You are on page 1of 19

selamat sejahtera.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian. Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk Memartabatkan Bahasa Melayu. Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman. Saudara saudari yang dihormati sekalian, Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila. Hadirin sekalian, Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.

Rakan-rakan dan hadirin sekalian, Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita. Hadirin sekalian, Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian. Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi. Sekian, terima kasih

KEPENTINGAN MEMUPUK PERPADUAN KAUM Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat Merdeka pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh. Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah. Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat

menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita. Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan. Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan. Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan

Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh. Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikap membutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbezabeza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.

'Bagai aur dengan tebing' merupakan peribahasa yang amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum namun semangat tolong-menolong sesama masyarakat amat penting untuk melaksanakan sesuatu perkara.

Bertitik tolak daripada sikap saling menolong ini, akan lahirlah masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan merupakan aset terpenting Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'. Kepentingan perpaduan ialah perpaduan dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka. Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pelbagai ranjau berduri yang dilalui oleh generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan. Hasil perpaduan masyarakat Tanah Melayu ketika itu yang berganding bahu menuntut kemerdekaan telah membuka mata pihak Inggeris supaya memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Implikasinya, masyarakat kini hidup harmoni tanpa gangguan dan kongkongan penjajah. Perpaduan yang telah wujud kini adalah warisan daripada warisan nenek moyang yang harus dikekalkan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Selain itu, perpaduan kaum juga dapat mengelakkan semangat assabiah iaitu semangat kekitaan yang hanya mementingkan diri sendiri ala 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'. Semangat assabiah ini akan menimbulkan permusuhan antara kaum. Hasilnya, Malaysia dapat menjadi contoh terbaik kepada negara lain seperti negara Amerika Syarikat yang mengamalkan Dasar Aparteid. Dasar Aparteid ialah dasar yang mewujudkan jurang perbezaan antara golongan berkulit putih dengan golongan berkulit hitam. Akibatnya, wujudlah pelbagai masalah sosial yang melibatkan perkauman berdasarkan warna kulit. Sebagai iktibar, masayarakat Malaysia wajar mengekalkan perpaduan demi mengelakkan semangat assabiah terjadi di atas bumi Malaysia ini. Di samping itu, kepentingan perpaduan yang lain pula ialah perpaduan dapat membangunkan ekonomi negara. Perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia akan menarik minat pelancong asing untuk mengenali dengan lebih dekat lagi budaya masyarakat Malaysia yang berbeza kaum dan agama tetapi dapat hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung. Selaras dengan itu, ekonomi negara akan berkembang dengan kemasukan palancong asing. Masyarakat Malaysia juga dapat berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam membangunkan negara. Pelabur dari luar negara juga akan berminat untuk melabur di Malaysia. Rentetan itu, perpaduan kaum yang mampu meningkatkan taraf ekonomi negara akan menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain. Konklusinya, pihak kerajaan perlulah mengadakan pelbagai program atau aktiviti yang dapat memupuk semangat perpaduan kaum. Masyarakat Malaysia juga perlu memainkan peranan dalam memupuk perpaduan kaum supaya negara kekal dalam kemerdekaan. Semoga 52 tahun kemerdekaan pada tahun ini akan meningkatkan kesepakatan masyarakat untuk menobatkan Malaysia agar gah dan popular di seluruh sarwajagat ini. Laungan 'Malaysia Boleh' perlu diteruskan agar semangat warganegara Malaysia ini digeruni oleh negara luar

