiwa peradaban yang menggunakan bahasa tersebut kerana menerusi bahasa yang digunakanlah, akan tertayang aspek-aspek penting lagi luhur dalam kebudayaan peradaban tersebut. Misalnya, faham tentang insan, alam, agama, akhlak, kebenaran, keadilan, kebahagiaan dan kemajuan. Dalam hal ini, amatlah dangkal kiranya kayu ukur kecemerlangan sesebuah peradaban disempitkan kepada hasilannya dalam bidang sains dan teknologi semata-mata, lebih-lebih lagi apabila pandangan sedemikian menggerhanakan pencapaian peradaban tersebut dalam bidang lain seperti falsafah, sejarah, kesusasteraan dan kesenian serta antara semua bidang-bidang ini. Harus juga diingati bidang sains dan teknologi banyak menggunapakai bahasa-nya sendiri, yakni simbol matematik, ungkapan fizika atau istilah-istilah khas yang terbit daripada Bahasa Yunani, Latin, Jerman dan Perancis.

Kesimpulannya, usaha memartabatkan bahasa Melayu itu dinamakan sedemikian rupa atas kesedaran bahawa nilai hakiki (instrinsic) bahasa Melayu dalam pandang alam Islam selain hakikat sejarah peradaban di rantau ini, serta peranan penting yang dimainkan oleh bahasa Melayu dalam pembinaan jiwa kebangsaan di negara ini; manakala usaha memperkukuhkan bahasa Inggeris pula diperlukan kerana penguasaan bahasa Inggeris akan membuka peluang kepada para penutur bahasa tersebut untuk mengenal dan memahami dengan lebih mendalam akan sifat, nilai dan jiwa peradaban-peradaban lain yang menggunakan bahasa tersebut. Memandangkan keunggulan sesebuah peradaban itu tidak terletak kepada kecanggihan dalam bidang sains dan teknologi atau pembangunan bersifat material sematamata, maka adalah salah untuk mendesak supaya pengajaran dan pembelajaran sesuatu bahasa asing itu dilakukan atas keterpesonaan terhadap pencapaian dalam bidang sains dan teknologi yang dihasilkan oleh peradaban tersebut, yang kemudiannya dinisbahkan secara sambil lewa kepada bahasa lazim yang digunakan dalam peradaban tersebut. Dengan kata lain, nilaian kita terhadap mutu dan kepentingan sesuatu bahasa itu - sama ada bahasa ibunda ataupun bahasa asing - haruslah dibuat secara menyeluruh dan dilihat dalam segala segi peradaban tersebut - sains dan teknologi, sastera dan budaya, kesenian dan kebudayaan, agama dan falsafah, kemasyarakatan dan politik - dan bukan sahaja disempitkan kepada pencapaian peradaban itu dalam satu bidang semata-mata. Kiranya penelitian kita terhadap kegunaan sesuatu bahasa itu dibuat berdasarkan pengamatan yang sempit dikhuatiri kita akan dibohongi tentang nilainya dan pada masa yang sama meragui tanpa usul periksa akan nilai upaya bahasa ibunda kita sendiri.

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu


Insan ditakrif sebagai makhluk yang berkata-kata, yang memiliki daya upaya untuk membicarakan hasil pemikirannya menerusi bahasa. Bahasa adalah salah satu sifat yang membezakan antara manusia dan haiwan. Bahasa menayangkan hakikat pandangan alam sesuatu bangsa yang tersirat di dalam akal dan hati nuraninya. Ketinggian ilmu sesebuah peradaban terpancar pada kehalusan bahasa yang diguna oleh cerdik pandainya dalam membina khazanah keilmuan untuk diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain melalui wadah persuratan dan pengarangan.

Sorotan sejarah peradaban di rantau ini menyerlahkan keutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mesra dengan jiwa dan kebudayaan masyarakat Melayu yang beragama Islam. Bahasa Melayu juga terbukti keterbukaannya dalam menyerapi, memperolah dan menjelmakan perkataan dan pengaruh kebudayaan asing secara adil bagi mengelak timbulnya kekacauan dan kekeliruan dari segi makna dan kefahaman. Oleh yang demikian, amatlah wajar sekiranya kesungguhan dalam menggunakan bahasa Melayu secara menyeluruh, bersepadu dan berterusan dalam bidang pendidikan digunakan sebagai penanda aras kefahaman dan penghayatan terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Bahasa Melayu menayangkan pandangan alam bangsa Melayu yang berpaksikan pandangan alam Islam. Bahasa Melayu mengalami proses Islamisasi dengan pengenalan makna serta istilah yang merujuk kepada hakikat kewujudan alam ini. Misalnya, istilah Allah diperkenalkan ke dalam bahasa Melayu merujuk kepada Allah yang Maha Esa dan Tuhan sekalian alam. Sebelum pengenalan istilah ini, bahasa Melayu yang mempunyai pengaruh Hindu yang tidak mengiktiraf makna ke-Esa-an Tuhan. Selain itu, berlaku perubahan makna yang mendasar kepada istilah-istilah penting dalam bahasa Melayu. Misalnya, istilah dosa, pahala, syurga dan neraka yang berasal dari bahasa Sanskrit yang mempunyai unsur Hindu, diubah maknanya supaya memikul makna Islami. Proses Islamisasi bahasa ini sebenarnya turut berlaku kepada bahasa-bahasa Islam yang lain. Bahasa Arab Jahiliyyah juga mengalami perubahan yang sangat besar dari segi maknanya setelah penurunan al-Quran. Misalnya, istilah karam (mulia) tidak lagi dirujuk kepada insan yang mempunyai anak yang ramai semata-mata, tetapi istilah karam menurut al-Quran merujuk kepada insan yang bertaqwa:

Sesungguhnya, orang yang paling mulia (karam, akram) di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang bertaqwa. (13: al-Hujurat)

Seperti yang tercatat dalam sejarah, pengislaman bahasa Arab oleh al-Quran telah mengangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu yang paling utama di dunia. Begitu juga dengan pengalaman sejarah bahasa Melayu, yang pernah menjadi bahasa ilmu yang utama di Alam Melayu.