Kepentingan Perpaduan Kaum

Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang unit lantaran rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.Ramai penduduk dunia tertanya-tanya apakah formula ampuh yang telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin berwibawa di Malaysia sehingga rakyatnya dapat hidup bersatu-padu dan aman damai tanpa sebarang pertelingkahan. Namum,persoalan sedemikian hanya dapat dijawab apabila semangat perpaduan itu tersemat di dalam diri setiap anak watan yang akan mewarisi tampuk pentadbiran Malaysia.Tambah pula,aspek perpaduan telah dianggap sebagai tulang belakang kepada kegemilangan Malaysia.Oleh sebab itu,setiap rakyat Malaysia perlu sedar akan kepentingan perpaduan kaum kerana aspek perpaduan ini memberi impak yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia. Dalam hal ini,perpaduan kaum amat penting untuk mengekalkan kestabilan politik.Kestabilan politik dalam setiap jabatan amat perlu bagi menjamin keutuhan struktur pentadbiran Malaysia.Fungsi pentadbiran Negara pula perlu dilaksanakan secara sistematik kerana banyak negara luar yang gemar berurusan dengan pemimpin Malaysia. Impak positif yang berlaku ialah Negara Malaysia dapat melebarkan ruang lingkup jalinan persahabatan dan perdagangan bagi mencakupi arena global. Umpamanya, kestabilan politik di Johor telah memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk melabur di Malaysia bagi membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).Oleh itu,perpaduan kaum yang telah menyumbang ke arah kestabilan politik memberi pulangan yang lumayan kepada Malaysia bak kata pepatah Melayu pucuk dicta,ulam mendatang kerana kedua-duanya memberikan faedah kepada Malaysia. Seperkara lagi,perpaduan kaum dapat menjamin Negara Malaysia .Amnya mengetahui bahawa Malaysia terdiri daripada berbilang bangsa di mana majoriti rakyatnya terdiri daripada bangsa Melayu,Cina dan India yang mempunyai pelbagai adapt resam,agama dan kepercayaan sejak lima dekad yang lalu.Pemimpin-pemimpin yang lalu seperti Tunku Abdul Rahman,Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambathan serta ramai pemimpin berwibawa yang lain telah berunding dan bertolak ansur untuk mencapai perpaduan demi sebuah negara yang tercinta.Kini,sudah menjadi tanggungjawab kita untuk terus memelihara perpaduan yang telah kita warisi sejak zaman-berzaman lagi.Melalui perpaduan dan keharmonian,Malaysia telah mengorak langkah serta melalui satu fasa perubahan yang drastik sehingga kita standing dengan negara-negara maju yang lain dan dikagumi oleh seluruh pelusok dunia.Tambahan pula,ada segelintir pemimpin dunia yang menjadikan Malaysia sebagai suri teladan untuk membentuk perpaduan rakyat mereka seterusnya mencetuskan keharmonian negara,

Dalam nada yang sama,perpaduan kaum amat penting bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi pelbagai kaum di Malaysia.Melalui penemuan satu formulasi ekonomi iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke- 2,Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1970,beliau berjaya merungakai satu masalah yang membelenggu rakyat Malaysia yang mana, pada masa itu satu kaum telah memusuhi kaum yang lain dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969.Impak positif daripada formulasi ini,wujud semangat bertolakansur dalam kalangan rakyat dalam usaha membasmi kemiskinan.Tindakan ini juga jelas dapat dilihat apabila pihak kerajaan sendiri berusaha meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin melaui proses memodenkan kawasan luar bandar.Intihanya,usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum amat penting dalam usaha memupuk perpaduan kaum. Akhirulkalam, tanggungjawab menyemai benih perpaduan dalam diri setiap individu menjadi tugas rakyat Malaysia bersama-sama.Mogamoga usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dihargai oleh kita dengan terus memupuk sikap bersatu-padu tanpa mengira latar belakang agama, bangsa,maupun budaya.Oleh itu marilah sama-sama kita menghayati cogan kata bersatu teguh,bercerai roboh dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran kita tentang peri penting hidup bersatu-padu.

ucuk manis permatang budi, pucuk purut digetus rusa;

Yang manis bernama budi, Yang indah bernama bahasa. Terima kasih saudara pengerusi majlis. Yang berbahagia Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdullah, pengarah Institut Humaniora Malaysia, kombinasi para juri yang arif lagi bijaksana sebagai penegak keadilan, penjaga masa yang budiman, para pensyarah, dan seterusnya hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasihi sekalian. Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera pembuka bicara. Berdirinya saya di atas persada indah dalam Dewan Wawasan ini, tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, "Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa Perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan Bahasa Komunikasi Rakyat Malaysia. Sebagaimana bervisinya nama dewan yang mulia ini, demikian juga visi yang akan saya tunjuk kepada tuan-tuan betapa bahasa Melayu, sebagaimana bahasa-bahasa lain juga, mempunyai fungsinya yang tersendiri. Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kata membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar hadirin terbuka minda, agar hakim tidak terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata, seperti kata orang dahulu kala;