Sekitar kurun ke-16 dan ke-17, bahasa Melayu melalui zaman kegemilangannya dengan kelahiran tokohtokoh besar persuratan Melayu, seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri yang mengangkat kedudukan bahasa Melayu ke persada keilmuan yang tertinggi. Unsur kesejagatan dan keilmuan yang terkandung dalam wacana persuratan Melayu telah berjaya menyatukan akidah dan kepercayaan seluruh Alam Melayu. Bahasa Melayu yang menjadi kenderaan untuk meneroka saujana alam falsafah juga telah menjadi bahasa utama yang menghubungkan keseluruhan wilayah dan etnik yang terdapat di Alam Melayu. Sejajar dengan identiti, kebudayaan dan sejarah rantau ini, Persuratan Melayu wajar diberi tumpuan khusus sebagai sumber penghayatan yang mendalam kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Tulisan Jawi dan Tulisan Rumi


Wacana dan perbahasan persuratan Melayu telah dijelmakan dalam bentuk tulisan Jawi. Tulisan Jawi meminjam skripsi Arab dan kemudian ditambah beberapa huruf untuk disesuaikan dengan sebutan Melayu. Walau bagaimanapun, setelah zaman kemerdekaan, peranan tulisan Jawi dalam menyambungkan tradisi persuratan Melayu telah digantikan sepenuhnya dengan tulisan Rumi yang meminjam skripsi Latin. Amatlah dikhuatiri generasi sekarang dan akan datang yang hanya celik tulisan Rumi semata-mata akan terputus dengan khazanah persuratan dan peradaban Melayu yang ditulis dalam tulisan Jawi. Sehubungan dengan itu, adalah disarankan agar tumpuan diberikan dalam memartabatkan semula tulisan Jawi dalam segenap peringkat pendidikan, termasuklah subjek-subjek yang menggunakan medium bahasa Melayu, bukan hanya bertumpu dalam subjek pendidikan Islam sahaja. Pemerkasaan tulisan Jawi dalam pelbagai pendidikan boleh dilakukan dengan menambah baik dan memperbanyak latihan sedia ada di samping mengadakan kempen yang berterusan.

Perlu juga disedari akan realiti tulisan Rumi yang dipakai secara meluas di Malaysia. Sehubungan dengan itu, adalah disarankan agar terdapatnya usaha untuk menerbitkan semula dan

mentransliterasikan khazanah-khazanah persuratan Melayu tulisan Jawi ke dalam tulisan Rumi. Usaha penerbitan dan transliterasi ini secara langsung akan memudahkan akses generasi sekarang akan kekayaan persuratan Melayu, dan secara tidak langsung penggerak yang terlibat dalam proses penerbitan akan mahir dalam tulisan Jawi juga. Seterusnya, para penggerak usaha ini disarankan untuk memperluas dan memperbanyak penerbitan tulisan Jawi.

Kelesuan dan Kemuncupan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu


Setelah kedatangan penjajah Inggeris, keunggulan bahasa Melayu meleset kerana sifat dan tumpuan karya bahasa Melayu yang dihasilkan tidak lagi mampu untuk menyelami kedalaman samudera falsafah dan pemikiran. Kemunculan tokoh penulisan baharu seperti Abdullah Munshi yang mengarang karya bersifat jurnalistik dan pengenalan tulisan Rumi secara meluas yang menggantikan tulisan Jawi telah merencatkan pemahaman generasi baharu untuk memahami intipati karya yang dikarang oleh cendekiawan sebelum era penjajah Inggeris. Realitinya, ini berpunca daripada proses Islamisasi bahasa Melayu yang terganggu kerana kemasukan faham-faham asing seperti sekularisasi oleh penjajah, melalui sistem pendidikan yang tersusun. Akibatnya, bahasa Melayu tidak lagi mampu untuk meneruskan tradisi keilmuan yang dipacu oleh proses Islamisasi, sehingga menjadi lesu dan tertinggal dalam saingan bahasa baharu seperti bahasa Inggeris.

Salah Faham Kedudukan Bahasa Inggeris


Kepentingan penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris di negara kita bertitik-tolak daripada dua sebab utama:

1. Bahasa Inggeris merupakan warisan daripada zaman penjajahan negara di bawah pihak British, dan

2. Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama yang digunakan sebagai wadah perkongsian ilmu pada zaman ini, sama ada sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran di negaranegara Barat atau dalam penerbitan buku, makalah ilmiah dan artikel popular atau dalam media massa seperti radio dan televisyen.

Dapat diperhati bahawa sebab yang pertama itu bersifat sejarah manakala sebab yang kedua itu pula bersifat pragmatis.

Adapun boleh juga dihujah bahawa usaha untuk menolak dan menghapus sepenuhnya warisan sejarah yang dimiliki sesebuah negara itu juga bukanlah suatu yang pragmatis sifatnya. Hakikatnya, peminggiran dan pemutusan sejarah sememangnya bukanlah suatu tindakan yang pragmatis untuk mana-mana bangsa ataupun negara.

Namun, wajar dan lebih penting untuk diingati pada sejarah negara tidaklah terhad kepada permulaan zaman penjajahan British semata-mata dan bahawasanya terdapat babak sejarah yang jauh lebih awal yang memperlihatkan kemunculan peradaban agung dari segi keilmuan dan tatacara pentadbirannya, kemewahan dan kesejahteraannya sewaktu rantau ini berada di bawah pengaruh agama Islam. Jika dibandingkan tempoh pengaruh Barat dengan tempoh pengaruh agama Islam di rantau ini, amat jelas peradaban yang dibangunkan di bawah lindungan Islam itu telah bertahan jauh lebih lama dan detiknya serempak dengan zaman kegemilangan kerajaan-kerajaan di rantau ini.

Justeru sikap mengagung-agungnya bahasa Inggeris sehingga membenarkan penggadaian kedudukan bahasa Melayu menyerlahkan keangkuhan oleh kelompok-kelompok tersebut terhadap sejarah diri dan bangsa sendiri, yang didorongi oleh sifat kebudak-budakan untuk mengajuk dengan melulu segala cara pertuturan, budaya dan nilai asing yang di-(salah)-tanggap olehnya sebagai mewakili unsur-unsur kemodenan. Hanya mereka yang lemah daya tilikan akalnya dan rapuh daya tahan emosi serta rohaninya yang mudah terbungkam, tercengang lalu terpengaruh apabila berdepan dengan sesuatu yang asing lagi luar biasa. Sesungguhnya, sesuatu bangsa tidak akan bangun melainkan atas dasar yang telah

10

dibina dan dipupuk sejak zaman-berzaman oleh generasi terdahulu laksana pohon yang gah menggerbang tinggi di langit akan mencengkam bumi dengan akar yang kuat lagi dalam.

Adapun mengkesampingkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris bukan merupakan satu tindakan yang bijaksana ataupun bermanfaat, dan sebaliknya harus disokong dengan adil dan bersungguh-sungguh, tujuan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris perlu diperhalusi kerana khuatir ianya dilakukan atas sebab-sebab yang tidak berpandukan ilmu dan timbangan yang benar. Misalnya, penguasaan apa-apa bahasa yang disandarkan atas kepentingan bahasa tersebut dalam meningkatkan nilai kebolehpasaran penuturnya tidak boleh dijadikan satu-satunya alasan untuk belajar dan mengajar bahasa tersebut kerana:

1. Ianya bersifat nisbi (relative), yakni bidang pekerjaan yang berbeza akan menekankan penguasaan bahasa yang berlainan sesuai dengan sifat bidang tersebut, justeru berpotensi untuk menyebabkan pemisahan dari segi sosial di antara pekerja dalam satu bidang dengan bidang yang lain,

2. Ianya memperkenalkan kehendak pasaran sebagai kayu ukur mutlak nilai sesuatu bahasa itu, yakni tinggi rendah nilai bahasa itu akan ditentukan oleh bolak-balik pasaran yang bersifat jangka pendek, lalu mengkorupsikan sifat dan mutu bahasa tersebut, dan

3. Ianya tidak bertunjang kepada satu kriteria yang wajar terhadap bahasa, yakni kegunaan bahasa itu harus diertikan berdasarkan manfaatnya kepada insan yang menggunakannya dan bukan kepada satu entiti abstrak yang bernama industri atau syarikat korporat; tiada guna kiranya pelajar didesak supaya mempelajari sesuatu bahasa yang hanya akan digunakan olehnya sewaktu tempoh bekerja dan tidak pula didedahkan kepada aspek-aspek bahasa itu yang mengandungi kebudayaan halus seperti sastera tinggi, sejarah dan falsafah.

Kiranya suatu masa depan nanti, semua urusan komunikasi di antara sebuah syarikat dengan pelanggannya boleh dilaksana dan diambil alih oleh sistem berkomputer, maka apakah kita akan memutuskan untuk mengabaikan terus pengajaran dan pembelajaran bahasa di institusi pendidikan kita? Sesungguhnya, kelompok yang terbukti bersikap prejudis dan gemar menabur keraguan terhadap nilai bahasa ibunda, dari segi mutu dan daya upayanya sebagai wadah keilmuan, tiada mempunyai hak untuk menentukan hala tuju dan keutamaan sistem pendidikan kebangsaan, lebih-lebih lagi apabila kelompok ini terdiri daripada masyarakat perpinggiran (marginal society) yang tiada mendalami sifat dan jiwa peradaban Barat dengan baik dan menyeluruh, serta pada masa yang sama tidak mempunyai ilmu

11

pengetahuan dan pengalaman yang mencukupi dalam kebudayaan dan peradaban sendiri (sama ada peradaban Melayu, Cina atau India). Pendek kata, sifat kelompok ini yang terkapai-kapai di antara peradaban asing dan tempatan - bukan sepenuhnya berjiwa asli dan bukan pula sepenuhnya berjiwa asing - tidak wajar diangkat sebagai mewakili hasrat dan cita-cita masyarakat negara ini.