Yang buta tidak teraba-raba, Yang pekak tidak tertanya-tanya, Yang kecil tidak terambin-ambin, Yang pendek tidak tertinjau-tinjau. Menurut Kamus Dewan (2006), istilah fungsi bolehlah didefinisikan sebagai tugas atau peranan. Manakala maksud bahasa pula ialah satu sistem lambang-lambang yang arbitrari, mempunyai makna dan difahami maknanya, dan digunakan oleh sekelompok masyarakat dalam komunikasi mereka. Daripada maksud tersebut dapat dirumuskan bahawa bahasa ialah alat komunikasi yang ada makna dan difahami oleh semua anggota dalam masyarakatnya. Merujuk negara Malaysia, penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang dapat difahami oleh setiap orang, dan lebih-lebih lagi, mereka yang berstatus warganegara Malaysia. Di Malaysia, bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan sekali gus berfungsi sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa Kebangsaan dapat ditakrifkan sebagai bahasa yang diterima dan digunakan oleh penduduk dalam sesebuah negara. Bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Pentakrifan bagi bahasa rasmi adalah bahasa yang digunakan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan. Selain dua

fungsi bahasa tersebut, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi yang akan dijelaskan dalam hujah nanti. Persoalannya sekarang, bagaimanakah bahasa Melayu dapat berfungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi di Malaysia yang rakyatnya pelbagai kaum? Persoalan inilah akan saya jawab satu persatu dalam wacana, Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa Perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan Bahasa Komunikasi Rakyat Malaysia. Tuan hakim yang bijaksana lagi arif. Wacana saya yang pertama, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tuantuan dan Puan-puan, ingatlah, bahasa Melayu mesti perkasa dalam negara Malaysia untuk kepentingan kebangsaan. Semangat perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu tercetus apabila jiwa rakyat telah timbul kesedaran untuk jadi bangsa berdaulat. Salah satu cara menjadi bangsa berdaulat ialah dengan memerintah sendiri negara tanpa dikuasai atau ditunjuki oleh penjajah. Setelah tercapainya kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Fungsi ini telah termaktub dalam Bahagian 12 Am dan Pelbagai 152 fasal (1) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut bahawa, "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh parlimen." Maka terbuktilah bahawa bahasa Melayu merupakan lambang kebebasan dan kedaulatan negara daripada belenggu penjajahan. Ditinjau dalam sejarah kerajaan-kerajaan Melayu terdahulu, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca. Ia digunakan oleh semua kaum untuk semua urusan pentadbiran dan perdagangan. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, amat wajar sekali Malaysia mempunyai satu bahasa kebangsaan kerana bahasa kebangsaan memberi gambaran akan status sesuatu bangsa. Bangsa yang bermaruah mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, menggunakan bahasa sendiri dan bangsanya mempunyai identiti kebahasaan sendiri. Oleh itu, untuk memupuk sifat sayangkan bahasa kita, pelbagai kempen telah diadakan seperti "Cintai Bahasa Kita", "Bahasa Jiwa Bangsa" dan sebagainya. Rakyat dari pelbagai kaum akan dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan bahasa kebangsaan. Justeru, bahasa Melayu dengan segala sifatnya dapat menjadi pembakar semangat kebangsaan di negara ini dan menjadi satu tunggak pembinaan negara merdeka serta identiti rakyat. Kita tidak mahu bahasa Melayu dipinggirkan sebagaimana tersirat dalam Akta Pelajaran 1996 dan seterusnya dinafikan fungsi sebagai bahasa ilmu Sains dan Matematik oleh Dr. Mahathir Mohamed. Wacana saya yang kedua, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Selain dipilih sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa

rasmi negara kita. Maksud bahasa rasmi ialah bahasa utama yang digunakan dalam segala urusan pentadbiran dan acara rasmi negara. Contohnya, bahasa Melayu digunakan dalam sistem pendidikan negara, urusan surat-menyurat, mesyuarat dan pentadbiran negara. Cuba kita renung, bukakan mata, celikkan minda, dalam mesyuarat-mesyuarat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, di persidanganpersidangan, seminar-seminar, di parlimen, bahkan dalam perbicaraan di mahkamah, mesti diutamakan penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa selain bahasa Melayu adalah menyalahi Artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Sesiapa yang membelakangkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara, termasuk pemimpin negara sekalipun, mereka adalah penjenayah negara yang mesti dihukum. Dengan hujah itu, terbukti lagi jelas dan nyata, betapa penting bahasa Melayu memainkan peranan dalam urusan pentadbiran negara. Para hadirin yang dihormati sekalian. Wacana saya yang ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Bahasa perpaduan bermaksud bahasa yang digunakan sebagai tali pengikat kemuafakatan antara anggota masyarakat, sama ada dalam kalangan satu etnik mahupun antara etnik. Hal ini kerana, masyarakat kita adalah masyarakat majmuk yang berbeza kepercayaan, amalan, budaya, agama dan bahasa. Bahasa Melayu dapat memainkan peranan sebagai penyatu kepelbagaian tersebut melalui penggunaan bersama, atau satu bahasa untuk satu negara. Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan bahasa Melayu dalam semua komunikasi awam dan terbuka agar tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain. Apabila penggunaan bersama bahasa Melayu di tempat terbuka sudah menjadi amalan, maka akan wujud kemesraan, kepercayaan, hormat dan rasa selamat. Rasa kemesraan, rasa kepercayaan, rasa hormat dan rasa selamat merupakan antara faktor yang membina perpaduan antara kaum. Dengan itu, dapatlah kita melahirkan bangsa yang bersatu dan menganggap Malaysia sebagai negara milik bersama. Pemilihan satu bahasa kebangsaan bertujuan mencari suatu lambang penyatuan atau perpaduan. Ia memainkan peranan mengurangkan jurang perkauman, mengeratkan hubungan setiap lapisan masyarakat dalam segala bidang, bukan hanya dari segi politik, agama, perindustrian, ekonomi, kesukanan, perubatan, pendidikan malahan juga dalam komunikasi awam. Tugas bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan akan dapat diperkasakan melalui perlembagaan negara, sistem pendidikan, dasar-dasar yang dilaksanakan dan pelbagai aktiviti kempen. Justeru, ayuh, mari kita terus perjuangan yang telah lama digerakkan oleh pemimpin terdahulu demi mengangkat darjat bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca, bahasa yang menyatupadukan rakyat peJbagai kaum dalam semua bidang, bak kata perpatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, atau berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian, Wacana saya yang keempat, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Yang dimaksudkan sebagai bahasa pengantar pendidikan ialah bahasa yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab Malaysia mempunyai masyarakat berbilang bangsa, dasar pendidikan negara berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, sama ada di sekolah mahupun pusat-pusat pengajian tinggi. Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai alat menyampaikan pelbagai ilmu untuk digunakan bagi memajukan diri, masyarakat dan negara. Penggunaannya secara tidak langsung mencerminkan ciri-ciri bangsa Malaysia yang menolak perkauman atau ketidakadilan dalam sistem pendidikan. Hal ini adalah kerana masyarakat Melayu dan bukan Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu akan mendapat laba yang sama rata, di samping dapat menunjukkan ciri 'keMalaysiaan'. Sehingga kini rakyat Malaysia yang mendapat pendidikan rendah, menengah dan universiti dalam bahasa Melayu berjaya meraih anugerah hingga peringkat antarabangsa. Malah, ramai rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat-syarikat antarabangsa, baik syarikat yang beroperasi dalam negara mahupun syarikat yang beroperasi di luar negara. Beberapa universiti di luar negara seperti di Britain, Amerika Syarikat, Russia, Thailand, Korea, Republik Rakyat China dan sebagainya menawarkan kursus major dan minor bahasa Melayu kepada mahasiswa masing-masing. Kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan diperkukuhkan lagi dengan pembinaan kerusi-kerusi pengajian Melayu di luar negara dan juga pembinaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahasa Melayu kini berada di atas landasan sempurna sebagai bahasa pengantar pendidikan. Justeru, dapat kita merumuskan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan institusi pendidikan tinggi. Wacana saya yang kelima, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu adalah bahasa i1mu di Sekolah-sekolah termasuk di maktab-maktab perguruan dan universiti-universiti. Bahasa IImu pula ialah bahasa komunikasi yang bermaksud bahasa sebagai alat penyebaran, penyampaian dan penerimaan maklumat. Sebagai bahasa i1mu, bahasa Melayu banyak merakam pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang ditulis oleh pakar bidang berkenaan. Salah satu tujuan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah untuk memperkasakan bahasa Melayu. Justeru, kursus-kursus yang ditawarkan disampai dan dirakam dalam bahasa Melayu, termasuk ilmu dalam bidang Sains dan Teknologi. Sehingga kini, UKM telah mengeluarkan ramai graduan dalam bidang Sains dan teknolog dan sedang berkhidmat di pasaran. Telah sekian ramai doktor perubatan dan ahli kimia dikeluarkan dan khidmat mereka ibarat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan pakar-pakar