Letak Duduk Bahasa Inggeris dalam Pendidikan


Bertitik-tolak daripada penegasan bahawa konsep-konsep asas yang dipegang oleh sesebuah peradaban berkenaan dengan hakikat kewujudan itu tertayang dalam bahasa pengantarnya, maka penguasaan bahasa asing haruslah bermatlamatkan penghayatan secara adil tentang sifat, jiwa dan nilai peradaban tersebut dalam pentas sejarah dunia.

Jika ditinjau rasional-rasional di sebalik pengajaran Bahasa Inggeris di dua buah negara yang berlainan tetapi berjiran, yakni Malaysia dan Singapura, akan didapati bahawa ianya merangkumi alasan-alasan seperti meningkatkan daya saing pelajar di pasaran kerja, mempersiapkan pelajar dengan kemahiran berbahasa yang diperlukan untuk pendidikan peringkat tinggi atau bagi menggalakkan kesepaduan dalam masyarakat yang terdiri daripada berbilang bangsa, budaya dan bahasa.

Alasan-alasan sebegini terus dipalu gendangnya dalam gelanggang awam oleh kelompok-kelompok yang mempelopori usaha untuk meluaskan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kebangsaan tanpa menyedari hakikat bahawa pendidikan tidak harus dikelirukan dengan latihan dan bahawa penghayatan bahasa tidak terhad kepada nilai dan peranannya dalam bidang ekonomi semata-mata. Dalam erti kata lain, nasib dan nilai sesuatu bahasa itu perlu disauhkan pada sifat keilmuannya dan bukan diapung oleh tiupan angin pasaran semata-mata.

Justeru itu, seorang ilmuan harus menguasai bukan sahaja bahasa Inggeris, bahkan bahasa-bahasa ilmu yang lain untuk mengayakan rujukan dan fakta dalam bidang kajiannya. Bahasa Inggeris seharusnya dikuasai sebagai penghubung kepada kekayaan isi kandungan ilmunya dan takrif ilmu di sini tidak harus disempitkan kepada ilmu pengetahuan sains dan teknologi semata-mata. Penolakan penyempitan ini mengkehendaki supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa diluas dan diperkayakan pengisiannya kepada aspek kesusasteraan dan persuratan bahasa tersebut, selain pendekatan yang diambil seharusnya bertumpu kepada pengenalan dan kefahaman kata kunci dan peristilahan yang termaktub dalam bahasa tersebut. Dalam bidang sains dan teknologi misalnya, kata kunci seperti ilmu, alam tabii, insan dan kemajuan harus diperjelas dari segi maknanya dalam pandang alam Islam serta dibanding secara kritis dengan kata kunci yang sama dalam bahasa Inggeris seperti knowledge, nature, man dan progress

12

memandangkan kata kunci inilah yang menjadi dasar kefalsafahan ilmu pengetahuan sains dan teknologi tersebut yang seterusnya mencorak sifat, kaedah dan matlamat bidang tersebut.

Pendekatan sebegini ternyata bersifat lebih kritis dan mendasar sekiranya dibandingkan dengan pemaksaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik seperti yang diamalkan oleh pihak pemerintah beberapa tahun yang lalu menerusi gagasan PPSMI, selain membina daya upaya masyarakat tempatan dalam memperkembang ilmu pengetahuan sedia ada secara asli (yakni menerusi pemunculan disiplin-disiplin ilmu pengetahuan yang baru bagi menampung keperluan unik atau merungkai masalah setempat) atau memperolah makna dan sifat ilmu pengetahuan sedia ada agar secocok dengan kerangka ilmu, kebudayaan dan nilai masyarakat tempatan.

Pendokong gagasan PPSMI seringkali mengangkat Gerakan Penterjemahan (Translation Movement) yang dibiayai oleh kerajaan Bani Abbasiyyah pada kurun ke-10 Masehi sebagai justifikasi dan ikutan gagasan tersebut. Pengibaratan yang dilakukan ini tiada tepat atas dua sebab utama:

1. Gerakan Penterjemahan memperlihatkan penukar-gantian dan penafsiran ilmu-ilmu yang diungkapkan dalam bahasa asing (misalnya Sanskrit, Farsi, Yunani dan sebagainya) ke dalam lingua franca peradaban Islam pada masa itu, yakni bahasa Arab, yakni penterjemahan ilmu yang asalnya dalam bahasa asing kepada bahasa sendiri supaya dapat diteliti, difahami dan diperkembang ilmu tersebut mengikut keutamaan dan corak bawaan peradaban tersebut,

hingga ianya sebati dengan jiwa dan sesuai dengan keperluan duniawi dan tuntutan ukhrawi seperti yang difahami dalam peradaban tersebut. Kiranya benar ingin diambil iktibar daripada peristiwa bersejarah ini, maka seharusnya pemimpin negara mengarahkan ilmuwan dan cendekiawan tanah air untuk memilih dan menterjemah karya-karya berwibawa dalam segala lapangan ilmu daripada bahasa asing (khususnya bahasa Inggeris, tetapi juga bahasa Jerman, Perancis, Jepun) ke dalam bahasa tempatan, yakni bahasa Melayu, dan bukan pula dengan sewenang-wenangnya melenyapkan penggunaan bahasa Melayu dalam subjek-subjek penting seperti Sains dan Matematik, selain mendesak penukaran buku teks untuk kedua-dua subjek ini dalam bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris pula! Jika dinilai dari kaca mata sejarah secara jujur, maka gagasan PPSMI itu berlainan sekali sifat, kaedah dan matlamatnya berbanding dengan Gerakan Penterjemahan silam yang sering disebut-sebut sebagai ikutan itu.

2. Gerakan Penterjemahan memperlihatkan sebuah peradaban yang muda tetapi sudah sedia tahu dan sedia jelas akan identiti peradabannya berdepan dengan warisan keilmuan daripada peradaban-peradaban asing yang lebih tua, lalu bertindak untuk meminjam secara kritis dan

13

teliti cabang-cabang ilmu silam yang memenuhi keperluannya yang dinilai berdasarkan tuntutan keadilan dan kebenaran sepertimana yang dianjurkan oleh pandang alam Islam. Kebanjiran idea, faham dan istilah asing ke dalam perbendaharaan keilmuan peradaban ini - meskipun berlaku dengan begitu hebat dari segi jumlah dan kadarnya - tiada dibenar untuk mengkucarkacir ketetapan di antara yang hak dan yang batil, tiada dibiar untuk menanam keraguan terhadap daya upaya akal insan untuk mencapai kebenaran dan tiada dialu-alukan untuk menafikan kebenaran yang diyakini oleh agama. Amat berbeza sekali jika dibanding kecermatan dan ketelitian ilmuwan dan cendekiawan silam dalam menyaring ilmu-ilmu asing dengan kegelojohan pemerintah negara dan kebebalan para pengekornya sama ada di institusi pendidikan mahupun penyiaran, di kalangan pensyarah mahupun budayawan yang terkunci mulut dan akalnya akibat terpesona dengan deretan penemuan dan ciptaan baru yang dijaja oleh bidang sains dan teknologi moden hingga sanggup digadaikan warisan ilmu, bahasa dan kebudayaan dalam keasyikan mengejar janji manis kemajuan bersifat kebendaan yang entah ke mana matlamat akhirnya.

Dalam melaksanakan kerja-kerja penterjemahan, harus senantiasa diingati bahawa ianya bukan sahaja membabitkan penukar-gantian aspek zahir bahasa seperti rupa bentuk huruf atau susun atur ejaannya, tetapi juga lebih penting lagi melibatkan penafsiran aspek batin yang terkandung dan tertayang oleh bahasa tersebut, yakni makna perkataan dan pandang alam yang mendasari bahasa tersebut. Oleh itu, meskipun sesuatu perkataan yang diwariskan daripada peradaban silam (misalnya peradaban pra-Islam) itu masih dipelihara dari segi rupa bentuk hurufnya atau susun atur ejaannya, tetapi itu tidak bermaksud bahawa makna yang dikandung oleh perkataan itu masih mengekalkan makna asalnya kerana intipati sesuatu bahasa tersimpan dalam maknanya yang tidak terlintas pada pandangan mata zahir tetapi hanya dapat diselami dan seterusnya digarap dengan tepat menerusi daya tilikan mata akali. Kekeliruan berkenaan aspek zahir dan batin bahasa inilah yang telah menimbulkan begitu banyak kekeliruan berkenaan hakikat proses pengIslaman bahasa di rantau ini, sehingga timbul sesetengah pihak yang menafikan telah berlakunya proses pengIslaman berdasarkan pemerhatian cetek bahawa perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu masih mengandungi sejumlah kata-kata daripada bahasa Sanskrit yang diwarisi daripada zaman sebelum datangnya Islam ke perpantaian rantau ini. Apa yang utama untuk diperIslamkan adalah makna di sebalik sesuatu perkataan, dan proses ini boleh diiringi pada masa yang sama dengan penukar-gantian rupa bentuk huruf (seperti daripada tulisan huruf Sanskrit kepada tulisan huruf Jawi) ataupun tidak disertai dengan penukar-gantian zahiriah sebegitu (seperti penterjemahan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris yang mengekalkan ejaan dalam tulisan Rumi). Hanya mereka yang benar-benar faham akan hakikat zahir dan batin sesebuah bahasa

14

akan berupaya untuk menjejaki hakikat yang ditayangkan oleh bahasa tersebut tanpa dihambat kekeliruan yang menjurus kepada kesimpulan yang salah.

Amatlah penting bagi para profesor dan pensyarah yang mengepalai dan mengisi institusi pengajian tinggi negara memahami akan hakikat bahasa pengantar yang digunakan seharian dalam menunaikan tanggungjawab ilmiah masing-masing, khususnya apabila ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh barisan pendidik ini rata-rata terbit daripada peradaban Barat dan dibidani oleh pengaruh kekuasannya dalam segenap bidang seperti politik, ekonomi, ketenteraan, budaya dan kemasyarakatan. Apabila dilihat dalam konteks sebegini, maka barisan pendidik yang memenuhi institusi pengajian tinggi negara merupakan benteng pertahanan yang paling utama dalam mengesan, menyaring dan menangkis penyusupan faham-faham atau idea-idea asing yang dikenalpasti dapat mengkucar-kacirkan keutuhan dan ragam pemikiran muda-mudi yang sedang menuntut di menara gading serata negara. Oleh yang demikian, selain memiliki ilmu yang mendasar dan teguh tentang sifat peradaban Barat yang mengeluarkan aneka jenis ilmu dan rekacipta untuk dijaja di seluruh dunia, para pendidik yang berwibawa harus bersikap terbuka dan tawadhu dengan kebijaksanaan dan kekayaan ilmiah yang telah dihimpun dan dipupuk oleh generasi ilmuwan yang terlebih dahulu telah mencurah jasa dan menabur bakti kepada masyarakat yang dipimpinnya. Adab berilmu mengkehendaki supaya kita mengiktiraf dengan ikhlas dan adil sumbangan mereka yang mendahului kita dalam perjuangan menuntut kebenaran.