yang mendapat pendidikan dari negara Barat. Khidmat mereka pula menetaskan tenaga-tenaga khidmat yang lain. Jauh sebelum itu, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terserlah dalam bidang keagamaan seperti dalam bidang penyebaran ilmu agama Hindu-Buddha dan kemudian Islam. Tanah Melayu seperti Lembah Bujang misalnya merupakan pusat penyebaran agama Hindu-Buddha ke seluruh dunia. Setelah kedatangan Islam, bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa ilmu menyebar ajaran agama Islam. Walaupun agama Islam turut membawa bahasa Arab, namun penyebaran Islam di Asia Tenggara adalah menggunakan bahasa Melayu tulisan Jawi. Fungsi itu ternyata kekal sehingga kini agama Islam tersebar di Asia Tenggara dalam bahasa Melayu. Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu mesti terus berperanan menjana pemikiran dan ilmu-ilmu baharu kepada masyarakat. Jika berlaku kekurangan hendaklah ditambah, jika berlaku kebocoran hendaklah ditampal kerana sudah menjadi kebiasaan tidak semua bahasa adalah lengkap dan sempurna. Perbendaharaan katanya perlu diperluaskan. Istilahnya perlu dilengkapkan. Setiap objek dan konsep dalam pelbagai bidang ilmu hendaklah dilengkapi dengan bahasa Melayu. Hal ini bertujuan untuk memperkasakan lagi bahasa Melayu dan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di Asia Tenggara. Sehingga kini telah banyak istilah dan konsep ilmu diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Misalnya, istilah dalam bidang anatomi, mikrobiologi, fisiologi, biokimia, ginekologi dan sebagainya. Bahasa Melayu bolah menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintelektualan bahasa. Keintelektualan bahasa bermaksud keupayaan bahasa dalam menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dengan tepat dan dapat dilenturkan dengan mudah. Bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa i1mu kerana mempunyai ciri-ciri kesempurnaan bahasa iaitu kestabilan seperti sistem pembentukan istilah atau konsep, dan peraturan seperti ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain lagi. Satu lagi ciri kesempurnaan bahasa ialah kelenturan, di mana bahasa Melayu mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku dari masa ke semasa. Wacana saya yang terakhir, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi masyarakat. Bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi kerana ia dituturkan oleh semua orang dalam pelbagai lapisan masyarakat. la merupakan bahasa ibunda dan bahasa utama di Malaysia, digunakan oleh semua golongan masyarakat, tidak kira di desa atau di kota, golongan kaya ataupun miskin. Oleh sebab itu, mesej dapat disampaikan dengan mudah, tepat dan difahami oleh semua golongan masyarakat. Sebagaimana yang telah ketahui umum bahawa bahasa Melayu, pada zaman penjajahan, telah menjadi bahasa lingua franca di setiap pelusuk Nusantara. Bahasa Melayu telah tersebar luas dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura hinggalah ke Brunei.