Dalam hal ini, nasihat Pendeta Zaaba yang dipetik oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Pidato Penghargaannya terhadap Zaaba amat wajar untuk dijadikan tauladan:

Isi dan gaya bahasa yang didapati pada karangan-karangan ini saya sedari ialah isi dan gaya bahasa yang sudah lapuk dan basi pada ukuran Pujangga-pujangga Muda kita daripada angkatan baharu sekarang. Tetapi itu tidaklah menjadi hal kepada saya: kerana tiap-tiap sudah tua pengot tentulah tidak laku lagi kepada Orang Muda yang tabiatnya memang lekas terpesona dengan benda-benda yang baharu dan muda beliau sepertinya. Walaupun begitu, ini ialah isi dan gaya kepunyaan saya, bukan meniru orang. Diharap mereka yang muda-muda ini akan bergiat mengadakan yang lebih baik lagi - yang tidak akan lapuk dan basi selama-lamanya walaupun apabila mereka sendiri telah tua dan sampai gilirannya mencapai taraf lapuk dan basi pula!

Telah ditegaskan bahawa golongan pendidik yang memenuhi institusi pengajian tinggi negara boleh diibaratkan sebagai laskar barisan hadapan yang berperanan untuk mengawasi keutuhan jati diri mudamudi, khususnya dan masyarakat Malaysia, amnya daripada sebarang usaha untuk mempengaruh atau

15

menggugat keutuhan asasinya dari segi ilmu dan pemikiran, budaya dan nilai, dan pengawasan ini wajar dihalakan kepada keadaan dan mutu bahasa pengantarnya. Oleh yang demikian, isu penetapan bahasa pengantar di peringkat pengajian tinggi merupakan suatu keputusan yang tiada boleh diambil ringan dan seharusnya lebih diutamakan dan dicapai kesepakatan yang tetap berbanding dengan perkelahian yang tiada putus-putus tentang pilihan bahasa pengantar di peringkat pengajian rendah kerana hasil graduan daripada institusi pengajian tinggi inilah yang akhirnya akan mendidik anak-anak kecil di sekolah-sekolah, sama ada di bandar ataupun di pedalaman. Di samping kepentingan institusi pengajian tinggi untuk menyampaikan ilmu pengetahuan yang terkini kepada siswa dan siswi agar dapat dimanfaatkan dalam kehidupan mereka kelak, penggunaan bahasa kebangsaan secara tekun dan teratur amat penting untuk diwajibkan di peringkat universiti dan kolej pengajian kerana pada takat inilah potensi bahasa kebangsaan dapat diuji dan dinilai, diperkemas dan diperbaik, dikembang dan diraikan oleh kelompok terpelajar dalam masyarakat, yang sekiranya dipersembahkan dengan baik dan bermutu yakni sarat dengan makna serta halus cara bawaannya - akan menjadi daya penarik buat segenap lapisan masyarakat di luar universiti atau disebar oleh lepasan universiti dan kolej yang sudah tamat pengajiannya, di mana setiap satu daripada mereka akan menjadi tauladan murni dalam penggunaan bahasa kebangsaan yang penuh tatasusila kepada masyarakat secara keseluruhannya. Dalam lingkungan institusi pengajian tinggi, sayap bahasa kebangsaan boleh diuji daya kebolehannya untuk merantau jauh ke alam falsafah dan agama, ke dalam pemikiran yang luhur, selain merangkumi dalam tinjauan rasa cita keseluruhan masyarakat yang menuturkannya!

Perencanaan Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu


Pandangan yang menyatakan bahawa keperluan terhadap sesuatu bahasa perlu ditundukkan kepada kehendak pasaran semasa adalah berbahaya kerana ia bakal mencabut akar jiwa dan makna diri sesuatu bangsa dan menggantikannya dengan sesuatu yang tidak tetap dan sementara. Bahkan usaha ini amat bertentangan dengan proses pembinaan peradaban sesuatu bangsa yang menuntut perkembangan positif bahasa ibundanya. Bangsa yang kehilangan bahasanya tidak akan mampu mencapai mercu ketamadunan jika bahasa ibunda yang mesra dengan dirinya tidak diangkat menjadi bahasa keilmuan yang utama untuknya. Amatlah dikhuatiri, kecenderungan untuk memberi tumpuan berlebihan terhadap bahasa Inggeris dalam seluruh aspek kehidupan akan melenyapkan peranan bahasa Melayu untuk bangsa dan peradabannya.

Perencanaan memartabatkan bahasa Melayu perlu diisi dengan wacana mengenai faham ketuhanan, kemanusiaan, keilmuan, keadilan, kebahagiaan, pembangunan, sains dan teknologi bukan sekadar bahasa yang menjadi hiasan akhbar artis dan hiburan. Memandangkan persuratan bahasa Melayu

16

sendiri sudah kaya dengan khazanah wacana sebegini, maka usaha untuk menggali dan menerapkan pengisiannya supaya sesuai dengan konteks semasa perlu digerakkan dan disokong.

Bahasa Melayu haruslah dikembangkan semula sebagai bahasa yang mampu memikul amanah ketamadunan. Di samping itu, usaha mempertahankan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan kemas sebagai bahasa rasmi untuk sebarang urusan rasmi kerajaan dan swasta wajar diberi perhatian yang lebih. Sehubungan dengan itu, pendidikan bahasa Melayu tidak wajar berhenti setakat bangku sekolah, malah ia perlu terus dididik di peringkat profesional agar pengguna bahasa Melayu bukan sekadar fasih bertutur dengan betul, malah tahu mengarang dan mempersembahkan tulisannya dengan bahasa yang kemas dan teratur.

Selain itu, langkah yang harus diberi tumpuan adalah usaha penterjemahan buku-buku penting berbahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris, kepada bahasa Melayu yang tinggi dan berkualiti. Ia adalah bertujuan untuk menyediakan sumber rujukan dalam Bahasa Melayu yang lumayan kepada masyarakat, dan pada masa yang sama bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada sumber rujukan bahasa luar, terutamanya bahasa Inggeris.

Untuk mencapai usaha ini, pihak yang terlibat harus mengenalpasti karya-karya besar seluruh dunia dan buku ilmiah yang menjadi rujukan wajib para cendekiawan untuk diterjemahkan. Antara bidang ilmu utama yang perlu diterjemah ialah Agama, Sejarah, Falsafah, Sains, Ekonomi dan Politik. Seterusnya, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan universiti awam wajar mengiktiraf usaha terjemahan dalam sistem pendidikan tinggi negara terutamanya dalam kalangan ahli penyelidik, akademik, pentadbiran dan juga pelajar sebagai suatu usaha yang luhur. Dalam hal ini, Universiti Kebangsaan Malaysia memikul amanah yang unggul terhadap pemeliharaan, pemupukan dan penyebaran bahasa kebangsaan, yang berbagai segi sifat dan keutamaannya:

1. Melahirkan siswazah yang berani mempertahankan bahasa kebangsaan atau memajukan bahasa kebangsaan di tempat mereka bekerja,

2. Menjadi contoh penggunaan bahasa kebangsaan yang bebas daripada pencemaran dan kecelaruan di kalangan warga universiti, samada secara lisan atau bertulis,

3. Menjalankan kursus-kursus pengajian sepenuhnya dalam bahasa kebangsaan dengan tujuan untuk memperluas dan memajukannya,

17

4. Menjadikan UKM sebagai pusat rujukan istilah dalam segala cabang ilmu,

5. Menampakkan dengan jelas dan tegasnya akan kedudukan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kebangsaan, dan

6. Menjadikan UKM sebagai gedung penerbitan buku-buku ilmiah yang bermutu tinggi dalam bahasa kebangsaan sama ada untuk karya asli atau karya terjemahan. Usaha ini bakal memudahkan masyarakat memperoleh bahan penerbitan, jika harganya ditetapkan lebih rendah berbanding buku asal.

Dalil Penolakan Terhadap Sekolah Aliran Inggeris


Cadangan penubuhan (atau lebih tepat lagi pengembalian) sekolah aliran Inggeris - yakni sekolah di mana bahasa pengantarnya dalam semua subjek adalah Bahasa Inggeris - merupakan cabaran terhadap keutuhan sistem pendidikan kebangsaan. Seadilnya, ia wajar dilihat sebagai rentetan logika daripada kehampaan usaha untuk mengekalkan polisi PPSMI, selain merupakan helah halus untuk menyeludupkan faham-faham asing berkenaan ilmu, bahasa dan budaya yang boleh menimbulkan kecelaruan yang jauh lebih parah dalam sistem pendidikan kebangsaan kita.

Tiadalah melewati batas untuk kita mempersoal dengan tegas mengapakah apabila kesulitan timbul dalam mempelajari bahasa asing, sesetengah kelompok (khasnya para pendokong cadangan di atas) bisa menerimanya atas alasan bahawa ia akhirnya akan mengasah dan memperbaik kemahiran belajar di kalangan pelajar, tetapi apabila pelajar yang sama menghadapi kesulitan dalam mempelajari bahasa ibunda, kelompok ini menanggapinya seolah-olah satu bentuk kezaliman atau malapetaka ke atas pelajar tersebut dan mendesak agar pengajaran dalam bahasa ibunda dihentikan dan diganti pula dengan pengajaran dalam bahasa asing. Sesungguhnya cara berfikir sedemikian, yang disertai pula dengan sikap mengada-ngada yang menjengkelkan, adalah bersalahan dengan pertimbangan akal yang sihat, di samping tidak disokong oleh teori dan praktis pengajaran yang baik.

Antara beberapa alasan utama yang dikemukakan bagi menyokong penubuhan sekolah aliran Inggeris adalah daya tarikan Bahasa Inggeris dalam meningkat daya saing pelajar di alam pekerjaan selain untuk mempersiapkan pelajar bagi pendidikan lanjut di institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara, sifat bahasa Inggeris yang kononnya neutral justeru kesesuaiannya sebagai bahasa umum (general language) yang berperanan untuk mengikat dan menampung perhubungan merentasi kaum di Malaysia lantas menyumbang secara positif kepada kesepaduan masyarakat (social cohesion), serta kedudukan Bahasa Inggeris sebagai lingua franca dalam bidang perdagangan mahupun penyelidikan ilmiah.