Berdasarkan catatan sejarah pengembara yang melawat semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan lain di Nusantara, seperti I-Shing, Ibn Batuta, Antonio Fegafeta dan ramai lagi, terbukti bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa utama untuk berkomunikasi seawal kurun yang ke-7 Masihi. Kini, dengan adanya kecanggihan alat media dan komunikasi, maklumat dapat disampaikan melalui siaran-siaran radio, televisyen, internet, SMS, e-mail dan lain-lain lagi. Berkomunikasi, lisan mahupun tulisan, adalah sutu keperluan kepada setiap individu dan berkau pada setiap hari. Kini ramai yang berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan melahirkan pendapat atau perasaan, adalah bukti fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang penting di negara ini. Dengan kata lain, bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa komunikasi apabila seseorang individu mengalami perkongsian idea, maklumat dan perasaan dengan orang lain sama ada melalui pertuturan mahupun tulisan. Dengan berbahasa Melayu, komunikasi antara manusia sejagat berlangsung dengan baik. Ia juga memudahkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Senario ini telah memberikan satu manifestasi yang jelas, iaitu bahawa bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa komunikasi di Malaysia. Justeru, dengan hujah dan huraian keenam-enam fungsi bahasa Melayu itu tadi, konklusinya di sini ialah pertama, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan memartabatkan lagi bahasa ibunda kita sendiri. Yang kedua, sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa utama dalam segala urusan pentadbiran dan acara rasmi negara. Yang ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan menjadi wahana perpaduan bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara kita. Seterusnya yang keempat, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar menjadi wahana penyebaran i1mu di semua peringkat institusi pendidikan, dan sebagai lambang bahasa pengantar untuk memberi dan menimba ilmu sejagat. Rumusan seterusnya ialah bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat membina keintelektualan bangsa kerana keupayaannya menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dan sebagainya dalam semua bidang ilmu. Dan yang terakhir, bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, menjadi lambang pertuturan semua golongan masyarakat sama ada yang tinggal desa atau di kota, mahupun golongan kaya ataupun golongan miskin, atau pentadbir mahupun rakyat. Hadirin dan hadirat sekalian. Setelah frasa demi frasa tajuk pidato saya ini dikupas, maka dapatlah saya menutup rumusan bahawa bahasa Melayu memikul tanggungjawab yang besar dalam mengangkat martabat bahasa dan bangsa di tanah air tercinta ini. Oleh sebab itu, segala fungsi bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan,

bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perlu terus didaulatkan agar keperkasaan bahasa Melayu kekal dan dikagumi. Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa, tersalah kata, tersilap sebut atau tercanggah gerak tangan, mulut, kepala dan mata. Saya mengakhiri pidato saya ini dengan serangkap pantun; Alang-alang menyeluk pekasam, Biar sampai ke pangkal lengan; Alang-alang bahasa dijulang, Biar kekal sepanjang zaman.

Terima kasih saudara/i pengacara majlis.

Barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana. Dif-dif kehormat. Rakan-rakan seperjuangan. Sidang hadirin warga dewan, aspirasi negara. Assalamualaikum WM WB dan salam 1 Malaysia. Prof. Dr Awang Sariyan ada menyatakan bahawa kisah kegemilangan Bahasa Melayu (BM) pada zaman silam telah membuana di jagat rayanamun, sekadar mengagumi sejarah silam, kita tidak mungkin dapat mengangkat martabatnyaJusteru, berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana, melalui mauduk pidato saya BAHASA JIWA BANGSA. Bahasa, menurut Kamus Dewan, adalah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam satu kelompok manusia. JIWA, BERMAKSUD nyawa atau roh. Manakala, bangsa pula bermaksud, kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan. Dalam konteks pidato saya, konsep bangsa dan bahasa secara total merujuk kepada bangsa Malaysia dan bahasa kebangsaan kita, yakni BM. Persoalannya sidang dewan sekalian, mengapakah bahasa itu dikatakan jiwa @ roh bangsa? Apakah keistimewaan BM kita yang sekian lama diagung-agungkan dalam adikarya seantero dunia. Marilah bersama-sama saya, merungkai persoalan ini satu persatu melalui empat nirmala kata, inspirasi mahakarya. Sidang hadirin sekalian Heraclitus menyatakan bahawa bahasa sangat berkait rapat dengan semua aspek kehidupan manusia. Melalui bahasa, sesuatu masyarakat mempamerkan nilai-nilai dan budaya mereka kepada bangsa lain. Pepatah Melayu menyatakan, bahasa menunjukkan bangsa. Hatta, saya rangkumkan frasa ini dengan nirmala kata saya yang pertama; BAHASA MELAYU MENCERMINKAN JATI DIRI BANGSA MALAYSIA. Jati diri @ identiti sesuatu bangsa merujuk kepada ciri-ciri yang membezakan sesuatu kumpulan manusia dengan kumpulan manusia lain. Menuturkan sebuah bahasa yang sama ialah antara ciri yang menentukan jati diri sesebuah bangsa.Tahukah anda? Rakyat Switzerland menuturkan 4 bahasa yang berlainan iaitu Bahasa Perancis, Jerman, Italy dan Roman mereka semua adalah bangsa Swiss. Di Malaysia, kita juga mempunyai satu bahasa kebangsaan yang dituturkan olah masyarakat pelbagai keturunan tanpa was-was. Tuntasnya, realiti BM sebagai cermin jati diri bangsa Malaysia, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Hadirin yang saya muliakan.