18

Alasan-alasan sebegini tidak seharusnya dibiarkan bergema di ruang awam tanpa sebarang usaha tekun untuk membongkar praandaiannya atau mempersoal kesahihan kesimpulannya yang berpaksikan halhal berikut:

1. Alasan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai alat perpaduan di antara bangsa-bangsa berbeza di negara ini atas hujah bahawa ianya suatu bahasa yang neutral sifatnya, yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana satu kebudayaan bangsa di rantau ini (mahupun Melayu, Cina atau India), menafikan hakikat sejarah peradaban asal di rantau ini, yakni peradaban MelayuIslam yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai lingua franca.

2. Hujah kononnya pelajar yang mengikuti sekolah aliran kebangsaan tidak setanding dari segi daya saing pasaran berbanding dengan sekolah aliran Inggeris tidak boleh diterima atas tiga alasan:

i.

matapelajaran Bahasa Inggeris yang difikirkan menambah nilai kebolehpasaran pelajar itu juga diajar di sekolah kebangsaan,

ii.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan jelas menyatakan bahawa secara hakikinya keseluruhan sistem pendidikan kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan insan yang berguna kepada masyarakat dan negara,

iii.

tambah nilai bahasa Inggeris yang dimaksudkan itu hanyalah merangkumi aspek perhubungan dalam bahasa Inggeris (yakni kebolehan membaca, menulis dan bertutur) yang sempit dan tidak merangkumi aspek penghayatan kesusasteraan dan kebudayaan yang terpancar daripada bahasa Inggeris itu yang lebih luhur.

3. Bahawa persiapan pelajar dalam bahasa Inggeris untuk melayakkan masuk ke IPT juga berlaku di sekolah kebangsaan menerusi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris; oleh itu, pelajar yang melalui sekolah aliran kebangsaan akan didedahkan juga kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris; kiranya dirasai pendedahan itu tidak mencukupi, maka rujukilah ilmuwan dan budayawan bahasa Inggeris untuk memikirkan langkah-langkah untuk memperkukuhkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan tanpa perlu didesak untuk mewujudkan satu lagi aliran persekolahan yang baru;

19

Kerisauan paling genting kiranya dibenarkan penubuhan sekolah aliran Inggeris yang berjalan seiringan dengan sekolah kebangsaan adalah melebarkan jurang pemisah di antara pihak pentadbir, guru dan pelajar di kedua-dua aliran ini. Jurang pemisah ini kemudiannya akan merebak ke dalam aspek kemasyarakatan dan budaya (masyarakat bandar dan luar bandar), ekonomi dan peluang pekerjaan (kelas atasan dan bawahan) dan bahasa (bahasa Inggeris dan bahasa Melayu), bahan pengajaran dan pembelajaran (silibus, buku rujukan), bekalan guru (guru warganegara tempatan dan guru warganegara asing), yang kesemuanya akan memburukkan kesan pembezaan (differential effect) dalam sistem pendidikan kebangsaan, sekaligus menafikan peranan sistem pendidikan sebagai alat penyatupaduan dan ejen mobiliti sosial yang merentas bangsa, budaya dan bahasa di negara ini. Penambahan garis-garis pemisah dalam masyarakat tempatan berisiko untuk mencemar kemajmukan yang dibina atas rasa kebersamaan rentas kaum yang telah dipupuk semenjak berakhirnya penjajahan British di negara ini.

Kesimpulannya, jika cadangan untuk mengembalikan sekolah aliran Inggeris dikemukakan sebagai satu tindak balas kepada penurunan mutu sekolah aliran kebangsaan, maka keputusan yang wajar untuk mereka yang sedar dan tahu akan tanggungjawabnya sebagai warganegara adalah untuk mengenalpasti punca di sebalik penurunan mutu ini, kemudian mengutarakan cadangan yang bernas dan praktikal tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk menaikkan kembali mutu pendidikan di sekolah kebangsaan. Kiranya kita sebagai kelompok ilmuwan yang menggalas amanah masyarakat sedar akan kerosakan yang sedang menular dalam sistem pendidikan kebangsaan kita, maka penunaian amanah mengkehendaki kita untuk mengekang dan memperbetulkannya dan bukan pula dengan menganjurkan persetujuan dengan perkembangan masani atas alasan melayani perubahan sosial (social change) yang jauh menyimpang daripada ukuran keadilan dan kebenaran, ataupun mengusulkan cadangan yang bukan sahaja tidak menyumbang kepada penyelesaian masalah sedia ada, tetapi bakal menimbulkan masalah-masalah baru yang lebih meruncing.

20

3. KESIMPULAN Pendirian Kami


Falsafah Pendidikan Kebangsaan wajar dipertahankan di samping diperhalusi agar matlamat sebenar pendidikan dapat dicapai. Pihak kerajaan, penggubal dasar, pentadbir dan pendidik seharusnya menghayati makna dan tafsiran sebenar Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar pelaksanaan dan pengamalannya di pelbagai peringkat tidak menyimpang. Kami menyokong dasar MBMMBI dengan tafsiran yang benar yakni menyedari martabat bahasa Melayu dan tulisan Jawi di rantau ini di samping berusaha untuk mengukuhkan bahasa Inggeris melalui pengajaran kesusasteraan dan persuratannya. Kami menyanggah penubuhan sekolah aliran Inggeris kerana ia amat bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

21

DISEDIAKAN OLEH

WAN MOHD AIMRAN BIN WAN MOHD KAMIL Felo Penyelidik Himpunan Keilmuan Muslim

MUHAMMAD SYUKRI ROSLI Pengarah Urusan Klasika Media

DISAHKAN OLEH

MOHAMAD FIRDAUS POZI @ ROZI Setiausaha II Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM)

22

You might also like