Nirmala kata saya yang kedua; BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU. Prof. Dr Shahir Mohamad Zain menyatakan bahawa BM pernah mengungkapkan ilmu dalam zaman kegemilangannya. Catatan-catatan Melayu Kuno dalam prasasti Funan dan Champa seawal abad ke-7 mengandungi ilmu-ilmu asas dalam bidang sains dan matematik. Bahasa ini kemudiannya berkembang dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, teknologi, undang-undang, sastera dan agama. Sehingga mutakhir ini, BM telah berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa dalam ilmu moden. Oleh itu, tidak hairanlah jika BM kini sedang diajar dan dikaji di 108 buah pusat pengajian tinggi di serata dunia. Sebagai pewaris tinta para sarjana, sejuk hati dan mata memandang, apatah lagi telinga ini mendengar, setiap bait kata yang dilafazkan oleh para peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu barubaru ini. Inilah citra BM sebagai bahasa ilmu. Meniti kita kepada nirmala kata saya yang ketiga; BAHASA MELAYU PEMANGKIN PERPADUAN. Konsep perpaduan telah lama diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sehingga hari ini, perpaduan masih lagi menjadi agenda utama negara di bawah Gagasan 1 Malaysia. Dengan bahasa yang sama, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum tetap bersatu padu walaupun mempunyai latar belakang agama, adat resam dan budaya yang berbeza. Selepas negara mencapai kemerdekaan, BM telah dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. BM juga telah menjadi agen penyatuan rakyat dari segenap ceruk rantau, kesatuan dan persatuan, sama-sama melupakan perbezaan ras dan dogma dalam perjuangan membebaskan Tanah Melayu dari belenggu kolonial serta meredakan kemelut perkauman dalam era pasca kemerdekaan. Bukankah Herodotus ada berpesan bahawa, bangsa yang melupakan sejarah, akan mengulangi sejarah. Oleh itu, fikir-fikirkan. Nirmala kata saya yang keempat dan terakhir; BAHASA MELAYU TERAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA. BM telah menjadi asas pembinaan negara bangsa Malaysia yang merdeka. Menurut Prof. Dr Teo Kok Seong, maruah bangsa Malaysia terletak pada martabat bahasa Melayu yang menjadi lambang kedaulatan pemerintah dan negara. Ini kerana, BM telah mendukung peranan penting sebagai bahasa peradaban dan tamadun tinggi pada suatu ketika dahulu. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, BM digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran dan undang-undang. Ironisnya, di Malaysia kita tidak perlu menjadi seperti Biscmark dan Machiavelli yang membina negara bangsa mereka dengan kuku besi, helah dan darah. Cukup sekadar, memartabatkan BM sebagai bahasa kebangsaan sebagai ramuannya. Sidang dewan sekalian

Ingin saya simpulkan, bahawa BM bukan semata-mata untuk Orang Melayu tetapi, untuk semua rakyat Malaysia lantaran bahasa mencerminkan identiti dan citra penuturnya. Daripada bahasa juga, lahir budi bahasa, ilmuan, keharmonian dan kecemerlangan bangsanya. Akhir kata dari saya. Anak jati Negeri Sembilan Untuk menjadi bangsa yang dihormati dan disegani, BAHASA perlu dijulang tinggi Yakinlah (nyanyi), Bahasa Jiwa Bangsa.

Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa. Begitulah indahnya tajuk syarahan yang akan saya sampaikan Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan. Seuntai kasih sekalung budi pengacara majlis, kombinasi hakim yang arif lagi berkarisma, dif-dif kehormat dan warga dewan yang saya muliakan, salam mesra dan salam perpaduan. Hadirin yang saya hormati, Tampaknya masa begitu cemburu dan berlalu pantas meninggalkan kita. Tidak dapatlah saya berpidato dan mengulas dengan lebih panjang lebar lagi. Sebelum mengundurkan diri, saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri serta haridin hadirat sekalian agar yakin dengan konsep yang dibawakan YAB Perdana Menteri. Sudah terang lagi bersuluh bahawa konsep 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, pncapaian diutamakan adalah satu pakej lengkap yang mampu menjamin keharmonian dan pembangunan Malaysia yang mapan sekiranya kita semua, yakni rakyat Malaysia memberikan kerjasama juga komitmen padu. Sekian, terima kasih.

You might also like